Marsha Milan Londoh
Read Here
Bagi bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) ini, semua itu lumrah artis realiti sepertinya. Berada di bawah Maestro tidak seburuk yang disangka sesetengah pihak. Setiap syarikat rakaman pasti ada masalah tersendiri, lebih-lebih lagi apabila ramai artis ada di bawah naungannya.
Menurut Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, jika difikirkan kembali perkara ini, tanda tanya dan resah gelisah begitu kuat bersarang di hati, lebih-lebih lagi dia sudah lama mengharap.
“Siapa yang tidak kecewa. Kadangkala terasa putus asa untuk meneruskan pembikinan album ini tetapi disebabkan minat, saya terus berfikir secara positif.
“Bukan mudah mengeluarkan album. Ada artis mengambil masa sehingga 10 tahun untuk menghasilkan album pertama. Jadi, saya terus berfikir saya antara golongan artis bertuah.
“Lagipun, Maestro ada ramai artis yang perlu diuruskan. Saya hanya perlu bersabar sedikit masa lagi. Sekurang-kurangnya saya tidak perlu keluar wang sendiri untuk menghasilkan album. Seperti diketahui ramai, kos menghasilkan album bukan murah,” katanya.
Tambah Marsha, jika mahu menggabungkan keseluruhan lagu yang dirakam, albumnya kini hampir 60 peratus siap. Kini dia hanya mengikut perancangan Maestro.
“Sekalipun prosesnya perlahan, saya tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya proses rakaman album saya tetap berjalan. Menurut perbincangan, album saya akan dikeluarkan akhir tahun ini. Pun begitu, saya tidak terlalu mengharap.
“Saya tidak meletakkan harapan tinggi, lebih-lebih lagi keadaan pasaran tidak menentu. Bagi saya, cukuplah ia berjaya dikeluarkan. Sekurang-kurangnya impian memiliki album tercapai. Namun saya tidak mahu album ini menjadi yang pertama dan terakhir,” katanya.
Menyentuh perkembangan terbaru gadis ini, walaupun karier nyanyiannya perlahan, ia tidak mematahkan perjalanan seninya. Supaya tidak sepi, Marsha menceburi bidang lakonan pula.
“Kerjaya dalam bidang lakonan baru bermula. Mulanya, saya sekadar mencuba supaya peminat masih melihat kewujudan saya di pentas seni. Namun, selepas berpeluang berlakon drama demi drama, minat untuk meneruskannya semakin mekar.
“Terbaru, saya membintangi Kerana Karina yang masuk musim kedua. Untuk musim ini saya lebih banyak menangis dan marah-marah. Jika dibandingkan dengan musim lalu, watak kali ini sedikit sukar. Biasalah, bukan mudah bagi saya (pelakon baru) bermain dengan ekspresi dan mimik muka.
“Pendek kata, pengalaman dan ilmu sebagai pelakon belum penuh di dada. Sebab itu saya mahu mengumpul sebanyak mungkin pengalaman untuk berjaya dalam bidang ini.
“Yang menariknya, dalam drama ini saya digandingkan dengan Norman Hakim, Sazzy Falak dan Zizan Nin. Seronok dapat berlakon di samping mereka yang berpengalaman. Mereka tidak kedekut ilmu dan sentiasa membantu saya.
“Lagipun, tidak salah untuk saya dikenali sebagai artis versatil. Ia juga menjadi kelebihan buat saya. Selain itu, menerusi bidang lakonan, saya tidak akan sepi.
“Sedikit sebanyak, peminat masih dapat melihat perkembangan terbaru saya menerusi layar kaca,” katanya yang mengimpikan peluang berlakon bersama Taufik Batista.
Menyentuh pula kisah seorang VIP yang menawarkan sejumlah wang kepadanya tidak lama dulu, Marsha tidak mahu perkara sama berulang.
“Saya harap panggilan yang diterima daripada VIP dari Singapura itu tidak berulang. Sebagai wanita, tentu saya takut menerima panggilan seperti itu.
“Sedikit sebanyak, maruah saya turut tercalar. Saya bukan wanita yang boleh dibeli dengan wang ringgit, lebih-lebih lagi untuk melakukan perkara tidak bermoral.
“Saya sedar ini lumrah kehidupan artis. Biasalah. Perkara begini memang selalu terjadi kepada artis kita. Namun tak sangka saya turut menjadi tumpuan mereka.
“Walaupun imej saya ranggi dan mudah mesra, jangan ingat saya artis murahan. Semua orang ada prinsip masing-masing, begitu juga saya,” katanya

Use the form below to search the site: