Misteri gangguan histeria ke atas para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur di sini masih belum terjawab dan seolah-olah tidak berkesudahan.
Gangguan histeria yang berlaku setiap hari sejak tiga bulan lalu itu tidak menampakkan jalan penyelesaian sehingga hari ini, sekali gus mencetuskan persoalan adakah sekolah itu wajar ditutup dan para pelajarnya dipindahkan ke sekolah lain.
Hari ini, empat lagi pelajar perempuan diserang histeria dari pukul 9 pagi hingga 1 petang.
Perkembangan terbaru itu dilihat mewajarkan tindakan seumpama itu diambil memandangkan sebahagian para pelajarnya akan menduduki beberapa peperiksaan penting hujung tahun ini.
Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman yang bersimpati dengan nasib pelajar turut meminta kumpulan Darul-Syifa cawangan Pahang menyelesaikan masalah tersebut secara total.
“Saya sudah memanggil kumpulan Darul Syifa bersama seorang pengamal perubatan tradisional untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Namun semua pihak perlu bersabar kerana proses pemulihan ini mungkin mengambil masa agak panjang,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri mesyuarat bersama Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif serta wakil SMK Tanjung Lumpur bagi menyelesaikan masalah tersebut di sini hari ini.
Menurutnya, langkah tersebut perlu disegerakan apatah lagi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad turut meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan beberapa jabatan lain menyelesaikan masalah tersebut.
Beliau mengakui kejadian histeria yang dialami pelajar sekolah berkenaan berpunca daripada gangguan makhluk halus yang terdapat di sekitar sekolah itu.
Menurutnya, daripada 35 pelajar yang mengalami histeria sebelum ini, pihaknya telah mengenal pasti 12 pelajar yang masih terus mengalami gangguan yang sama.
Kata beliau, sehubungan itu pihaknya akan menjalankan proses pemulihan termasuk dengan mengadakan sesi motivasi, solat hajat dan bacaan Yasin secara berterusan.
Katanya, pendekatan berdoa kepada Allah bagi mengatasi masalah tersebut secara berterusan akan dapat mengelakkan berlaku syirik.
“Saya percaya manusia tidak lemah berbanding jin sebab itu juga kita tidak mahu menggunakan khidmat jin bagi menentang jin,” jelasnya.
Sementara itu, Abdul Aziz ketika diminta mengulas kejadian terbaru hari ini berkata, pihaknya akan mencari alternatif menempatkan pelajar terlibat di tempat lain dan bukan di Wad Psikiatri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebelum ini.
“Bagi mengelakkan kontroversi dan rasa tidak puas hati ibu bapa, kita mungkin menyediakan pusat pemulihan di lokasi lain untuk rawatan,” ujarnya.
Pada 25 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan SMK Tanjung Lumpur diselubungi kejadian misteri apabila sebilangan pelajar perempuannya diserang histeria hampir setiap hari terutama menjelang waktu tengah hari sejak Mei lalu.
Dilaporkan juga pada waktu rehat, sebahagian pelajar perempuan akan mengalami sakit-sakit sendi hingga terpaksa berjalan terbongkok-bongkok seperti orang tua uzur dan keadaan itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.
Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mengadakan solat hajat, bacaan Yasin serta menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional untuk memulihkan semangat para pelajar sekolah yang diserang histeria tersebut, namun sehingga kini semua usaha itu gagal.

Menjerit, meracau, mengamuk, suara menjadi kasar dan garau secara tiba-tiba, menjadi bingung atau mendakwa berada di alam yang lain antara kriteria yang biasa digambarkan oleh kebanyakan mangsa histeria.
Sesetengah pihak menganggapnya sebagai kejadian misteri yang mempunyai hubung kait dengan peranan mahkluk halus seperti bunian, jin mahupun syaitan; tetapi tidak kurang menganggapnya hanya satu fenomena akibat tekanan perasaan.
Namun, apa jua pandangan dilemparkan pelbagai pihak, kejadian misteri melibatkan histeria masih terus menghantui lebih 800 pelajar dan guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang hingga kini.
Berhadapan dengan kes histeria di SMK Tanjung Lumpur, terdapat kriteria baru dikesan berlaku ke atas mangsa apabila pelajar atau guru yang diserang histeria akan mengalami sakit sendi hingga menyebabkan mereka terpaksa berjalan terbongkok-bongkok seperti seorang nenek tua yang sudah uzur.
Fenomena tersebut wajar diberi perhatian kerana laporan hospital sebelum ini secara jelas mengesahkan semua mangsa yang diserang histeria termasuk beberapa guru wanita tidak mempunyai masalah kesihatan selain berada dalam keadaan normal.
Persoalannya, mengapa pelajar atau guru wanita berkenaan tiba-tiba meracau, menjerit seolah-olah hilang kewarasan serta mengalami sakit sendi sedangkan mereka secara teknikal dilapor sihat serta waras oleh pihak perubatan.
Perkara utama yang harus difikirkan ialah kejadian histeria telah mengganggu proses pembelajaran pelajar terutama mereka yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Berdasarkan laporan, kejadian histeria di SMK Tanjung Lumpur mula dikesan berlaku ke atas seorang pelajar perempuan pada 13 Mei lalu sebelum berlarutan ke atas 35 pelajar yang lain secara berulang-ulang hingga kini dan kebanyakan mangsa adalah pelajar perempuan.
Mesyuarat khas
Satu mesyuarat khas diadakan pada 28 Julai lalu antara Jabatan Pelajaran Pahang, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), polis dan penduduk setempat bagi mencari jalan penyelesaian.
Selepas hampir empat bulan, histeria berjaya disenyapkan pada 31 Julai lalu apabila beberapa pengamal perubatan tradisional melakukan ikhtiar termasuk upacara “pembersihan” bertujuan memindahkan `anasir’ yang menganggu pelajar berkenaan ke tempat lain menggunakan van.
Bagaimanapun, suasana aman itu hanya bertahan selama lima hari sebelum ia berulang dengan lebih dahsyat hingga ada pelajar yang diserang histeria bertindak lebih agresif, termasuk cuba melarikan diri dari sekolah dan melawan guru yang cuba membantu mereka.
Menurut beberapa mangsa yang ditemuramah, ingatan mereka ketika diserang histeria adalah samar tetapi secara keseluruhannya mendakwa terdapat kemunculan seorang nenek tua yang datang menghampiri mereka dan berbisik sesuatu.
Bagi penduduk yang mempercayai kejadian misteri itu berkait rapat dengan gangguan makhluk halus mendakwa, ramai pelajar perempuan diserang histeria kerana mereka adalah golongan yang lemah dan mudah dirasuk oleh syaitan.
Ada juga di kalangan mereka mengaitkan kejadian itu akibat perkampungan makhluk halus yang terletak berhampiran sekolah berkenaan diganggu oleh beberapa projek perumahan yang dibangunkan di kawasan tersebut.
Tidak kurang mendakwa kejadian itu berlaku apabila lokasi berhampiran kawasan sekolah iaitu laut, sungai dan hutan yang merupakan perkampungan bunian telah dijadikan sarang maksiat oleh golongan tidak bermoral.
Lain pula bagi pengamal perbuatan tradisional yang melakukan upacara “pembersihan” di SMK Tanjung Lumpur, Shahabudin Sham Sudin, 50, pada 1 Ogos lalu.
Beliau mendakwa anasir yang mengganggu sekolah itu terdiri daripada 14 ‘dewasa’ dan tujuh ‘kanak-kanak’.
Menurutnya, ada di kalangan anasir itu sudah lanjut usia, ada yang masih muda, terdapat lelaki dan perempuan serta kanak-kanak dan kesemuanya beragama Islam malah al-Quran serta zikir merupakan amalan mereka.
Tambahnya, kejadian itu berulang semula angkara makhluk halus yang jahat dan tidak menolak keadaan menjadi lebih buruk kerana pelajar dan guru SMK Tanjung Lumpur sedang berhadapan dengan perkara yang lebih dahsyat.
Kesemua dakwaan dan pendapat itu bagaimanapun sukar disahkan melalui logik akal kerana perlakuan serta punca histeria tidak dapat dinilai melalui mata kasar, namun segala kemungkinan tidak boleh dinafikan.
Ini kerana, dalam al-Quran, manusia diingatkan bahawa Iblis pernah berkata, “Oleh kerana engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat, maka demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalang mereka (daripada menjalani jalan-Mu yang lurus).
“Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur,” Surah Al-A’raaf, ayat 16 dan 17.
Bagi mereka yang percaya ada alasan saintifik di sebalik kejadian misteri itu berpendapat, histeria mungkin terjadi apabila seseorang memendam tekanan perasaan yang berpanjangan sehinggalah pada suatu ketika tekanan itu tidak mampu lagi dipendam dalam hati dan melebihi had yang mampu ditanggung perasaannya.
Bagaimanapun agak sukar untuk kita memikirkan secara logik bagaimana 35 pelajar yang diserang histeria itu boleh mengalami tekanan perasaan secara beramai-ramai mahupun bersama-sama.
Sekiranya segelintir pihak mendakwa perkara itu dialami oleh seorang pelajar lalu menyebabkan yang lain turut sama mengalaminya, adakah ia bermakna histeria satu gejala negatif yang berjangkit?
Tanpa mengambil kira histeria itu diakibatkan oleh mahkluk halus mahupun tekanan perasaan, segala langkah yang diambil oleh pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran untuk mengatasi kejadian misteri itu wajar dipuji kerana mereka melihat perkara tersebut secara progresif.
Seperti yang ditekankan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, beliau amat mengalu-alukan sekiranya terdapat mana-mana pihak sama ada mereka itu pakar psikitri mahupun pengamal perubatan tradisional yang ingin menawarkan bantuan.
Para pelajar
Selain itu, cadangan Jabatan Pelajaran untuk menukarkan para pelajar yang mengalami histeria ke sekolah lain turut dilihat bertepatan dengan keadaan kerana mangsa dilaporkan hanya akan mengalami kejadian misteri itu apabila berada di pekarangan sekolah.
Justeru, para ibu bapa yang masih keberatan membenarkan anak mereka yang diserang histeria bertukar ke sekolah lain wajar mengetepikan masalah pengangkutan atau anak mereka tidak sanggup berpisah dengan rakan-rakan mahupun guru SMK Tanjung Lumpur.
Sebaliknya, adalah lebih penting untuk mereka mengutamakan masalah pembelajaran anak masing-masing daripada mengambil kira keinginan berkawan para pelajar terbabit kerana pemikiran remaja tidak sejauh mentaliti golongan dewasa.
Bagaimanapun, jika dilihat dari sudut positif, masih ada hikmah atau peluang ke arah yang lebih baik di sebalik kejadian itu.
Seperti kata seorang bapa pelajar sebelum ini, hati beliau tersentuh apabila hampir setiap hari pelajar dan guru sekolah berkenaan mengadakan program kerohanian seperti bacaan yassin, berzikir dan solat hajat yang turut disertai anak lelakinya.
Tambahnya, ekoran kejadian itu juga, dengan tidak semena-mena sekolah berkenaan memperoleh beberapa peralatan tambahan termasuk pemasangan lampu “sport light” serta peruntukan untuk mengubah suai tandas kerana perkara itu juga didakwa bermula di tandas.
Walau apapun pandangan, alam di sebalik alam nyata memang wujud sebagaimana yang difrmankan oleh Allah SWT iaitu ‘‘Tidak Ku jadikan manusia dan jin di langit dan di bumi semata-mata untuk beribadat.”
Dalam beberapa bulan ni terdapat satu peristiwa histeria yang menggangu sebuah sekolah di kuantan. Pelbagai usaha di lakukan namun kejadian tu terus menjadi-jadi. Ada yang kata sebab pencerobohan tanah sebelah sekolah dan juga kerja-kerja pembinaan di atas tanah tersebut yang di katakan menggangu “sesuatu” di situ.
Teringat aku pada peristiwa yang menimpa kawan aku di sebuah sekolah pokdok. Bagaimana perkara yang sama berlaku, puncanya tak di ketahui. Jangan ingat sekolah pondok pun tak kena, lebih teruk lagi ada. Sehinggakan tok-tok guru kat situ buat baca yassin selama 40 hari tanpa henti.
Dan bagaimana makhluk halus tu melompat masuk dari satu tubuh ke tubuh yang lain dan di “control” oleh satu ibu. Bunyi macam citer dongeng kan? Jin, Iblis, Syaitan wujud, dan dalam Al-Quran pun ada sebut. Yang tak ada sebut ialah Hantu.Â
Aku kenal sorang Ustaz ni, nama dia Ustaz Salleh. Aku kenal dia pun melalui kawan aku. Ustaz Salleh boleh di katakan antara orang kanan Ustaz Haron Din. Dia kekadang bertugas kat Darul Syifa’ selain dari buat perubatan kat rumah dia, tanpa mengira waktu. Itu memang undang-undang dorang. Sesiapa saja yang datang nak berubat..kena jugak layan ..tak boleh kata letih.
Ustaz Salleh ni dia ada perniagaan sendiri, ubat mengubat orang ni bukan kerja cari makan dia. Dia tolong orang atas dasar LillahitaAllah. Sumbangan yang orang bagi tu atas dasar ikhlas je. Ada satu hari tu aku pegi rumah dia. Masa tu dia tengah mengubat sorang kakak yang keluarganya di ganggu makhlus halus. Dalam badan akak tu ada Jin Islam. Perbualan antara Ustaz dengan Jin tu berlaku semata ingin tahun punca dia menggangu. Aku pernah tanya Ustaz, kenapa Jin suka sangat ganggu pempuan. Tapi Ustaz ni jenis tak banyak cakap, jadi persoalan aku tu terkubur camtu je.
Itu perubatan cara Islam. Ada juga bomoh, yang cara perubatan dorang ni aku kekadang tak bleh nak terima. Tapi kekadang yang ni pun aku layan tengok jugak. Aku pernah jumpa sorang bomoh dan pernah tanya dia kenapa kalu Histeria je, kebanyakan yang kena ialah wanita, atau gadis melayu. Macam-macam la dia cerita. Dia kata sebab dorang pakai seksi la, badan dorang kotor la, itu dan ini. Sampailah satu masa tu ada berlaku Histeria kat kawasan situ, kebetulan aku pun ada. Dia ajak aku pergi sebab dia nak Jin tu sendiri jawab soalan aku. So ok la, aku sama kawan aku pun pegi je la.
Sampai je kat bilik orang kena histeria tu, bomoh tu pun baca mantera dia. Bab baca mantera ni yang aku tak suka. Lepas habis baca, bomoh pun panggil jin yang ada dalam badan budak pempuan tu.
Bomoh tu kata dia boleh nampak wajah Jin tu, buruk giler. Tapi aku apa pun tak nampak, yang aku nampak budak pempuan tu je. Itu aku tak kisah la, kalau aku nampak pun mau pengsan di buatnya. Bomoh tu cakap kalau nak bandingkan wajah Jin tu dengan mayat reput, mayat reput pun lebih baik dari wajah si jin tu!!!
Tapi bomoh tetap kuatkan semangat dia. Dia tempik tanya Jin tu, nak tunjukkan yang dia tak takut, walhal dia pun tengah takut.
Begini lebih kurang…
“Mengapa kau rasuk ni hah? Jawap!!!”
Kenapa gadis melayu jadi sasaran kau wahai syaitan yang direjam”
Dengan muka sengih, jin tu jawab…
Â
Â
Â
“”Siapa Bilang Gadis Melayu Tak Menawan
Tak Menarik Hati, Tiada Memikat”
“Kalaulah Memang, Tak Mungkin Aku Tertarik
Kalaulah Sungguh, Tak Mungkin Aku MERASUK…””
maka…terjawab la persoalan aku tu. sekian !
Kejadian histeria berulang kali di SMK Tanjung Lumpur masih misteri
KEJADIAN menimpa 35 daripada 800 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang yang terpaksa berhadapan dengan serangan histeria berulang kali sejak kes pertama dikesan Mei lalu terus menjadi misteri.
Pelbagai tekaan, rumusan dan kupasan dibuat berikutan kejadian dianggap akibat gangguan makhluk halus tetapi satu pun belum dapat menyelesaikan masalah itu, malah pengurusan sekolah tidak mampu berbuat apa-apa apabila serangan histeria berlaku terlalu pantas sehingga sukar mengawal keadaan.
Tanggungjawab dan sikap prihatin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masyarakat setempat dan kariah masjid sedikit sebanyak membantu pentadbir sekolah mencari jalan penyelesaian.
Susulan itu, mesyuarat khas diadakan pada 28 Julai lalu antara Jabatan Pelajaran Pahang, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR), PIBG, polis dan penduduk setempat bagi mencari jalan penyelesaian.
Selepas hampir tiga bulan, kes histeria berjaya diatasi pada 31 Julai lalu apabila beberapa pengamal perubatan tradisional melakukan ikhtiar termasuk kaedah `pembersihan’ bertujuan memindahkan `makhluk halus’ yang didakwa mengganggu pelajar berkenaan ke tempat lain yang tidak diketahui umum.
DUA guru menenangkan seorang pelajar yang diserang makhluk halus.
Bagaimanapun, kejadian itu terhenti hanya seketika dan kembali menyerang pelajar sama pada awal Ogos dan berselang seli sehingga rencana ini ditulis.
Kejadian histeria yang didakwa bermula dari tandas sekolah menarik perhatian banyak pihak kerana pelajar dan guru yang didakwa dirasuk dan diganggu makhluk halus akan mengalami sakit sendi hingga menyebabkan mereka terpaksa berjalan bongkok seperti nenek tua yang sudah uzur.
Bagaimanapun, laporan hospital sebelum ini secara jelas mengesahkan semua mangsa tidak mempunyai masalah kesihatan dan berada dalam keadaan normal.
Kejadian histeria di sekolah itu mula menyerang seorang pelajar perempuan pada 13 Mei lalu, sebelum berlarutan kepada 35 pelajar lain secara berulang-ulang dan kebanyakan mangsa adalah pelajar perempuan.
Lebih memburukkan keadaan, pelajar perempuan yang diserang histeria itu mengalami sakit sendi hingga berjalan bongkok seperti orang tua uzur dan kejadian itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.
Ada pelajar yang meronta dan berjalan terhuyung-hayang ke belakang bangunan sekolah sebelum jatuh, menjerit seperti dirasuk dan apabila sedar, pelajar akan mengadu sakit di bahu kanan.
Ada tanda lebam seperti kesan gigitan pada bahu mereka berdasarkan pemeriksaan dilakukan selepas pelajar berjaya dipulihkan.
Dalam kejadian awal Ogos pula, pelajar yang dirasuk dan diserang histeria berkelakuan lebih agresif dengan cuba memanjat pagar sekolah serta bertutur dengan nada keras dan sukar dikawal.
Beberapa pelajar perempuan cuba melarikan diri dari sekolah dan menunjukkan aksi meronta dan melawan guru yang cuba menghalang mereka keluar dari perkarangan sekolah.
Lebih menyeramkan, pelajar meracau seorang diri di belakang bangunan, bersuara keras dan memandang tajam ke arah guru serta pengawal keselamatan sebelum terhuyung-hayang dan pengsan.
Menurut beberapa mangsa yang ditemui, ingatan mereka samar-samar ketika diserang histeria tetapi mendakwa ada seorang nenek tua yang datang menghampiri mereka dan berbisik sesuatu.
Aziz Basri, 56, bapa kepada seorang pelajar yang kerap diserang histeria berkata, kejadian misteri itu dikhuatiri mendatangkan risiko terhadap kesihatan pelajar selain mengganggu pembelajaran kerana mereka terpaksa mengambil cuti akibat kejadian itu.
Beliau berkata, kes itu dipercayai berlaku pada hujung Mei lalu dan turut menimpa anak perempuannya.
“Kejadian itu berulang dan setiap kali menimpa anak saya yang berusia 14 tahun, dia akan murung dan kami risau ia menjejaskan pelajarannya,” katanya.
INFO
Histeria Tanjung Lumpur
# Kejadian bermula di tandas awal Mei 2008
# Membabitkan 35 pelajar SMK Tanjung Lumpur
# Sering berlaku pada waktu rehat
# Antara tiga hingga lima pelajar setiap kali serangan dan mereka adalah mangsa yang sama
# Serangan mengakibatkan pelajar bertindak agresif, suara bertukar garau dan kasar
# Fizikal mangsa histeria berubah seperti orang tua berjalan bongkok
# Ada kesan gigitan dan lebam pada bahu