“TERTUTUP sudah pintu, pintu hatiku. Yang pernah dibuka waktu hanya untukmu. Kini kau pergi dari hidupku. Ku harus relakan walau aku tak mau,” demikian bait lirik permulaan lagu Matahariku dilantun Agnes Monica.
Kalau ditanya Linda Onn, 30, lagu apa yang sering dilayan di saat ini, jawapannya secara berseloroh ialah lagu Matahariku dan lagu dendangan Kris Dayanti berjudul I’m Sorry, Goodbye. Sengaja mengujinya dengan soalan begitu, nilailah sendiri apa juga untaian perasaan yang terdampar di sanubarinya.
Hip berkesempatan ke kediamannya baru-baru ini dan ternyata wanita tinggi lampai ini masih meneruskan rutin hariannya sebagai selebriti dan tauke restoran tiga cawangan My Mom’s Chicken Rice (MMCR). Terbaru, Linda terus mengembangkan perniagaan makanan dengan membuka restoran My Asam Pedas. Menjadi sungguh usaha dan rezeki pemilik tubuh bernama Rozlindah Onn ini.
Selama beberapa jam Hip berada di kediamannya, terserlah sikap Linda yang ‘gila-gila’ dan pemurah sehingga menjamu penulis dan jurugambar dengan hidangan masakan yang diambil khas dari restoran miliknya, MMCR di saat tamat sesi fotografi.
Usik Linda, duduklah seminggu bersama dengannya, maka pada ketika itu tahu benarlah sikap sebenarnya. Secara tuntasnya, biar apa juga yang melingkari hidupnya kini, mahu atau tidak, Linda harus akur dengan ketentuan-Nya.
SAYANG; Memberi makanan kepada ikan peliharaan.
“Kehidupan saya semakin hari semakin bagus, alhamdulillah saya semakin sibuk dengan perniagaan makanan dan kerjaya sebagai penyampai radio. Saya juga mengacarakan program berorientasikan hiburan, Glamor yang sudah mula disiarkan di RTM1.
“Sekarang ini saya sering menghabiskan masa di spa untuk menenangkan fikiran dengan berurut dan mandi lulur. Itu keghairahan paling terbaru saya. Kalau di rumah, saya suka duduk di atas buaian hitam (dalam gambar) untuk relaks sambil membaca majalah atau bercakap di telefon.
“Saya bersyukur masih ada ibu dan bapa yang tinggal serumah. Kalau tiada sebarang urusan seni, saya lebih suka duduk di rumah bersama keluarga ataupun ke restoran. Tak pun saya akan keluar berkaraoke bersama keluarga, keluar membeli-belah atau menonton wayang. Saya membeli-belah apabila perlu dan tidak suka pada window shopping. Saya menonton wayang pada setiap minggu sebab ia sudah menjadi tugasan saya kerana mengendalikan Kaki Wayang Era,” ungkap Linda memulakan perbualan menunjukkan sisi tenangnya.
Tak pernah sepi dilanda kontroversi
SUDAH BERSEDIA: Linda tidak menidakkan hasrat untuk berkahwin namun belum ketemu calon suami.
HAKIKATNYA, pada tika dan saat ini namanya baru saja meledak, menggelegak dan bergelora gara-gara terpalit dengan satu persatu rencah kontroversi. Sejak tahun lalu, nama penyandang Penyampai Radio Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama enam tahun ini tidak pernah sepi tanpa kontroversi. Sekadar menyorot kisah yang hangat ‘menyerang’nya tahun lalu, gara-gara kegagalannya muncul di hamparan permaidani merah di Anugerah Academy ke-79 pada 26 Februari tahun lalu.
Ketika itu Fahrin yang sinonim sebagai teman tapi mesra Linda, menjadi pelindung dan penyokong di saat selebriti tinggi lampai ini berdepan dengan pelbagai kemelut yang menjerat dirinya. Selama dua tahun berteman rapat, akhirnya bertiup kencang kisah berakhirnya hubungan mereka. Hingga akhirnya mereka memberi kenyataan di dalam akhbar dan majalah, biarpun penjelasan yang dibuat hanya bersifat ‘selamat’.
Walau apa juga kesudahannya, pihak luar hanya boleh membuat andaian sedangkan empunya badan yang lebih tahu kesimpulannya. Saat ini, Linda masih tegar dan terus utuh meneruskan legasi seni dan perniagaannya.
Kata Linda penuh makna, dia lebih berhati-hati dengan makhluk bernama manusia. Hidup ini umpama karma dan pada akhirnya kita pasti kembali kepada asal dengan mengadap Tuhan.
“Tuhan yang lebih tahu setiap apa yang sebenar terjadi. Saya tidak menjangka begini kesudahannya, ia sudah tersurat. Saya kena sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan, saya semakin matang dan harus kuat berdepan dengan sebarang perkara negatif. Saya juga tidak pernah menyesal kerana setiap perkara yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya. Ia akan terus menguatkan dan mematangkan saya serta menjadi satu pengajaran dan pengalaman terbesar di dalam hidup.
“Tipulah kalau saya cakap kontroversi yang menerjah hidup saya tidak memberi kesan kerana ia membabitkan nama seseorang individu atau pihak yang dijadikan bahan perbualan dan tatapan umum. Hidup ini sering menimbulkan pertimbangan, susah untuk memuaskan hati dan menggembirakan orang lain sedangkan akhirnya ia akan memakan diri kita. Apa yang boleh saya katakan, sayangilah diri sendiri,” tegas Linda yang sangat bersyukur kerana dikelilingi dengan ahli keluarga dan teman yang sangat menyokong.
“Tiada apa-apa,” jawab Linda bersungguh-sungguh apabila disoal apa lagi yang ingin dikatakan kepada lelaki bertubuh sasa bernama Fahrin itu. Hakikatnya, Linda sebenarnya sudah jelak untuk mengimbas kembali kenangan lalu. Kehidupan Linda sudah hampir sempurna, dia sudah memiliki kerjaya yang terjamin di samping perniagaan makanan, hinggakan tanpa ragu, dia meyakinkan dirinya untuk bergelar isteri.
“Saya memang sudah bersedia ke arah itu (berkahwin) tapi jika ditanya soal ‘rasa-rasa’ jodoh bila bakal kunjung tiba, saya tidak mampu menjawabnya, entah. Yang tinggal cuma nak mencari lelaki yang baik untuk didampingi seterusnya bertakhta di dalam hati saya, menjadi suami dan bapa kepada bakal anak saya nanti. Insya-Allah,” katanya ringkas.
INFO: Linda Onn
# Bakal menginjak usia 31 tahun pada 26 November ini.
# Mengendalikan segmen Petang Di Era bermula jam satu hingga empat petang, setiap Isnin hingga Jumaat. Sebelum ini Linda ke udara pada jam empat petang hingga lapan malam. Turut mengendalikan Kaki Wayang Era secara rakaman berdurasi dua minit pada setiap Jumaat jam 5.30 petang dan ulangannya pada Sabtu, 9.30 pagi.
# Kediaman ini dibeli Linda sejak dua tahun lalu dan mempunyai enam bilik. Ia dibeli dengan hasil duit simpanannya sejak bekerja lapan tahun lalu.
# Akan muncul dengan filem Cicak Man 2 berlakon sebagai Amarr sisi baik bagi Rrama lakonan pelakon Indonesia, Tamara Blezinsky.
# Sudah mempunyai tiga cawangan My Mom Chicken Rice di Ampang Point, Tesco Ampang dan Seksyen 7, Shah Alam. Kata Linda lagi, atas sambutan baik dan jika ada modal lebih, dia ingin membuka lebih lagi cawangan restoran makanan itu.
# Mempunyai lebih daripada 20 tas tangan.
# Setia pada satu-satu jenama minyak wangi pada satu tempoh yang lama
Solekan & dandanan : Puan Lova dari Silvana Ultimate (016-6720445)
Sejenak bersama Linda…
# Rumah: Tempat mencari ketenangan. Linda sedang menunggu rumah baru yang bakal siap pada penghujung tahun ini, di Ampang.
# Kereta: Satu kepuasan bagi dirinya dan meminati kereta sejak kecil.
# Stesen radio Era: Matang, nombor satu dan tempat mencari rezeki. Kawan-kawan di sana pun best dan begitu juga dengan majikan di sana.
# Dua tahun lagi: Sudah berkahwin, memiliki anak dan tinggal di rumah baru. Hidup bahagia!
# Nasi ayam: Makanan yang membawa rezeki kepadanya dan dikongsi bersama pelanggan.
# Kontroversi: Lumrah dunia selebriti, pahit harus ditelan dan manis dinikmati. Fitnah berleluasa, tapi hanya tuhan yang mengetahui segala-galanya. Linda Onn tetap Linda Onn.
PROFIL: Linda Onn
Nama penuh: Rozlindah Onn
Tarikh lahir: 26 Nov 1977
Usia: 30 tahun
Tinggi: 170 sm
Asal: Taman Kosas, Johor Bahru
Anugerah: Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular-Berita Harian (ABP-BH) 2001 hingga 2006, Pelakon Baru Sensasi Anugerah Sensasi, Pilihan Pembaca Media Hiburan, Pengacara dan Penyampai Radio Anugerah Media Hiburan 2004.
Filem: Soal Hati, Soalnya Siapa dan Gila Bola
Program: Malam Ini Linda Onn, Olay Total White Aspirasiku, Salam, Sinaran, Maggi Bersama Bintang, Sehati Berdansa dan Glamor.
BY
