Teguran untuk Puteri Sarah
Oleh Akmal Abdullah

“MENYAMPAH tengok aksi lakonan panas heroin filem Aduh Saliha. Ia amat memalukan penonton.” Kenyataan ini daripada seorang pembaca yang menghantar SMS untuk dimuatkan dalam ruangan SMS sebuah akhbar harian, Khamis lalu. Maksud SMS itu memang tidak jelas kerana filem Aduh Saliha arahan M Nasir belum pun siap pembikinannya, malah sudah beberapa bulan tertangguh penggambarannya tetapi peliknya bagaimana ia sudah boleh ditayangkan dan sejak bila pula lakonan watak Saliha ada adegan panas?
Sebenarnya, dalam industri hiburan, ramai pihak mula memperkatakan sikap pelakon utama filem itu, Puteri Sarah. Lakonannya yang ‘panas’ itu bukan merujuk pada aksi beliau dalam Aduh Saliha sebaliknya aksi realiti beliau yang agak keterlaluan, iaitu perbuatannya mencium pipi teman lelakinya dalam gaya bernafsu dan kemudian aksi mereka berpelukan mesra dipaparkan dalam media massa. Aksi sebegitu sewajarnya tidak sesuai didedahkan menerusi media kerana ia memualkan tetapi pihak menyiarkannya tentu ada sebab.
Soalnya bukan kerana gambar aksi itu disiarkan tetapi tingkah laku Puteri Sarah dan teman lelakinya itu yang sepatutnya tidak wajar dibiar dirakamkan oleh lensa kamera. Puteri Sarah adalah selebriti muda yang semakin meningkat naik sebagai pelakon. Dia pernah berlakon dalam drama Kawan, Dunia Anita dan Puteri, selain pernah menjadi model klip video kumpulan Ruffedge serta duta kepada satu jenama produk kecantikan. Namanya ‘meletup’ apabila terpilih untuk membintangi filem Melayu yang menjadi bualan – Aduh Saliha – betapa sukarnya M Nasir dulu untuk cari pelakon yang membawa watak Saliha tetapi akhirnya Puteri Sarah juga yang terpilih.

Namun malangnya, ketika kerjaya Puteri Sarah baru nak menonjol, imej yang ditonjolkan Puteri Sarah menyebabkan ramai peminat mula marah, malah masyarakat akan menyampah dengan sikap artis baru sebegini. Padahnya, imej keseluruhan artis baru dan muda sebaya dengan Puteri Sarah juga mendapat nama busuk. Jangan marahkan masyarakat jika mereka bosan dengan artis baru yang tidak tahu menjaga tata susila dan bangga dengan perlakuan keterlaluan untuk ditatap orang ramai.
Aksi Puteri Sarah dan teman lelakinya itu dipaparkan dalam internet. Difahamkan Puteri Sarah sendiri memuatkan gambar itu dalam satu ruangan di internet, Friendster dan kemudian ada akhbar mula menulis gosip mengenai aksi gambar itu. Namun, nama tidak disiarkan dan wajah Puteri Sarah dan teman lelakinya juga dikaburkan. Kemudian sebuah majalah hiburan memaparkan aksi dan wajah Puteri Sarah tanpa dikaburkan, manakala wajah teman lelakinya itu dikaburkan.
Gambar yang menunjukkan enam aksi Puteri Sarah dengan teman lelakinya yang juga seorang model itu diletakkan di muka depan majalah berkenaan. Ia jelas menunjukkan bibir Puteri Sarah mencium pipi teman lelakinya dalam keadaan seronok dan bergaya manja. Sekali tengok, pembaca mungkin seronok tetapi ia mengundang kejutan, meluat dan rasa marah kerana menyentuh sensitiviti kepada peminat dunia hiburan dan orang ramai.
Sekalipun itu gambar peribadi, kenapa harus dimuatkan dalam internet. Kenapa ada aksi sebegitu sedangkan Puteri Sarah harus ingat dia kini bergelar pelakon, semakin dikenali ramai dan membawa imej sebagai pelajar yang masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi awam.
Nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 23, memang tidak popular macam aktres muda lain seperti Maya Karin, Rita Rudaini, Dynas atau Fasha Sandha, tetapi beliau kena ingat apabila sudah bergelar artis dan menjadi pelakon dalam industri filem di Malaysia, beliau harus tahu dan faham untuk menjaga imej, nama baik dan perilaku supaya imej artis di Malaysia tidak berterusan dipandang negatif.
Jangan marahkan peminat atau media jika masyarakat bosan dengan artis baru yang tidak tahu menjaga adab sopan dan maruah peribadi. Tidak kisah kalau seseorang artis itu bersikap terbuka dalam pergaulan bebas, suka bersosial, waima suka hidup cara artis Barat dan menganggap perbuatannya itu adalah hak peribadi kehidupannya, tetapi apabila keluar bukti seperti gambar macam itu, masyarakat juga ada hak untuk membuat teguran dan meluahkan rasa marah.
Puteri Sarah kena belajar untuk menjaga nama baiknya sebagai artis jika dia mahu pergi jauh dalam dunia lakonan. Kalau masih hendak bersikap sosial keterlaluan, pandai-pandailah bawa diri, jangan sampai orang luar tahu. Selagi artis itu membawa namanya sebagai pelakon atau penyanyi mahupun selebriti dalam industri hiburan di Malaysia, mereka harus tahu yang mana baik dan buruknya kerana kita berada dalam ruang lingkup budaya Malaysia yang berpegang pada moral dan tatasusila.
Ambillah teladan terhadap beberapa insiden yang pernah menimpa artis lain apabila gambar aksi terlampau dalam internet menjadi bahan media massa hingga mengundang kemarahan masyarakat.
