Rahsia seorang pengawal keselamatan yang menjadikan suri rumah berusia 29 tahun sebagai tempat melampiaskan nafsunya terbongkar apabila perlakuan sumbang pasangan terbabit disedari anak lelaki wanita itu, kelmarin.
Difahamkan, sebelum kejadian itu, suspek berusia 27 tahun dari Ajil, Hulu Terengganu dikatakan pernah beberapa kali bertandang ke rumah wanita bersuami berkenaan di Kampung Bukit Merah di sini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, berkata perlakuan lelaki terbabit terbongkar selepas anak wanita berkenaan berusia lima tahun ternampak ibunya melakukan perbuatan terkutuk itu bersama suspek di atas katil dalam rumah berkenaan.
Menurutnya, kanak-kanak itu memaklumkan perbuatan ibunya dan suspek kepada bapanya ketika lelaki berusia lewat 40-an yang mengusahakan kebun sawit itu pulang ke rumah untuk makan tengah hari, kira-kira jam 1 tengah hari.
“Lelaki itu yang terkejut lalu bertanyakan kepada isterinya yang mengaku melakukan perbuatan itu dengan suspek kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin
“Bagaimanapun, wanita itu mendakwa dia terpaksa menurut kehendak nafsu seks suspek yang dikatakan mengugut tidak mahu keluar rumah jika keinginannya tidak dilayan,” katanya.
Katanya, berikutan kejadian itu, wanita berkenaan bersama suaminya membuat laporan di Balai Polis Bukit Besi di sini.
