PELAKON, model dan pengacara terkenal, Maya Karin tidak menyangka kunjungannya ke pawagam Odeon, Covent Garden, London, United Kingdom (UK) sembilan tahun lalu telah menimbulkan nostalgia yang tersendiri apabila beliau sekali lagi berkunjung ke pawagam itu baru-baru ini.
![]()
Kali ini pelakon berusia 29 tahun ini bukan menonton filem pelakon lain, sebaliknya beliau menyaksikan sendiri filem lakonannya berjudul Duyung yang ditayangkan di pawagam itu sempena Minggu Filem Malaysia ‘08 di situ anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Menurut Maya, dia seakan-akan tidak percaya apabila filem lakonannya itu ditayangkan di pawagam yang sama pernah dikunjunginya di London pada tahun 1999 bersama adiknya, Irina sewaktu dia berkunjung ke ibu negara UK itu kerana mengunjungi teman sekolahnya di sana.
“Ketika mula-mula sampai di London, saya hanya membawa duit sebanyak 75 pound sterling sahaja. Selama berada di sini (London) saya sempat bekerja sebagai pelayan di sebuah kelab malam dengan gaji sebanyak kira-kira 5 pound sterling sejam.
“Di London saya menumpang di rumah kawan sekolah yang saya kenali sewaktu kami sama-sama belajar di sebuah sekolah antarabangsa di Bandung, Indonesia suatu ketika dulu.
“Saya sempat tinggal di London selama enam minggu. Pada suatu masa saya bersama adik dan kawan saya pernah berkunjung ke pawagam Odeon, Covent Garden bagi menonton sebuah filem Jerman berjudul Run Lola Run.
“Tetapi ketika itu saya tidak menyangka bahawa suatu hari nanti filem lakonan saya pula akan ditayangkan di pawagam yang sama,” katanya ketika ditemui selepas tayangan filem Duyung di pawagam Odeon, Covent Garden, London sempena Minggu Filem Malaysia’ 08 baru-baru ini.
Jelas pelakon kacukan Melayu – Jerman ini, kehadirannya ke kota London pada 1999 hanyalah untuk mencari pengalaman selain menemui rakan baiknya itu yang sudah lama tidak ditemuinya.
Apatah lagi katanya, ketika itu dia baru habis menjalani pementasan teater Mahna-Mahna dan In The Mind Eyes dengan mendapat bayaran sekitar RM2,000 di mana ia telah dijadikan sebagai duit poket untuknya sepanjang berada di London bersama adiknya itu.
“Ketika itu, saya memang merancang untuk mengembara, berjumpa kawan lama sambil bekerja secara sambilan di London. Nasib baiklah saya diterima bekerja sebagai pelayan di Rouge Cafe di kawasan Soho, London. Adik saya, Irina pun kerja juga tetapi dia hanya mampu bertahan selama seminggu sahaja.
“Saya memperoleh pendapatan sebanyak lima pound sterling sejam di mana dalam sebulan saya boleh mendapat gaji sekitar 1,000 pound sterling termasuklah duit tip daripada pengunjung cafe tersebut.
“Daripada duit gaji itulah saya meneruskan kehidupan di London termasuklah menonton wayang di pawagam Odeon, Covent Garden sebagai salah satu aktiviti masa lapang saya dengan kawan-kawan di sini,” ujarnya.
Selain bangga dengan penayangan filemnya di pawagam itu, Maya tidak terkecuali meluahkan rasa gembiranya apabila menunggu saat dia diijabkabulkan pada 14 Ogos ini di Bellagio, Itali bersama pasangannya, Steven Shorthose, 38.
Pernikahan
Kata Maya, dia akan berada di Itali dari 7 Ogos hingga 20 Ogos ini bagi melangsungkan majlis yang cukup penting dalam diari hidupnya itu di mana dijangkakan seramai kira-kira 20 sanak saudara dan kenalan rapatnya dari Malaysia akan berkunjung ke sana.
Antara rakan-rakan artis yang dikatakan sudah bersetuju menghadiri majlis pernikahan yang akan disempurnakan oleh imam sebuah masjid dari Milan, Itali itu ialah Shuhaimi Baba, Kavitha Kaur, Jeslina Hashim, Yasmin Yusof serta dua adiknya iaitu Armin yang kini berada di Mexico dan Irina di London.
“Selain itu, seramai 60 tetamu terdiri daripada sanak-saudara saya dari Jerman dan Austria dan kawan-kawan dari Amerika Syarikat, Australia, Wales, England dan Vietnam juga akan menghadiri majlis perkahwinan saya itu kelak. Selain Itali, saya juga akan mengadakan majlis resepsi perkahwinan saya di Malaysia pada 29 Ogos ini.
“Saya sudahpun menempah pakaian daripada pereka fesyen Syaiful Bahrim untuk majlis di Itali dan Razwan Radzwill pula untuk resepsi di Kuala Lumpur. Saya jangkakan seramai 1,000 tetamu yang akan dijemput pada majlis resepsi itu nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Maya menjelaskan, biarpun selepas bergelar isteri orang, dia akan meneruskan kerjayanya dalam bidang seni, apatah lagi ia mendapat sokongan daripada bakal suaminya itu.
Bagaimanapun, selebriti yang juga Duta Taman Laut Malaysia ini tidak menafikan kesibukannya dengan kariernya sebagai penyanyi menyebabkan dia perlu bijak membahagikan masa antara rumah tangga dan karier.
“Kalau boleh saya tidak mahu anak dulu, mungkin untuk tempoh dua tahun selepas bernikah. Saya mahu menumpukan kepada kerjaya dulu. Suami saya pula amat memahami keperluan diri saya. Kami berkenalan selama tujuh tahun dan mengambil keputusan untuk rapat sejak tiga tahun lalu. Saya rasa kami tidak ada masalah untuk berbincang dan membahagi-bahagikan masa untuk keluarga,” katanya.
Ketika ditanya mengapa majlis pernikahan diadakan di Itali dan tidak di Malaysia, Maya menjelaskan, perkara itu berlaku kerana dia mahu menghormati permintaan ibu bakal suaminya yang sudah uzur dan tidak boleh berjalan jauh.
Justeru, Maya dan keluarganya mengambil keputusan untuk bernikah di Itali bagi memudahkan bakal ibu mertuanya itu yang kini menetap di Manchester, England dapat mengunjunginya ke majlis perkahwinannya di Itali kelak.
“Satu perkara tentang bakal ibu mertua saya ini ialah dia tidak boleh menaiki kapal terbang lama-lama. Ini memang sudah menjadi tabiatnya, mungkin dia tidak biasa. Malah, sepanjang 12 tahun bakal suami saya tinggal di Malaysia, ibunya tidak pernah mengunjunginya kerana masalah tersebut,” jelasnya.
Sambil menjelaskan bahawa beliau tidak mahu majlis perkahwinannya itu diadakan secara besar-besaran, dia telah bertindak selaku perancang majlis perkahwinannya sendiri dengan memilih warna hijau dan putih sebagai temanya kelak.
“Saya tidak mahu dedahkan semuanya terlebih dahulu, tetapi apa yang boleh saya katakan bahawa temanya kelak adalah dalam taman. Saya sukakan kehijauan dan suasana alam sekitar sebab itu saya pilih tema tersebut,” katanya lagi yang juga aktivis alam sekitar.
Bagaimanapun, kerana majlis bersejarahnya itu, Maya melahirkan rasa terkilannya apabila dia tidak dapat menghadiri Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 Ogos ini pukul 8.30 malam.
Ini kerana kata Maya terdapat tiga buah filem lakonannya iaitu Duyung, 1957 Hati Malaya dan Anak Halal yang telah disenaraikan bertanding pada festival anjuran dengan kerjasama Finas itu.

Pingback: Jeslina Hashim Bikini Photos and Biodata | Gossip Artis Melayu Malaysia and Celebrity Photos