Malaysian Idol

Musim berganti dan mereka kini mengukir laluan yang semakin mencabar sebagai anak seni. Hip berkongsi cerita tiga bakat yang sedang cemerlang pasca Malaysian Idol

  ctbjhijau.jpg nora_danish13.jpg  

MEMPERTEMUKAN tiga nama yang dicungkil bakat menerusi pertandingan realiti, Malaysian Idol bagaikan membawa mereka mengimbau nostalgia ketika permulaan meniti karier dalam bidang nyanyian.

Jaclyn Victor dan Mohd Saiful Bakeri atau Saiful berentap untuk musim pertama yang menghadiahkan kemenangan kepada Jaclyn, manakala Daniel Lee mengecap kemanisan pada musim kedua selepas mengenepikan saingan terdekatnya, Norhanita Hamzah atau Nita.

Empat tahun yang berlalu mengukir laluan yang cukup gemilang bagi penyanyi kelahiran Kepong, Kuala Lumpur akrab disapa Jac ini. Berada dalam kelompok teratas penyanyi wanita tempatan berpengaruh dalam industri hiburan Malaysia, Jac kini selesa di liganya yang tersendiri.

Namun kebelakangan ini, penyanyi berusia 29 tahun itu hangat diperkatakan bakal membuka lembaran baru dalam karier seninya. Jac bakal bergelar pelakon di bawah arahan pengarah berwibawa, Yasmin Ahmad dalam filem terbarunya, Talentime.

Disogok pertanyaan mengenainya, penyanyi tinggi lampai itu hanya mampu tersenyum penuh bermakna. Awalnya dia enggan mengulas, membiarkan persoalan itu berlalu tanpa jawapan pasti.
DARI kiri, Saiful, Jaclyn dan Daniel.

“Belum ada apa-apa lagi,” katanya, cuba mengelak daripada meneruskan perbincangan mengenai topik yang hangat diperdebatkan itu.

Mungkin mahu mengelak kontroversi, apatah lagi penyanyi yang popular dengan lagu Gemilang ini pernah menolak tawaran berlakon filem Estet arahan Mamat Khalid membuatkan Jac selesa menyimpan jawapan itu untuk dirinya sendiri.

“Saya bukan pelakon, sebaliknya penyanyi,” kata Jac berbasa-basi, barangkali enggan terlanjur bicara selagi belum ada pengumuman rasmi.

Akur dirinya bukan seorang anak seni versatile, Jac berkata, dia perlu serius mempersiapkan dirinya jika ingin berlakon.

Jac tidak mahu terus ke lokasi tanpa sebarang persiapan rapi kerana baginya, dia memerlukan masa untuk mendalami ilmu dunia lakonan.

“Namun saya tidak menolak jika peluang yang diajukan tiba tepat pada masanya dan pengarah sedia memberi tunjuk ajar. Tetapi saya harus melihat kepada situasi.

“Bagaimanapun banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan sebelum bersedia ke lokasi kerana kerja sebagai penyanyi sendiri sudah cukup membuat saya sibuk,” katanya, menjernihkan keadaan.

Jelas Jac berterus terang, bukan tidak berani untuk menceburi bidang baru namun dia enggan terburu-buru memandangkan dirinya bukan pelakon sejati.

“Saya tiada asas lakonan, cuma perlukan tunjuk ajar supaya dapat memberikan hasil yang dimahukan. Saya tahu kemampuan diri,” katanya.

Beralih kepada kisah peribadinya, Jac yang sudah lima tahun menjalin cinta dengan lelaki dari United Kingdom bersyukur kerana tunangnya kini kembali menetap di negara ini.

Bagaimanapun, kata Jac, mereka belum bersedia untuk menoktahkan percintaan itu dengan ikatan perkahwinan memandangkan ketika ini dia dan tunangannya sibuk dengan karier masing-masing.

Bukan sengaja melengahkan tarikh pernikahan mereka, cuma masanya belum tepat kerana situasi tidak mengizinkan.

“Mujur dia memahami. Lima tahun berjauhan sebenarnya cukup menguji. Mujur saya sering sibuk, membuatkan saya jarang memikirkan mengenai percintaan jarak jauh. Jika tidak mahu gila saya dibuatnya. Pernah disebabkan terlalu rindu, bil telefon saya mencecah lebih RM2,000 sebulan,” kata Jac.

Berterima kasih kepada lelaki itu yang tidak pernah mengongkong karier seninya, Jac berkata, dia masih mahu menyanyi dan ikatan perkahwinan tidak akan menjauhkan dirinya dari bidang yang dicintai itu.

“Tunang saya tidak pernah mendesak saya meninggalkan kerjaya, malah dia sendiri tidak mahu saya mengorbankan karier hanya kerana ingin berkahwin. Disebabkan itu mungkin hubungan percintaan kami bertahan kerana masing-masing memahami keperluan diri. Apabila tiba masanya, kami akan berkahwin juga. Doakanlah,” katanya.

INFO: Jaclyn Victor

# Jaclyn Victor atau Jac, 30, dilahirkan pada 4 Disember 1978 dan berasal dari Kuala Lumpur. Anak sulung daripada empat beradik ini mendapat pendidikan terakhirnya di Sekolah Menengah Taman Ehsan, Kepong.

# Sebelum menyertai pertandingan nyanyian Malaysian Idol (MI), Jac pernah menjadi penyanyi di kelab dan hotel seluruh Malaysia selama lapan tahun, sekali gus dia menganggap pengalaman itu sebagai kolej muziknya.

# Menyertai MI pada 2004 sekali gus dinobatkan sebagai juara pertama program realiti TV berkenaan.

# Lagu Gemilang pernah menjadi juara Carta Hits 1 musim kedua pada 2005 dan Jac pula memenangi kategori Persembahan Terbaik.

# Memenangi anugerah emas ketika menyertai Shanghai Music Festival pada 2005 dan mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL20) dan menang kategori Balada, kedua-duanya menerusi lagu Gemilang. Dia juga pernah bergelar Penyanyi Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2006 di Singapura.

# Menerusi AIM13, Jac memenangi empat kategori sekali gus iaitu Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Album Terbaik, kesemuanya menerusi lagu dan album Gemilang.

# Akhirnya Jac berjaya merobohkan tembok kukuh yang dibina Datuk Siti Nurhaliza selama lapan tahun berturut-turut bermula 1999 apabila dinobatkan sebagai Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) pada AIM14.

Kembara seni Daniel

TIGA tahun mencipta nama di negara sendiri memutikkan keberanian kepada juara musim kedua Malaysian Idol, Daniel Lee untuk membawa bakat seninya mengembara ke luar.

Ogos ini, penyanyi kelahiran Kedah yang baru melancarkan album Melayu, Pasti akan mencuba cabaran baru di Taiwan.

Jujur kata penyanyi berusia 26 tahun ini, dia sendiri kurang pasti akan industri di sana namun memberanikan diri untuk mencuba atas dorongan mereka yang percaya kepada bakatnya.

“Saya akan ke sana selama enam bulan, mengintai pasaran di samping memperkenalkan bakat sebelum membuat perancangan seterusnya. Tetapi daripada apa yang difahamkan, saya akan merakamkan sebuah album terlebih dulu dan lihat reaksi serta penerimaan peminat di sana

“Secara peribadi, saya memang takut mahu mencuba pasaran Taiwan. Memang saya menaruh harapan tinggi tetapi saya mahu simpan sendiri apa impian itu kerana bimbang ia menjadi sebaliknya,” kata Daniel.

Akur pengalamannya masih tipis di negara sendiri sedangkan industri hiburan di sana sudah matang Daniel berkata, dia ke Taiwan dengan hati yang terbuka. Sebelum menyerah kalah, dia mahu terlebih dulu mencuba dan mengintai peluang yang ada kerana kata Daniel, tiada kejayaan jika tidak terlebih dulu meniti kekalahan.

Kelahiran mini album Melayu, Pasti merealisasikan impian Daniel untuk mempunyai sebuah produksi bagi memenuhi permintaan peminat yang mengikuti perjalanan karier nyanyiannya sejak menyertai Malaysian Idol dulu.

Debaran merakamkan dua album Mandarin, kata Daniel, tidak sama ketika dia melangkah ke studio rakaman untuk pembikinan Pasti.

Menganggap dirinya masih lagi hijau dalam industri hiburan, Daniel berkata, dia bermula semula dari bawah kerana Pasti mensasarkan pasaran yang jauh berbeza.

“Saya agak takut untuk merakamkan album ini. Suasananya sangat berbeza, malah saya sedar kelemahan terutama apabila menyentuh soal sebutan dan penghayatan.

“Tetapi, sebaik dilancarkan dan ramai memberikan reaksi positif saya mula yakin serta percaya album ini mampu membawa saya ke satu lagi tahap dalam industri muzik.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan soal berjaya atau tidak kerana apa yang utama ketika ini adalah mencuba serta mengenal potensi diri,” katanya.

INFO: Daniel Lee
Nama Penuh: Daniel Lee Chee Hun
Tarikh Lahir: 1 Julai 1982
Asal: Changlun, Kedah
Album: Kompilasi Malaysian Idol 2, Daniel, Daniel Celebration Edition, Unavoidable dan Pasti
Pencapaian: Artis Baru Pilihan, Artis Tempatan Pilihan, Lagu Tempatan Pilihan, Artis Paling Dikenali, Top 10 Lagu Terbaik dan Artis Baru Terbaik (Anugerah Perak).

Saiful yang baru

EMPAT tahun melayari dunia hiburan, menempuh badai dan dilambung ombak dugaan anak kelahiran Kuching, Sarawak ini masih belum mahu menyerah kalah.

Biarpun perjalanan awalnya diiringi segala macam kontroversi, malah Saiful juga dikaitkan dengan pelbagai khabar kurang enak semua itu tidak menggugat keyakinannya.

Bagi Saiful, dia tidak mahu melatah dengan pandangan negatif yang dilemparkan kerana niatnya menceburi bidang seni untuk membela nasib keluarganya.

Barangkali kerana keikhlasan itu, Saiful masih terus bertahan malah rezekinya juga meluas apabila diberi peluang merakamkan album kedua, Aku Ada Di Sini.

“Saya tidak lagi mempedulikan tanggapan orang terhadap diri ini. Tiada apa yang perlu saya sedih kerana saya tidak berbuat apa-apa kesalahan.

“Mungkin dulu saya pernah terasa hati tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa untuk menutup mulut mereka. Resam manusia hanya melihat kekurangan orang lain namun carik di baju sendiri tidak pernah dipedulikan.

“Saya cuma mahu mencari rezeki, melakukan apa yang saya minat dengan ikhlas kerana mahu keluarga berbangga dengan pencapaian seni saya,” kata Saiful.

Menempuh laluan sukar untuk bertahan sebagai anak seni, akui Saiful, dia pernah hampir berputus asa memandangkan bakatnya kurang diberi perhatian.

Namun, kata Saiful, mengenangkan kembali janjinya kepada keluarga dia berusaha menggali peluang dan ternyata Allah menyayanginya apabila dia diberi peluang kedua oleh Sony BMG Music Entertainment.

“Susahnya untuk bertapak seterusnya bertahan hanya Tuhan yang tahu. Bukan senang membebaskan diri daripada daki dunia hiburan tetapi itu yang saya berusaha keras melakukannya. Dalam apa juga yang dilakukan saya sentiasa terfikir maruah diri dan keluarga. Saya mahu menjadi yang terbaik dan mahu keluarga berbangga.

“Apabila diberi peluang kedua, saya bersyukur kerana pintu rezeki masih terbuka. Peluang memperluaskan perniagaan juga membantu untuk saya terus bernafas di Kuala Lumpur.

“Jujurnya saya tidak boleh terlalu bergantung pendapatan kepada tawaran persembahan. Jumlahnya tidak menentu membuatkan saya perlu berani mempelbagaikan sumber pendapatan untuk survival,” katanya.

INFO; Saiful
Nama Penuh: Mohd Saiful Bakeri
Tempat Lahir: Kuching, Sarawak
Usia: 22
Status: Bujang
Pengajian: SPM
Profesion: Penyanyi.

This entry was posted in Artis, News. Bookmark the permalink.

Leave a Reply