Awal Ashaari ke pentas drama

NAMA Awal Ashaari pastinya tidak asing lagi di kalangan peminat seni tanah air. Tidak hanya aktif sebagai model, jejaka kacak ini cukup laris sebagai pengacara dan pelakon. Malah, drama lakonannya, Impak Maksima yang kini disiarkan di TV3 amat diminati ramai.

Bukan itu saja, program W yang dihoskan setiap Rabu, jam 11.30 pagi pun turut mendapat perhatian penonton. Namun, sasaran utama Awal pada lakonan tidak pernah ‘lari’. Bahkan, tawaran diterimanya tidak putus dan terbaru dilamar menjayakan drama usaha sama.

Siapa sangka, bakat pengacaraan Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari yang menyerlah dalam One In A Million (OIAM) menjadi pembuka laluan padanya ke pentas drama terbitan bersama Malaysia dan Filipina, Eliza sebanyak 26 episod.

“Saya tidak pernah menyangka diberi peluang sebesar itu. Tambahan pula, ia drama berbahasa Inggeris yang membabitkan kerjasama antara dua negara. Malah, hanya empat saja pelakon dari Malaysia dipilih menjayakan drama Eliza ini.

“Selain skripnya yang mengetengahkan kisah cinta pasangan kekasih, drama ini turut dibintangi dua pelakon popular Filipina masa kini iaitu Jericho Rosales dan Kristine Hermosa. Melihatkan pembabitan mereka, saya amat teruja dan berdebar.

“Maklumlah, bakat lakonan mereka hebat. Itu yang membuatkan saya risau dan kecut perut dibuatnya. Tetapi, saya akan cuba membawakan watak saya sebaik mungkin dan membuktikan pelakon Malaysia juga boleh. Namun, saya tetap menggigil memikirkannya,” kata Awal.

Menyentuh soal penggambaran, Awal berkata drama itu sudah memulakan penggambaran kira-kira dua minggu lepas dan babak yang membabitkannya pula bermula Jumaat minggu lalu. Bagaimanapun, katanya lokasi dibuat di Malaysia dan Filipina.

Awal berkata Eliza juga dibintangi aktres Carmen Soo dan Louisa Chong. Malah, jika semuanya berjalan lancar, penggambaran akan berakhir sekitar Jun ini. Apapun, katanya drama itu amat mencabar dan berharap Eliza akan mendapat sambutan.

Berbicara mengenai pemilihannya itu, Awal berkata mungkin disebabkan kelincahan mengacarakan OIAM sebanyak dua musim membuatkan pihak produksi di Filipina berminat. Katanya dalam OIAM dia bertutur dalam dwi bahasa, Melayu dan Inggeris.

Apapun, Awal yang pernah memenangi anugerah pencarian model jenama pakaian French Connection United Kingdom (FCUK) pada 2004 dan seterusnya, Cleo 2005 turut menjalankan perniagaan butik secara online di laman web mannequeenclothing@ dotblogspot.com

Bukan itu saja, anak kelahiran Kampung Baru ini tidak kisah digelar lelaki metroseksual. Baginya, sebagai pelakon penampilan amat penting. Justeru, fesyen perlulah dipelbagaikan untuk kelihatan kacak dan bergaya. Oleh itu, tidak wajar ia dipertikaikan.

Powered by Harian Metro

This entry was posted in Artis, Awal, News. Bookmark the permalink.

2 Responses to Awal Ashaari ke pentas drama

  1. Pingback: AWAL- Ahmad Awaluddin Ashaari

  2. erin says:

    awal hensem giler

Leave a Reply