Intro2u.net >Awal > Heliza bersama Awal

Heliza bersama Awal

By admin

Read Here

Bersandarkan rupa dan bakat, mana tahu duta Astro Oasis (saluran 106) ini akan cemerlang seiring dengan rakan seperjuangannya, Mila. Sekalipun, Mila sudah jauh mencipta nama di depan, Heliza pula lebih senang mengambil langkah mencuba.
mainpix.jpg
Justeru, dia memberanikan diri menceburi bidang lakonan selepas pengacaraan. Namun, sudah rezekinya langkah pertama Heliza terus bermula di layar perak. Di bawah label MIG Production Sdn Bhd, dia disunting berlakon filem Syurga Cinta.

Bukan calang-calang wataknya, Heliza sebagai heroin filem itu di samping heronya, Awal Ashaari, 26. Mengetengahkan genre keagamaan, gadis manis berusia 22 tahun ini mengakui hatinya begitu terpikat dengan watak Syuhadah dilakonkannya.

“Selain watak, sebenarnya memang saya sendiri yang mahu berlakon. Pada saya, lakonan juga bidang seni yang mempunyai cabaran besar dan perlu dicuba. Malah, saya gembira pembabitan ini mendapat sokongan daripada pelakon lain seperti Awal.

“Terus-terang, pada mulanya saya agak kekok juga ketika pembacaan skrip dibuat pada sekitar Mei lalu. Maklumlah, baru kali pertama. Tetapi, Awal banyak membantu dan mengajar cara berlakon. Namun, penghayatan watak amat penting.

“Apapun, saya sudah sedia terima kritikan. Asalkan, ada kaitan dengan bidang diceburi, apa salahnya. Sebagai orang baru, perkara ini biasa dan tidak boleh dielak sama seperti mula-mula saya menyanyi dulu,” katanya berbicara mengenai teguran.

Mahasiswa jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (major Biologi dan minor Kimia), di Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini berkata, dia sedar lakonan akan ada babak sentuhan antara lelaki dan wanita, namun Heliza dia tetap meletakkan syarat.

“Saya akan cuba elak adegan membabitkan berpegangan tangan atau apa saja yang tidak manis. Bahkan, saya pasti membincangkannya dengan pengarah, Ahmad Idham terlebih dulu. Bagi saya, perkara sebegini boleh diurus dan diselesai dengan cara baik.

“Namun, saya tetap yakin babak yang tidak sesuai dengan imej diri takkan ada. Justeru, saya harap penonton dapat menerimanya. Setakat ini pun saya sudah menyanyi, pernah menjadi pengacara dan tiba masa pula beraksi di pentas lakonan,” katanya.

Gadis manis kelahiran Terengganu ini berkata, memandangkan dia sedang belajar, sesi penggambarannya dipercepatkan dalam tempoh 16 hingga 18 hari mengikut tempoh cuti itu.

Katanya, niatnya hanya untuk mempelbagaikan bakat diri.

“Tidak semestinya, saya harus terikat dengan satu cabang seni saja. Saya kena buat eksperimen diri seperti sering dilakukan dalam bidang biologi dan kimia di kampus. Sebelum tahu keputusannya, saya wajar cuba mencari jawapannya dulu.

“Apa yang boleh dikatakan, saya bertuah kerana dapat peluang belajar dan bekerja dengan individu berpengalaman serta profesional. Jadi, peluang yang tidak mudah diperoleh ini akan saya gunakan sebaiknya demi masa depan dalam industri.

“Saya juga mahu berjaya seperti orang lain. Oleh itu, saya sedia sahut cabaran ini dan akan berusaha memastikan lakonan menjadi,” katanya yang popular dengan lagu Doa Dalam Lagu duet bersama Mawi. Nyata vokal Heliza tidak mengecewakan untuk lagu itu,

Menyentuh pula soal album, Heliza berkata buat masa ini, rezekinya belum ada ke arah itu. Cuma, katanya komposer berpengalaman, Aidit Alfian sudah mencipta lagu baru untuknya.

Namun, kata Heliza jadual belajar yang padat menyukarkan proses rakaman.

“Tidak tahu lagi bila saya akan merakamkan lagu itu. Segalanya bergantung pada kelapangan waktu yang saya ada. Apa yang boleh dikatakan, fokus saya memang pada pelajaran. Justeru, tidak semua tawaran nyanyian dapat dipenuhi,” katanya tenang.

Sekalipun belum setahun bergelar artis, Heliza pernah tersenarai dalam ‘Top 5′ calon berjaya kategori Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007) yang berlangsung Mac lalu. Heliza bersaing dengan Mila, Julia Ziegler, Fauziah Ghous dan Farah Asyikin.

Menang atau kalah adat bertanding. Tewas di tangan Mila di ABPBH2007 itu tidak bermakna Heliza kurang bagus. Ternyata, rezeki belum jadi miliknya. Bagaimanapun, Heliza gigih bekerja walaupun cita-cita sebenarnya mahu jadi pensyarah.

Profil

NAMA: Nur Heliza Helmi

PANGGILAN: Heliza

TARIKH LAHIR: 3 Februari 1986

USIA: 22 tahun

ASAL: Kuala Terengganu

KERJAYA: Pelajar, penyanyi, pengacara dan pelakon

TINGGI: 155 sm

BERAT: 42kg

HOBI: Menyanyi dan membeli-belah

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains, Universiti Malaysia, Sabah

PENCAPAIAN: Tempat keempat AF5, duta Astro Oasis (saluran l06)

Related Content

Leave a Reply

Search Here

Categories

Ads

Stats


View My Stats

Become a BLOGGER

Do you think this site is useful?
Do you have something in your mind? Have something to share?

Post Your latest news or info by simply register here

UserOnline