Penderitaan Liena Hangat akibat digantung tidak bertali lebih empat tahun lalu berakhir apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini membenarkan tuntutan fasakh penyanyi itu untuk bercerai dengan suaminya, Muhammad Jamal Deluloy Abdullah.
Hakim Syarie Mamat Haizan Salleh memutuskan demikian selepas Liena, 36, memberi keterangan dan mengangkat sumpah istizhar bagi membenarkan segala dakwaannya.
Beliau turut memerintahkan Liena memfailkan penceraian tersebut serta beredah selama tiga kali suci mulai hari ini.
”Mahkamah berpuas hati bahawa saman secara penyampaian ganti telah memenuhi tuntutan dan defendan gagal untuk hadir serta memfailkan pembelaan.
”Mahkamah juga berpuas hati bahawa defendan gagal dan cuai untuk memberi nafkah zahir dan batin kepada plaintif sejak Oktober 2003. Sehubungan itu saya benarkan tuntutan fasakh ini berkuat kuasa hari ini,” katanya.
Liena atau nama sebenar, Norazlina Abd. Rahman memfailkan tuntutan fasakh untuk bercerai dengan suaminya yang merupakan chef berbangsa Perancis itu pada 19 Jun lalu selepas defendan menghilang tanpa dapat dikesan sejak Oktober 2003.
Terdahulu, dalam keterangannya Liena mendakwa bahawa suaminya bukan sahaja berubah menjadi pemabuk dan menyimpan perempuan lain sejak berpindah ke Singapura pada Mac 2003, tetapi juga turut memukulnya.
Katanya, keadaan tersebut berbeza semasa mereka tinggal di Pelangi Beach Resort, Langkawi selepas bernikah pada 21 Ogos 2002.
”Semasa di Singapura, dia mula marah-marah kalau saya tidak beli keperluan seperti minuman dia. Dia pukul saya, beberapa kali dia sakiti saya, yang paling saya ingat dua kali sebab ada kesan iaitu di lengan kanan berpunca daripada kemarahan dan rasa tidak puas hati.
”Banyak perselisihan faham tentang agama. Mungkin disebabkan budaya di Singapura lain, jadi defendan rasa tidak puas hati, dia juga suka keluar malam, mabuk-mabuk dan ada perempuan lain juga,” katanya sambil menangis.
Menurut Liena, dia pulang ke rumah ibu bapanya di Johor Bahru selepas dihalau dan diugut oleh Muhammad Jamal pada Jun 2003.
Katanya, dia kembali ke Singapura kemudiannya untuk mengambil barang-barangnya selepas disuruh oleh suaminya dan Muhammad Jamal juga datang ke Kuala Lumpur untuk menghantar barang-barangnya yang tertinggal.
Liena berkata, kali terakhir mereka berhubung apabila Muhamad Jamal menelefon menyuruhnya membatalkan taraf penduduk tetap (PR) Singapura yang diperolehnya.
”Selepas itu, saya ada berusaha untuk mencarinya dengan pergi ke Hotel Ritz Carlton Millenia, Singapura tempat kami tinggal dulu dan tempat dia bekerja, tetapi dia tidak lagi kerja di situ.
”Dia tinggalkan saya, dia ghaib begitu sahaja. Saya menunggu dia lebih empat tahun tetapi sampai sekarang, masih tidak ada berita,” katanya.
Dalam prosiding hari ini dua saksi iaitu pengurus peribadi Leina, Shamsuddin Othman dan seorang pekerjanya, Norhayati Abdul Rahman turut memberi keterangan sebagai saksi plaintif.
Sementara itu, Liena yang sebelum ini kerap sebak semasa memberi keterangan kelihatan ceria dan melahirkan rasa gembira semasa ditemui di luar mahkamah.
”Azab selama empat tahun dah berakhir, saya teramat puas hati. Ini yang saya tunggu-tunggu selama empat tahun,” katanya.
Ditanya tentang perancangan masa depan, kata Liena, dia akan kembali bergiat aktif dalam bidang seni dan telah menerima tawaran berlakon drama selain akan kembali dengan album terbaru pada tahun depan
