HATI mana yang tidak terusik apabila orang mula memperkatakan yang dusta dan tidak benar tentang diri kita. Walaupun hati meronta mahu memperjelaskan isu yang sebenar, namun, bukan semua yang akan mempercayai segala yang keluar dari mulut empunya diri.
Begitulah dilema yang dihadapi oleh pelakon terkenal, Datin Norish Karman yang tidak pernah menyangka kembalinya ke persada seni tanah air, rupanya tidak disenangi beberapa pihak.
Bukan waktu ini sahaja, malah, saat dia mula memeriahkan industri seni tanah air dengan filem perdananya, Sayang Salmah pada tahun 1992, sudah banyak kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya.
Namun, mengenali Norish Karman, hatinya bagaikan besi waja yang bukan mudah untuk dileburkan. Malah, dia sesekali tidak akan mengalah pada keadaan dan juga dia tidak pernah gentar pada cabaran.
“Saya berasa begitu pelik kerana kehadiran saya semula ke industri seni rupanya mengundang rasa yang tidak selesa pada sesetengah orang. Saya tidak tahu apa salah saya.
“Setahu saya, sepanjang menjadi seorang selebriti, saya tidak pernah ganggu hidup sesiapa. Tetapi, saya tidak akan menganggap perkara ini untuk saya berundur sebaliknya ia menjadikan saya lebih kuat dan terus mencari rezeki yang halal,” demikian tegas Norish sewaktu ditemui pada majlis pelancaran drama Lara Rindu Mahsuri, baru-baru ini.
Norish menyedari orang mula memperkatakan tentang dirinya apabila dia dikatakan cuba mengelakkan diri serta tidak mampu untuk membawa watak Nora dalam pementasan Bukan Dejavu arahan Siti Rohayah Attan, baru-baru ini apabila cuba berpura-pura pengsan untuk menarik perhatian ramai.
Sedangkan, realitinya sememangnya pada waktu itu, Norish sedang berdepan dengan kesulitan apabila dirinya dihidapi dengan serangan jangkitan pada kerongkong yang menjadikan tekaknya mudah kering. Apatah lagi, dia juga alah kepada asap rokok mahupun debu atau habuk.
“Siapa yang tidak mahu berlakon dalam teater apatah lagi teater tersebut bukanlah sembarangan naskhah yang dipentaskan. Bersama dengan orang yang bijak pandai dalam dunia teater merupakan satu pengalaman yang begitu indah dan tidak mungkin dikecapi dengan begitu mudah.
“Mujurlah, keadaan saya ketika itu difahami oleh pengarahnya. Malah, dia juga meminta saya untuk berehat daripada menjalani latihan. Saya telah bekerja tanpa henti dan doktor juga menasihati saya untuk banyak berehat agar perkara yang sama tidak berulang lagi,” ujarnya sambil memberitahu pernah dia tidur selama dua hari berikutan penyakit yang dihidapinya itu.
Tambahnya, adalah mengecewakan sekali apabila ada pihak tertentu yang tidak mahu menerima hakikat tentang kehilangannya dalam pementasan Bukan Dejavu dengan menabur fitnah terhadap dirinya.
Katanya, apa yang berlaku, merupakan ketentuan Allah dan sebagai hamba-Nya, Norish terima segala suratan takdir. Dia tidak mahu memeningkan kepala memikirkan tentang apa orang bercerita yang tidak elok terhadap dirinya.
“Apabila membicarakan tentang teater, kita harus menontonnya lebih daripada sekali untuk merasakan penghayatannya. Kalau ada yang mengatakan lakonan saya tidak memberikan impak, saya tidak boleh kata apa.
“Apa yang saya mahu adalah diri saya sentiasa memperbaiki kelemahan dalam usaha meningkatkan mutu lakonan saya sebagai seorang pelakon. Malah, istilah serik tidak pernah ada dalam kamus hidup saya,” kata Norish optimistik.
Dalam pada itu, anak kelahiran Singapura ini juga menjelaskan dia begitu bersyukur dengan segala rezeki yang telah diberikan kepadanya sehinggakan dia kini tidak menang tangan untuk menerima tawaran berlakon.
Sehingga kini, dia telah terlibat dengan tiga buah drama yang memerlukannya berkejar dari sebuah lokasi ke lokasi iaitu Lara Rindu Mahsuri, Kau Mencari Dosaku dan Kasut Tumit Tinggi.
Istimewanya, ketiga-tiga drama berkenaan menyaksikan Norish berlakon di bawah arahan pengarah yang mempunyai sentuhan berbeza iaitu Zul R.Shad, Erma Fatima dan Low Ngai Yuen.
“Inilah yang dikatakan rezeki tetapi itu tidak bermakna saya adalah seorang yang tamak. Saya juga akan meneliti skrip yang saya rasa sesuai untuk dibawakan. Saya rasa adalah satu kerugian yang amat besar seandainya saya menolak peluang berlakon dalam produksi yang bagus.
“Walaupun mungkin orang akan mengatakan saya seorang yang tamak kerana berlakon dalam tiga produksi berbeza dalam masa yang sama, tetapi saya adalah seorang yang cukup komited dalam setiap kerja saya,” tuturnya bersemangat.
Bercerita tentang Lara Rindu Mahsuri yang akan memulakan tayangannya di TV3 dan TV9 bermula bulan Ramadan ini, Norish menyifatkan watak Teh Halimah cukup mencabar kredibilitinya sebagai seorang aktres.
“Membawakan watak seorang yang gila adalah sesuatu yang amat saya idamkan kerana bukan mudah untuk mengubah diri kita berdasarkan karakter yang telah diberikan. Bukan itu sahaja, berlakon di samping Eman Manan sebagai suami saya juga adalah pengalaman yang cukup hebat.
“Kami sememangnya mendalami watak masing-masing sehingga tangan saya lebam akibat dicengkam kuat oleh Eman. Apa yang pasti, saya bertuah kerana dapat berlakon bersama pelakon hebat yang lain,” jelasnya yang berkemungkinan besar akan kembali ke lokasi drama bersiri, Spa Q 2 tidak lama lagi.
Selain Norish dan Eman, Lara Rindu Mahsuri juga menampilkan dua pelakon baru yang sedang meningkat naik, Sherry Ibrahim dan Memey Suhaiza serta dibantu oleh Maimon Mutalib, Kartina Aziz dan Hisham Ahmad Tajuddin.
Sementara itu, Norish juga yang hangat dengan kisah peribadinya kini juga enggan mengulas lanjut tentangnya.
“Apa yang saya mampu katakan saya belum bersedia untuk memberitahu apa-apa dan setakat ini, saya okey sahaja. Saya masih lagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu di rumah,” ujarnya sambil menguntum senyuman manis.
