Aleeza Kassim, Ida Nerina dan Diana Rafar bongkar rahsia di pawagam mulai malam ini
DEMI kecantikan, empat pelakon popular yang pernah hangat dengan kisah sensasi sanggup melakukan apa saja biarpun terpaksa membelakangkan agama.

Percaya bahawa amalan memakai susuk mampu mengubah penampilan fizikal mereka membuatkan Ida Nerina, Sofea Jane, Aleeza Kassim dan Diana Rafar sanggup menanggung risiko mengenakan susuk tanpa menyedari ada kesan yang terpaksa mereka tanggung di kemudian hari.
Dan apa yang ditakuti akhirnya menjadi kenyataan apabila Sofea dan Ida menderita apabila perbuatan syirik mereka itu dilaknat Tuhan.
Ops! jangan lekas membuat andaian serta tuduhan melulu kerana apa yang diceritakan tadi hanya dapat dilihat menerusi filem Susuk yang bakal menemui kaki wayang seluruh negara hari ini. Filem bergenre seram arahan Amir Muhamad dan Naiem Ghalili mengupas persoalan pemakaian susuk dan mungkin bakal mengundang kontroversi apabila naskhah ini menuding jari ke arah golongan artis yang dikatakan paling kuat mengamalkan pemakaian susuk ini.
Pada sesi fotografi bersama Hip di bangunan Sri Pentas, Bandar Utama baru-baru ini, tiga pelakon ini menafikan dakwaan bahawa golongan artis adalah paling ramai memakai susuk ini.
CEMAS: Diana dan Sofea dalam salah satu adegan filem Susuk.
Ida ketika diminta pendapatnya mengatakan, pemakaian susuk bukan saja dilakukan golongan artis tetapi juga oleh orang lain termasuk ahli politik.
“Saya tahu, selepas filem ini ditayangkan, mungkin akan ada suara nakal yang mengatakan ini adalah kisah benar mengenai dunia artis tetapi hakikatnya tidak. Saya percaya, masyarakat sekarang sudah cerdik dan tahu bahawa apa yang dipaparkan itu adalah fiksyen semata-mata.
“Sebelum saya berlakon dalam filem ini, saya ada membuat sedikit kajian mengenai amalan susuk ini dan saya dapati bukan artis saja yang mengamalkan susuk tetapi turut membabitkan personaliti lain seperti ahli politik.
“Lagipun susuk ni bukan saja untuk kelihatan cantik tetapi juga untuk supaya orang sentiasa sayang dan juga ilmu kuat. Jadi, ia memang boleh dipakai sesiapa saja asalkan mereka sanggup berdepan dengan pelbagai risiko,” ujar Ida.
MAHU CANTIK: Artis yang mahu kekal jelita sanggup bertemu dengan pakar susuk.
Walaupun percaya akan kehebatan susuk namun jelas Ida, dia tidak berminat untuk mencubanya kerana sudah jelas amalan itu adalah syirik dan tidak diterima Tuhan.
Bercerita mengenai watak Suzana lakonannya, Ida membuka rahsia bahawa ketika dia menghadiri sesi uji bakat, watak Suzana itu sebenarnya bukan untuk dirinya.
“Masa saya pergi uji bakat, saya membawakan watak lain tetapi selepas pengarah melihat saya, terus dia tawarkan watak Suzana itu kepada saya. Mungkin sudah menjadi rezeki saya. Apa yang boleh saya katakan mengenai watak Suzana ini adalah, dia seorang penyanyi popular bertaraf diva yang terdesak untuk mempertahankan popularitinya.
“Justeru, demi populariti dan kemasyhuran, dia sanggup menggunakan susuk, hasil pujuk rayu Dewangga dan nasihat teman, Rozana lakonan Aleeza Kassim,” ujar Ida yang pernah berlakon dalam filem genre serupa sebelum ini iaitu Anak dan Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2.
Mengulas babak kegemarannya, Ida berkata adegan dia mengadakan sebuah konsert khas menjadi satu kenangan paling indah dalam karier lakonannya.
“Dalam filem ini ada menunjukkan babak saya mengadakan konsert Up, Close and Personal dengan peminat. Bagi menjayakan adegan itu, saya diberi kebenaran menjemput rakan baik termasuk Ramona Rahman, Susan Lankaster dan Tony Eusoff.
“Mereka lakukannya kerana kawan dan tanpa bayaran. Saya sendiri bergaya sakan dengan gaun rekaan Albert King dan menggayakan barang kemas tajaan Carat Club. Penggambaran dibuat di No Black Tie dan itulah babak yang paling berharga buat saya.
“Sempena konsert itu saya menyanyikan lagu berjudul Susuk, menggambarkan keperitan dalaman Suzana. Walaupun Suzana berjaya di mata ramai namun dia tertekan untuk mengekalkan kejelitaan dan popularitinya,” ujar pelakon berkarakter ini dalam nada teruja.
Tertekan bawa watak Soraya
LAIN pelakon, lain pula pengalamannya. Diana ketika ditanya pengalamannya berlakon dalam filem ini mengakui dia agak tertekan membawakan watak Soraya.
“Dalam filem ini saya tidak dibenarkan langsung mengenakan alat solek. Ini membuatkan saya kurang selesa kerana sudah biasa mengenakan mekap tebal. Alasan pengarah, mereka mahu menunjukkan transformasi wajah saya sebelum dan selepas memakai susuk.
“Pernah juga saya curi-curi mengenakan mekap tetapi pengarah suruh saya cuci. Bukan saja dari segi mekap malah pergerakan saya dalam filem ini juga terhad. Bimbang juga penonton anggap saya tidak boleh berlakon tetapi nak buat macam mana, terpaksalah ikut kehendak pengarah,” jelas Diana.
Ditanya di manakah cabarannya filem ini, Diana berkata babak di dalam gudang lama dan digantung dalam keadaan kaki di atas dan kepala di bawah memberikan pengalaman ngeri buat dirinya.
“Sewaktu menjalani penggambaran babak itu, saya terlihat puluhan makhluk menyerupai saya dan Ida berlumuran darah. Masa itu kami berdua memakai kebaya merah. Suasana ketika itu memang sunyi dan menyeramkan.
“Dalam keadaan ketakutan saya sempat menjeling ke arah Ida di sebelah dan sebaik saja melihat keadaan mata saya yang putih itu, Ida menjerit meminta saya diturunkan segera. Dan selepas kejadian itu, saya demam seminggu,” cerita Diana bersungguh-sungguh.
Pengalaman lain yang turut dilalui Diana adalah apabila dia terpaksa menolak kehendak pengarah yang mahukan dia berkemban sambil berjalan.
“Masa itu saya baru saja selesai memakai susuk dan pengarah mahu merakamkan adegan saya berjalan sambil berkemban untuk ke tab mandi. Kalau rakaman dibuat saya sudah berada dalam tab mandi, itu tidak mengapa. Lagipun, waktu itu bapa baru meninggal. Jadi saya tak sedap hati.
“Inilah pertama kali saya berkemban kerana sebelum ini saya tak pernah melakukan adegan itu baik dalam filem atau drama,” tuturnya.
Risau dialog kontroversi
BERSEPENDAPAT dengan Ida, pelakon bermata cantik, Aleeza Kassim turut menolak amalan pemakaian susuk.
“Sedangkan hendak guna kaedah moden seperti botox pun saya tak mahu inikan pula mahu menggunakan susuk. Saya percaya pada kecantikan semula jadi kerana itulah yang kekal,” kata Aleeza yang memegang watak sebagai Rozana dalam filem ini.
Sering tampil dengan watak hitam dalam beberapa filem lakonannya sejak kebelakangan ini, Aleeza mengakui dia menyedari perkara itu.
“Mungkin pengarah takut nak bagi saya watak baik-baik kerana wajah saya yang garang ini. Saya memang teringin cuma masih belum ada rezeki hendak pegang watak sedemikian.
Seperkara yang merisaukan Aleeza membawakan watak Rozana adalah dia perlu menuturkan dialog yang mungkin akan mencetuskan kontroversi sekiranya di pandang dari sudut negatif.
“Dalam Susuk saya adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Soraya apa itu susuk dan membawanya berjumpa dengan bomoh susuk. Lebih merisaukan, saya turut menuturkan dialog yang begitu sinis, ‘itulah yang membezakan artis dengan orang biasa ketika menerangkan kelebihan susuk kepada Soraya.
“Sebelum menuturkannya saya tanya pengarah, apakah perlu menggunakan dialog itu kerana takut artis dan orang ramai marah. Dialog itu juga banyak digunakan dalam trailer filem ini. Tetapi mereka kata tidak mengapa kerana ia cuma dialog dalam filem,” jelas Aleeza yang membintangi filem ini ketika dia masih bergelar anak dara.
Sepintas Susuk
* Ida Nerina buat kajian terperinci mengenai susuk sebelum membintangi filem ini.
* Filem Susuk menggunakan khidmat dua orang pengarah iaitu Amir Muhammad dan Naeim Ghalili.
* Sewaktu membintangi filem ini, Aleeza Kassim belum lagi mendirikan rumah tangga.
* Diana Rafar diganggu makhluk misteri sewaktu di lokasi mengakibatkan dia demam seminggu selepas peristiwa itu.
* Selain filem, Susuk juga diterbitkan dalam versi novel hasil nukilan Nizam Zakaria.
Mangsa Susuk
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
