Intro2u.net >Erra Fazira > Anak Sulung Erra FAZIRA

Anak Sulung Erra FAZIRA

By admin

Read Here

ZURIAT sering dianggap sebagai pelengkap kepada pasangan berumah tangga. Setiap pasangan yang sudah berkahwin, akan lebih terisi dengan kehadiran cahaya mata yang merupakan pengikat kasih sayang antara mereka.

Dan pastinya detik-detik menantikan kelahiran cahaya mata tersebut antara momen indah yang tidak akan dilepaskan oleh semua pasangan yang sedang mengalami situasi itu.

Itulah perasaan yang sedang dialami oleh aktres dan penyanyi wanita jelita, Erra Fazira ketika ini.

Tiada kata-kata yang mampu diucapkan lagi selain memanjangkan doa ke hadrat Ilahi agar kandungannya yang sudah pun memasuki usia tiga bulan itu selamat seadanya.

Malah jelas bekas ratu cantik ini lagi, perhatian suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin terhadapnya kini tidak berbelah bagi sementelah peristiwa keguguran lalu dijadikan iktibar agar tidak berulang lagi.

Hari-hari yang dilalui kini semakin bererti sementara menanti kehadiran insan baru dalam kehidupan mereka.

Jujur terang wanita berusia 34 tahun ini, dia sangat gembira dan bersyukur dengan apa yang sedang dilaluinya.

Meskipun sibuk di lokasi penggambaran drama Mertua vs Menantu tetapi dia masih lagi yakin mampu menjaga kandungan kali ini dengan baik.

“Saya sangat-sangat gembira kerana apa yang dihajati akhirnya berhasil. Ini memang di luar jangkaan saya kerana saya dapat tahu perkara ini ketika saya bercuti di Pulau Tioman bersama-sama pekerja saya.

“Sebelum ke Pulau Tioman lagi saya dapat merasakan ada perbezaan dalam diri saya. Akhirnya, ujian kehamilan dibuat dan Alhamdulillah, ia positif,” jelas Erra yang tetap meraikan percutian yang cukup indah di pulau peranginan itu biarpun sudah berbadan dua.

Menurut Erra, dia dan suami pada awalnya memang sengaja merahsiakan terlebih dahulu berita gembira itu daripada media dan masyarakat.

Berdasarkan perancangan mereka juga, pasangan itu berhajat menghebahkan berita itu semasa kandungan Erra berusia tiga bulan demi kebaikan semua.

“Saya nak tunggu tiga bulan kemudian baru nak umum bersama-sama suami kepada semua orang. Tapi nampaknya suami saya lebih dulu beritahu pada semua orang, jadi saya tak boleh nak kata apalah.., mungkin dia terlalu gembira nak jadi bapa,” jelasnya sambil menjeling ke arah suami tercinta.

Satu yang pasti luah penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Hanya Di Mata ini dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang alahan mahu pun kesukaran sepanjang tiga bulan kandungannya ini.

“Alhamdulillah saya tidak mengalami sebarang masalah kecuali selera makan saya bertambah. Dulu berat badan 53 kilogram, sekarang bertambah lagi lima kilogram,” cerita Erra.

Ketika ini, biarpun sibuk di lokasi penggambaran, Erra bagaimanapun akan memastikan tidak melakukan sebarang kerja berat.

“Untuk memastikan kandungan kali ini baik, setiap orang yang saya jumpa mesti saya bertanya itu dan ini untuk dapatkan lebih banyak maklumat tentang kandungan,” terang isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Suria FM ini lagi.

Diajak berbual mengenai persiapan menyambut orang baru pula, kata Erra, semua itu terlalu awal untuk diadakan.

“Buat masa sekarang, Emran tidak mahu tahu jantina kandungan ini tetapi saya pula beria-ia untuk mengetahuinya kerana ia memudahkan saya sediakan barang-barang kelengkapan.

“Tetapi, kami berdua tak kisah sama ada bayi yang bakal lahir lelaki atau perempuan,” katanya lagi.

Lazimnya, wanita yang hamil sering mengidam benda-benda yang pelik. Bagaimana pula dengan Erra?

“Mengidam tak ada tapi saya ada hajat kalau saya mengandung saya nak Emran tukar kereta. Ini kerana dia pandu kereta dua pintu. Ia sedikit menyulitkan. Jadi saya mahu dia tukar kereta empat pintu dan permintaan itu sudah dipenuhi. Alhamdulillah,” katanya bercerita penuh ceria.

Sementara itu, bagi Engku Emran pula dia seboleh-bolehnya mahu isteri tercinta sentiasa ada di sisi.

“Saya tahu sekarang dia sibuk penggambaran tapi kalau boleh saya mahu dia selalu ada dengan saya. Bukannya apa sebab dia ini suka buat lagi kerja-kerja yang lasak jadi saya risau. Selalunya saya akan menghubungi dia untuk memastikan apa yang dilakukan,” katanya sambil tersenyum manis.

Menyambung perbualan terang Emran setiap hari dia akan memastikan membaca surah Al-Fatihah kepada kandungan tersebut selain mengucup perut isterinya selalu.

“Saya sangat-sangat gembira dan tak sabar menantikan kelahiran anak kami ini yang juga merupakan cucu pertama bagi keluarga Erra dan cucu keempat bagi keluarga saya,” kata Engku Emran mengakhiri perbualan.

Related Content

One Response to “Anak Sulung Erra FAZIRA”

  1. admin

    MUSNAHNYA perkahwinan bukanlah membawa maksud permusuhan antara setiap pasangan yang pernah menjadi suami isteri.

    Begitu juga dengan hubungan Yusry Abdul Halim, 35, atau Yusry dan bekas isterinya Erra Fazira yang masih lagi rapat sebagai kawan hingga ke hari ini.

    Penyanyi dan pelakon kesayangan ramai yang mesra disapa Erra pada penghujung Ogos lalu dilaporkan telah hamil tiga minggu.

    Lantas, kesempatan bertemu Yusry pada majlis berbuka puasa dan rakaman Melodi Raya di Sunway Lagoon Surf Beach Area baru-baru ini, Hits dan beberapa wakil media sempat bertanyakan reaksinya terhadap berita itu.

    Gembira dengan berita tersebut, kata Yusry, setelah membaca laporan tentang kehamilan bekas isterinya itu, dia tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Erra di atas kandungan sulungnya.

    “Saya menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada Erra untuk mengucapkan tahniah kepadanya. Kemudian Erra membalas SMS saya dan menyuruh saya cepat kahwin dan cepat dapat anak.

    “Kata Erra dalam SMS itu, kalau saya dapat anak manalah tahu suatu hari nanti kami boleh berbesan,” kata Yusry sambil ketawa kecil.

    Menyambung perbualan, Yusry menjawab, pertanyaan tentang pengakhiran zaman dudanya. Tanpa rasa tertekan, kata Yusry, segalanya bergantung kepada jodoh dan ketentuan Ilahi.

    “Setiap kali orang bertanya tentang perkahwinan, saya tak tahu nak jawab apa. Biarpun saya berkawan dengan ramai wanita tetapi yang serius masih belum ada dan kalau keluar dengan mereka pun tidaklah terlalu kerap.

    “Saya tidak rasa tertekan sebab saya sudah pernah berkahwin. Saya sering katakan pada diri sendiri kalau ada jodoh kahwinlah saya tetapi kalau tiada nak buat macam mana.

    “Insya-Allah, jika saya sudah bertemu calon yang benar-benar sesuai saya akan umumkan, buat apa saya nak sorok. Kalau boleh saya mahu menamatkan zaman duda sebelum berusia 40 tahun,” kata Yusry tanpa berselindung.

    Jual rumah kerana sunyi?

    Memilih untuk bersendiri mungkin jalan yang terbaik untuk jejaka berbintang Gemini ini.

    Biarpun mempunyai aset yang lengkap, namun Yusry lebih gemar mengharungi hidup bersendirian.

    Dalam sibuk mempromosikan filem terbarunya Cicakman 2 – Planet Hitam (C2-PH), yang bakal ditayangkan pada November depan dia dikatakan menjual banglo mewah tujuh bilik miliknya yang tersergam indah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

    Menolak dakwaan kesunyian menjadi penyebab, kata Yusry, dia membuat keputusan tersebut kerana syarikat milik KRU di Jalan Jelatek bakal berpindah ke Cyberjaya tidak lama lagi.

    “Kebetulan pejabat nak berpindah ke Cyberjaya sebab itu saya rasa lebih baik kalau saya jual sahaja rumah tersebut.

    “Lagipun, rumah itu besar sangat sebab itu saya nak cari rumah yang kecil sedikit. Tambahan pula saya jarang duduk di sana dan jarang pula dapur rumah itu berasap,” kata Yusry lagi.

Leave a Reply

Search Here

Categories

Ads

Stats


View My Stats

Become a BLOGGER

Do you think this site is useful?
Do you have something in your mind? Have something to share?

Post Your latest news or info by simply register here

UserOnline