Adi Putra

Siapa sangka, di sebalik lakonan mantap yang dipaparkan dalam setiap watak, dia juga mampu menjadi penyanyi. Namun, fokusnya masih dalam bidang lakonan.

Di dalam drama terbarunya, Akukah Tanggang?, aktor ini turut menyanyikan lagu tema. Sekali lagi, selain lakonan, lagu hasil dendangannya pula menjadi siulan.

Bagi Hadi Putera Halim atau selesa disapa Adi Putra, dia mahu fokus terhadap bidang lakonan dulu. Sekalipun bakat nyanyiannya berjaya dicungkil, namun hasrat menjadi penyanyi akan diketepikan dulu.

Menurut Adi, jalan untuk pelakon menjadi penyanyi bukan mudah. Sebab itu tumpuan harus difokus ke lakonan terlebih dulu.

“Lagipun, impian saya adalah menjadi pelakon yang baik. Sebab itu saya sentiasa cuba menghasilkan lakonan bermutu. Malah, menyanyikan lagu tema untuk filem dan drama juga memberi saya pendedahan baru dalam dunia seni ini.

“Begitupun, kebolehan menyanyi menjadi bonus buat saya. Sedikit sebanyak saya boleh dikenali sebagai artis versatile. Lagipun, saya memang minat menyanyi dan lagu tema itu boleh diibaratkan sebagai sumbangan saya untuk memeriahkan dunia hiburan.

“Terima kasih kepada mereka yang menyukai lagu dendangan saya. Tidak sangka pula dua lagu ciptaan saya berjudul Warna Dunia dan Kelahiran untuk drama Akukah Tanggang? diterima baik penonton,” katanya.

Mungkin bakat yang ada pada dirinya membuatkan pelakon kelahiran Singapura ini mahu mengubah hala tujunya sebagai penyanyi.

“Belum terlintas di fikiran saya untuk itu. Bagi saya, biar saya mantapkan kerjaya lakonan dulu. Mungkin satu hari nanti apabila saya bersedia dan ada peluang, saya akan mencubanya.

“Saya selesa begini. Kadangkala ada juga yang mengharap dan bertanyakan mengenai pembikinan album, tetapi seperti kita sedia maklum, proses merakam sebuah album bukan mudah. Apapun, kalau ada pihak sudi bekerjasama, ia dapat direalisasikan.

“Buat masa ini saya merancang menghasilkan single dulu. Insya-Allah ia akan disiapkan secepat mungkin. Selain itu, saya ada beberapa lagu untuk koleksi sendiri. Mungkin juga single itu akan dipilih daripada koleksi saya.

“Lebih menarik, kebanyakan lagu itu adalah ciptaan saya selain beberapa lagu sumbangan Ramli Sarip dan Zul (2 By 2). Jika ada peluang, saya mahu memasukkan single ini ke Internet supaya ia boleh dimuat turun oleh pendengar,” katanya.

Mengakhiri bicara, Adi bercerita pula mengenai lakonannya dalam Akukah Tanggang? sebagai Rizwan, anak yang derhaka terhadap ibunya, yang kini dipaparkan menerusi TV3.

Katanya, jika dulu, kisah Tanggang yang derhaka menjadi sejarah dalam hidup orang Melayu. Lalu, ia diangkat dalam filem berjudul Si Tanggang arahan Datuk Jamil Sulong pada 1961.

Bezanya kini, kisah Tanggang sekali lagi diangkat, malah ia dicipta pula dalam suasana moden, sesuai dengan kehidupan masyarakat kini.

“Kisah ini menarik untuk dijadikan teladan buat kita. Sudah pasti, seorang anak yang derhaka terhadap ibunya adalah perkara yang tidak dapat diterima masyarakat kita.

“Jika dulu Tanggang disumpah menjadi batu, tetapi kali ini jalan ceritanya diubah. Saya tidak menjadi batu, namun di akhir ceritanya, saya tetap menerima balasannya. Jadi, pesan saya, jangan ketinggalan menonton sehingga habis cerita ini.

“Mungkin, cerita ini memaparkan aksi ‘derhaka’ yang keterlaluan, namun itulah hakikatnya. Jika perkara ini dipandang remeh, tidak mustahil ia ‘menguasai’ masyarakat kita. Sebab itu pentingnya didikan agama supaya perkara begini tidak berlaku,” katanya.

This entry was posted in Artis, News. Bookmark the permalink.

Leave a Reply