Awie dan Erra Fazira

JIKA suatu ketika dulu pasangan Awie dan Erra Fazira cukup dinanti-nantikan kemunculan mereka di layar perak, kini gabungan dua nama besar itu mungkin kembali memeriahkan industri perfileman apabila pengarah berkaliber, Afdlin Shauki menawarkan Erra untuk muncul dalam filem Sumo Lah.

Bagaimanapun, kata Erra, dia belum memberikan kata putus berhubung perkara berkenaan kerana setakat ini, tawaran hanya secara lisan dan dia akan memberikan keputusan apabila sudah meneliti skrip akhir filem terbabit.

Mengulas kemungkinan dia bergabung semula dengan pasangannya dalam filem Sembilu yang juga pernah menjadi tunangannya sebelum ini, Erra berkata, industri hiburan di negara ini adalah kecil dan dia harus bersikap profesional dalam soal kerjaya.

“Beraksi di samping Awie boleh menjejaskan mutu lakonan Erra? Erra tidak melihatnya dalam konteks itu. Sebaliknya jika Erra berlakon dengannya, Erra memandang perkara itu sebagai satu cabaran dan menguji tahap profesionalisme Erra dalam karier.

“Erra tidak mahu sikap ‘apabila merajuk, kita tidak boleh berlakon dengan orang tertentu’. Lagipun, apa yang berlaku dulu, biarlah berlalu. Bagi Erra, kerja bukan soal peribadi. Jadi, sebagai pelakon, Erra sedia berlakon dengan sesiapa saja, tidak kisah Awie atau mana-mana pelakon lain,” ujar aktres cantik ini.

Calon Top 5 kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005 ini ditemui ketika melancarkan Koleksi Diraja Rafflesia berupa set rantai mutiara dan subang bernilai RM150,000 di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Set perhiasan berkenaan bakal menjadi milik Bintang Paling Popular ABPBH2005, dengan acara kemuncaknya akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, jam 8.30 malam, 26 Februari ini.

Pada majlis itu nanti, Erra bersama 22 selebriti lain akan mengenakan perhiasan Rafflesia di samping menggayakan rekaan 12 pereka tempatan, termasuk Khoon Hooi, yang menyediakan gaun merah buat Erra pada majlis minum petang terbabit.

Erra menegaskan, dia faham kedudukannya sebagai artis yang menjadi milik masyarakat dan segala keputusan perlu mengambil kira pandangan dan fikiran orang lain juga.

“Begitu pun, sampai satu peringkat, kita juga perlu memikirkan sesuatu untuk kebaikan diri kita juga. Justeru, Erra perlu mengatur langkah dengan lebih yakin. Erra masih lagi mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga. Erra kena jadi tabah dalam menghadapi semua ini. Bagaimana ibu Erra hendak percayakan Erra jika Erra sendiri lemah menghadapinya?” tanya bintang ini.

Diminta ulasannya terhadap kemungkinan tindakannya menerima tawaran berlakon di samping Awie boleh melukakan hati pihak lain Erra berkata, “Sebenarnya, Erra belum pun membuat keputusan. Namun, Erra rasa Erra boleh terus berlakon dengan mana-mana pelakon kerana dunia lakonan masih menjadi periuk nasi Erra. Lagipun watak yang ditawarkan itu bukannya watak pasangan kekasih.”

Selain Sumo Lah, Erra turut ditawarkan Afdlin untuk berlakon dalam filem Lost & Found dan sebuah filem seram. Sebelum itu, dia akan menemui peminat di layar perak menerusi filem Persona Non Grata bermula 9 Mac depan, manakala album terbarunya bakal menjengah pasaran pada Jun nanti.

Pada majlis pelancaran koleksi mutiara Rafflesia itu juga, Erra dikejutkan dengan majlis hari lahirnya. Artis wanita jelita itu genap berusia 32 tahun pada 9 Februari lalu.

Ditanya mengenai perasaannya yang kian mendaki tangga usia, bekas Ratu Cantik Malaysia ini mengaku, pada mulanya dia berasa takut untuk menjejak usia 30-an. Namun akhirnya dia mengambil pendekatan positif dengan melihatnya sebagai waktu untuk mencapai apa yang diinginkan dalam hidup.

“Pada usia 20-an dulu kita merancang dan kini masanya kita mengorak langkah mencapai impian berkenaan. Erra sendiri tidak mahu berlakon dan menyanyi sampai bila-bila. Justeru Erra mahu mempunyai satu bidang lain yang boleh menjadi sokongan hidup Erra buat jangka waktu yang panjang.

“Bidang itu pula bukanlah berkaitan dunia hiburan, biarpun masih lagi dalam bidang perniagaan. Maaf, Erra tidak boleh mendedahkannya pada waktu ini. Sebenarnya Erra mempunyai beberapa pilihan bidang yang boleh Erra terokai. Namun ada satu yang Erra rasa cukup kuat untuk menjaga kebajikan Erra sampai bila-bila,” kata Erra yang melihat 2006 sebagai tahun untuk dia memberikan perhatian sepenuhnya kepada kerjaya.

This entry was posted in Artis, Erra Fazira. Bookmark the permalink.

Leave a Reply