Ladylike

Ladylike rockers ciptaan KRU

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
(adawiyah@utusan.com.my)

ladylike.jpg

WAJAH-WAJAH jelita empat gadis Sweden ini menjadi inspirasi KRU meletakkan nama Malaysia ke peringkat antarabangsa. Azam KRU menjulang seni hiburan negara bukan satu khayalan, malah kehadiran Ladylike menjadi batu loncatan agar penggemar seni hiburan dunia menerima lagu ciptaan kita.

Kelainan muzik yang ditampilkan menjanjikan kepuasan peminat muzik rock tanah air. Malah, sasaran pasaran KRU di luar negara merupakan satu anjakan yang perlu dibanggakan.

Selepas pelancaran cawangan-cawangan KRU Studios di Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia dan Hong Kong, KRU mengorak langkah dengan memasuki pasaran Eropah melalui syarikat KRU Europe Ltd yang ditubuhkan pada 7 April lalu di London, England.

Seperti artis lain di bawah bimbingan KRU, Ladylike juga memiliki konsep unik dan bukan hanya berdasarkan rupa paras yang ayu. Walaupun memiliki gaya feminin dan wajah jelita, mereka memilih alunan muzik pop rock.

Ladylike ditubuhkan hasil uji bakat yang telah diadakan di negara-negara Scandanavia (Sweden, Norway, Denmark, Finland dan Iceland) sejak Jun 2007 untuk mendapatkan anggota kumpulan gadis pertama di bawah KRU.

Lebih 600 peserta menyertai sesi uji bakat yang diadakan di Cosmos Studios (sebuah studio di Stockholm yang pernah digunakan oleh artis terkenal antarabangsa seperti ABBA dan Roxette) tetapi hanya empat orang yang dipilih. Mereka ialah Miranda Hortlund, Valerie Wigardt, Louise Tomassino dan Isabelle Filling yang digabungkan dan dikenali sebagai Ladylike.

Ladylike yang berkonsepkan pop rock, telah memulakan rakaman album pertama mereka di Kuala Lumpur dan menggunakan Edry sebagai penerbit. Pada peringkat awal, album ini akan diedarkan di Asia termasuk Singapura dan Brunei serta Eropah. Sekiranya ia mencapai kejayaan yang diharapkan, KRU akan cuba memasarkannya di Amerika Syarikat.

Seunik namanya, Ladylike bermakna setiap gaya dan nyanyian yang dilakukan oleh semua ahli kumpulan ini walaupun dengan jenis muzik rock tetapi mempunyai sentuhan daripada seorang gadis.

Melahirkan perasaan kagum dengan potensi KRU, masing-masing berasa bertuah dapat bekerja di bawah bumbung KRU.

“Kami berasa bertuah dapat berkerja di bawah KRU. Mana tidaknya, antara ratusan yang mengikuti uji bakat, kami antara yang terpilih.

“Setahu kami, KRU merupakan orang lama dan pakar dalam hiburan. Malah, kami selesa bekerja dengan mereka kerana layanan KRU dan pekerjanya sangat baik dan mesra,” ujar Isabelle.

Kehadiran bintang baru ini juga mengharapkan penerimaan peminat tempatan.

Sebagai artis dalam bidang muzik ini, masing-masing tidak ketinggalan mencuba lagu ciptaan sendiri untuk dimuatkan dalam album mereka.

Menurut Miranda, mereka sedang mencipta lagu untuk dimuatkan dalam album nanti.

“Itu adalah impian setiap artis agar lagu ciptaan sendiri dapat dimuatkan dalam album,” jelasnya.

Album sulung mereka ini akan memuatkan lagu gubahan semula beberapa lagu KRU dan lagu Indonesia.

Misalnya, lagu Dreaming Of Time diolah daripada lagu hit Indonesia, Teman Tapi Mesra.

Selain itu, ia turut memuatkan lagu seperti Shooting Star, Mind Over Matter, Give Your All To Me, I Dont Want To Be Like That dan Sick.

Sebagai penyanyi, mereka mengakui tidak boleh lari daripada cabaran. Cabaran besar yang dipikul oleh mereka ialah harus menyanyikan lagu-lagu yang sudah popular kalangan masyarakat bahasa asalnya dalam versi bahasa yang berbeza dan genre rock.

Namun, masing-masing sudah bersedia apatah lagi sasaran album terbitan KRU kali ini ke peringkat antarabangsa.

Tidak hanya memiliki rupa paras yang cantik, mereka percaya bakat yang dimiliki antara kekuatan utama. Walaupun baru berada di Malaysia, mereka juga sudah memahami budaya dan menyukai Malaysia.

Bagi mereka, Malaysia sebuah tempat yang indah.

“Kesibukan dan jadual persembahan serta rakaman yang padat membataskan masa kami untuk melawat tempat-tempat yang menarik. Masyarakat di sini sungguh ramah. kami juga berpeluang merasai masakan mamak dan buah durian yang tidak pernah dirasai di negara kami,” bicara Valerie dan Louise.

This entry was posted in Artis, Song. Bookmark the permalink.

Leave a Reply