Adegan Artis beraya sakan

Product Type: Maxis Hotlink Prep Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

MESKI sibuk dengan kerja, Fazren, Raja Farah dan Erry Putra tetap punyai masa untuk bersama memeriahkan majlis berbuka puasa Bersamamu TV3 anjuran Hotel Quality Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

RAMADAN sudah pun menjengah ke minggu kedua dan sudah pasti, ia ditempuhi dengan rasa penuh kesyukuran.

Diuji dengan pelbagai dugaan seperti lapar, dahaga, letih dan mengantuk sepanjang berpuasa, ia bukanlah penyebab untuk seseorang itu tidak menunaikan amalan wajib tersebut.

Biarpun dibebani dengan kerja menimbun, kerja tetap kerja dan perlu diselesaikan dengan sempurna sama seperti bekerja di bulan-bulan lain.

Begitu juga kepada golongan seni. Walau jadual aktiviti seni mereka bertembung dengan bulan Ramadan, ia tidak ditangguh atau dibatalkan demi kelangsungan kerjaya masing-masing.

Baru-baru ini, Hits berkesempatan menghadiri majlis berbuka puasa Bersamamu TV3 anjuran Hotel Quality, Shah Alam, Selangor.

Ia diadakan bagi meraikan lima buah keluarga yang terbabit dalam program Bersamamu.

Selain jamuan berbuka puasa, mereka turut diberikan sumbangan bagi menampung perbelanjaan sempena Syawal nanti.

Dalam pada itu, beberapa artis tidak ketinggalan untuk memeriahkan majlis berbuka puasa terbabit.

Toleh kiri toleh kanan, Hits tidak lepas menemu bual tiga pelakon yang semakin mendapat tempat dalam dunia lakonan ketika ini iaitu Fazren Rafi, Raja Farah dan Erry Putra.

Bercerita tentang Ramadan, ketiga-tiga mereka yang punyai wajah menarik menyambut puasa di lokasi pengambaran drama masing-masing.

Ramadan sulung sebagai artis – Fazren
Fazren Rafi atau nama sebenarnya Mohd. Fazren Mohd. Rafi, 23, mula mencipta nama menerusi drama Spa Q.

Memegang watak sebagai Dafi, namanya terus popular dan membintangi pula drama Ali Din dan Impian Laili.

Kini, penuntut tahun akhir jurusan Seni Persembahan Drama (Pengarahan) di Universiti Malaya itu sibuk menjalani pengambaran Spa Q musim kedua.

“Tahun ini merupakan tahun pertama saya menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai seorang artis.

“Memang banyak perubahan berbanding dahulu. Dahulu saya banyak menghabiskan masa bersama kawan-kawan membeli juadah di bazar Ramadan.

“Tetapi, kini saya sudah bergelar artis dan banyak menerima undangan berbuka puasa,’’ katanya.

Jelas Fazren, sebagai pelakon junior, dia tidak akan melepaskan apa saja peluang peluang berlakon meskipun sibuk dengan kuliah.

Ujarnya, walaupun pembelajarannya sedikit terjejas, dia akan berusaha untuk memberi keseimbangan antara belajar dan berlakon.

“Saya tidak mahu berehat panjang dalam berlakon kerana takut orang sudah lupa. Justeru, saya terus berlakon di samping fokus kepada pelajaran.

“Cita-cita saya adalah untuk menjadi pengarah dan sebab itu saya mengambil jurusan pengarahan di universiti,’’ jelasnya.

Katanya yang bakal menyambut lebaran di Meru, Klang, dalam usaha untuk menjadi pengarah baik drama atau filem, dia mensasarkan untuk mencapai impian itu dalam tiga tahun lagi.

“Namun, kalau diberikan peluang, saya akan berjinak-jinak dalam pengarahan drama terlebih dahulu sebelum mencuba bidang filem.

“Bagi orang baru macam saya, adalah perlu untuk cepat belajar tentang segalanya,’’ ujar Fazren.

Ditanya pengarah yang menjadi idolanya, Fazren memberitahu dia cukup meminati Kabir Bhatia di samping Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Farah ingin ke Jakarta
Sama seperti Fazren, pelakon Rajah Farah Raja Aziz, 20, juga sibuk di lokasi pengambaran bagi drama Mertua vs Menantu pada bulan Ramadan ini.

Menerusi drama itu, Raja Farah memegang watak sebagai Liza iaitu seorang yang gedik dan sombong serta cuba merampas suami orang.

“Pengambaran Mertua vs Menantu dijangka selesai pertengahan Ramadan ini. Selepas itu saya akan berehat dan mungkin bercuti ke Jakarta bersama ibu dan kawan-kawan.

“Di sana (Jakarta), kami akan membeli-belah untuk persiapan raya,’’ katanya yang akan menyambut raya di Terengganu dan Negeri Sembilan.

Menurut Raja Farah, selepas pulang daripada percutian itu, dia akan terlibat dengan sebuah lagi pengambaran drama.

“Itulah jadual saya sepanjang Ramadan ini. Berpuasa dan berbuka di lokasi pengambaran. Tapi, kalau pengambaran habis awal, saya akan usahakan untuk berbuka puasa dengan keluarga di rumah,’’ jelasnya.

Erry rakam lagu baru
Bagi Erry Putra pula, pelakon kacak yang popular dengan watak Joffri menerusi drama bersiri Manjalara ini, dia turut punyai jadual yang padat sepanjang Ramadan ini.

Sibuk dengan pengambaran drama bersiri Sutra Maya sebanyak 60 episod, bekas anggota kumpulan Boyz R Us itu juga sedang giat mempromosikan single barunya yang memuatkan dua buah lagu iaitu Izinkan Aku serta Cintaku.

Tidak dijual di pasaran, single tersebut yang berkonsepkan pop rock hanya untuk diputarkan di stesen radio.

Menariknya, lagu berjudul Cintaku dijadikan sebagai lagu tema untuk drama Sutra Maya.

“Syukur kerana rezeki saya semakin bertambah sejak muncul dalam drama Manjalara,’’ jelas anak ketiga daripada tujuh beradik ini lagi.

Mengenai sambutan Ramadan pula, kata Erry, dia terpaksa berkorban kenikmatan berbuka di rumah atau membeli juadah di bazar Ramadan kerana sibuk dengan pengambaran Sutra Maya.

“Terpaksalah saya berbuka di lokasi pengambaran sahaja. Mengenai juadah berbuka, saya cuba elakkan makan kangkung dan terung supaya perut tidak berangin yang boleh menganggu lakonan saya nanti,’’ katanya yang akan pulang beraya ke Kelantan nanti.

Sementara itu, selepas popular dan diingati sebagai seorang yang memegang watak lelaki kaya dan bergaya dalam Manjalara, Erry mengakui dia terpaksa menjaga penampilan diri.

“Kalau berlakon apa-apa watak pun saya akan pastikan tidak terlalu selekeh,’’ tambahnya

This entry was posted in Artis, News. Bookmark the permalink.

Leave a Reply