Sakit jantung datang dengan sendirinya

 Malah kata Sheila, 43, yang juga duta Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), dia berasa cukup terharu terpanggil untuk membantu golongan yang memerlukan terutama kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung di negara ini.

548000010307316.JPEG

“Secara tiba-tiba berasa simpati pada kanak-kanak yang menghidap sakit jantung datang dengan sendirinya. Saya juga memang menyukai kanak-kanak sejak dulu lagi.

“Hati saya sebak dan tersentuh apabila melihat bayi atau kanak-kanak menderita dengan wayar membaluti tubuh kecil mereka ketika melawat IJN sebelum ini. Sebagai ibu saya dapat merasai penderitaan ibu yang mempunyai anak berpenyakit dan menderita.

“Saya percaya ramai yang ingin membantu tetapi mereka tidak tahu cara,” katanya.

Ibu kepada empat anak yang semakin membesar ini mengakui sukar membayangkan jika kanak-kanak yang sakit itu anaknya sendiri.

“Sebagai ibu, sudah pasti saya ingin melihat mereka sihat seperti anak orang lain. Seperti ibu lain, saya juga sanggup buat apa saja untuk memastikan anak saya sihat dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Sheila berkata, sebagai artis dia perlu membantu golongan memerlukan mengikut kemampuannya sendiri.

“Dengan bakat menyanyi dianugerahkan Allah inilah saya gunakan untuk membantu mengumpul dana yayasan IJN. Kos untuk menjalani pembedahan jantung sekarang bukannya murah.

“Namun dengan penubuhan yayasan IJN ini ia dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk membiayai kos pembedahan. Pada masa sama, saya juga mempertimbangkan idea untuk membuat lagu khusus untuk kanak-kanak yang sakit dan menderita ini,” katanya.

Selepas berjaya mengumpul RM1.2 juta daripada konsert Sheila Majid in Concert di pusat persidangan Kuala Lumpur (KLCC) pada 1 dan 2 Februari lalu.

Diva popular itu kini merancang menjayakan konsert menjelajah ke lokasi luar Kuala Lumpur pula pada tahun ini termasuk di beberapa negeri di Pantai Timur seperti Johor, Kuantan dan Pulau Pinang.

“Mengikut perancangan, sebahagian hasil jualan tiket konsert itu akan disalurkan ke yayasan IJN. Mungkin kita buat konsert amal atau jual tiket konsert dengan harga yang lebih murah.

“Saya difahamkan tiket konsert sebelum ini kehabisan dan ramai tidak puas hati kerana tidak dapat beli tiket.

Saya berharap konsert ini nanti mampu memuaskan hati semua pihak.

“Bagaimanapun, pihak kami masih mencari penaja, tempat dan barisan pemuzik pengiring yang akan mengiringi persembahan saya saya,” katanya.

Sheila ditemui ketika sesi ramah mesra dengan pesakit jantung berlubang yang sudah selamat menjalani pembedahan, Siti Hajar Misran, 9, di Wad Mawar, IJN di sini, baru-baru ini.

Mengenai perkembangan kerjaya seninya pula, penyanyi yang popular menerusi lagu Lagenda dan Ku Mohon ini berkata, dalam kegawatan pasaran album ketika ini, ia bukanlah waktu sesuai untuk pasaran album dalam bentuk cakera padat (CD).

“Saya ingin memanfaatkan teknologi terkini sedia ada, contohnya dengan memasarkan lagu saya menerusi ‘down load ’dan saya boleh dapat bayaran secara terus dari peminat.

“Bila saya berjaya mendapat pulangan menerusi ‘down load’ dan sudah cukup sepuluh lagu, barulah saya terbitkan dalam bentuk CD pula,” katanya.

Setakat ini Sheila berkata, dia sudah mempunyai lima lagu untuk dimuatkan dalam album barunya itu.

“Saya juga dapat lagu dari Ahmad Dhani (Dewa) dan salah seorang anggota dari band Meet Uncle Hussain,” katanya. Dari segi lakonan pula, Sheila memang tidak terfikir langsung hendak berlakon semula selepas filem Ali Setan.

“Terus terang, saya tidak minat berlakon lagi. Cukuplah pengalaman ketika berlakon Ali Setan dulu.

Ada juga saya dapat tawaran buat sekuel Ali Setan tetapi saya terpaksa menolaknya,” katanya.

Dalam pada itu, ada beberapa projek yang bakal direalisasikan Sheila pada tahun ini.

Selepas pelancaran produk penjagaan kulitnya sendiri, Jerneh, pada 7 Mei lalu, Sheila juga akan tampil dengan dua lagi produk, Mineral make-up dan produk penjagaan selepas bersalin.

Jerneh adalah projek Sheila bersama rakan kongsinya, FA Herbs dan syarikat milik bersama, Pure Intention Sdn Bhd.

“Produk ini impian saya sejak sepuluh tahun lalu. Saya bersyukur kerana Jerneh menamatkan penantian dan merealisasikan impian saya menampilkan produk kecantikan semula jadi yang berkonsep selamat, mudah, halal dan efektif.

“Maklumlah, bukan mudah untuk kita keluarkan produk sendiri kerana selain soal kewangan, saya juga tidak ada Research & Development, kilang dan kepakaran berkaitan produk ini.

“Tetapi ia menjadi kenyataan apabila bertemu dengan pengusaha FA Herbs ini,”katanya.

Kata Sheila lagi, Jerneh bukan produk pemutih yang berlambak di pasaran.

“Apa yang penting, saya ingin meningkatkan kesedaran kepada masyarakat supaya memelihara kulit dan tidak perlu memutihkan kulit yang memang sudah sedia cantik itu. Saya juga tidak pakai botok kerana ia haram.

“Ketika saya buat umrah dulu, saya juga sukar untuk mencari produk halal yang sesuai untuk beribadah. Saya berharap dengan adanya Jerneh masalah itu dapat diatasi,” katanya.

Ketika ditanya, perkembangan konsert Perjalanan Cinta… Jamal Abdillah dan Sheila Majid, di Dewan Perdana

Felda, Kuala Lumpur dijadualkan pada 31 Mei lalu senyap begitu saja, Sheila berkata, dia difahamkan penganjur konsert berkenaan ditunda.

“Saya diberitahu jualan meja untuk konsert itu kurang menggalakkan. Saya memang kecewa apabila konsert itu ditunda tetapi tidak pula menyalahkan peminat.

“Maklumlah, dalam keadaan harga minyak yang naik, mereka pasti berfikir dua kali untuk beli tiket konsert,” katanya.

Sesibuk manapun dengan agenda seni dan tugas sebagai duta yayasan IJN, Sheila tetap mengutamakan keluarga terutama empat anaknya, Wan Nur Khaleda, 17, Megat Abdul Majid, 14, Khadeeja Zaireen Murshim, 4 dan Khalela Laila Murshim.

“Saya bertuah kerana tidak perlu bekerja setiap hari dan ada masa untuk bersama anak-anak. Selain ibu, saya ada pembantu rumah yang menjaga mereka apabila saya dan suami (Acis) keluar bekerja.

“Jika tiada aral, saya dan Acis termasuk beberapa ahli keluarga lain akan berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini,” katanya.

This entry was posted in News. Bookmark the permalink.

Leave a Reply