Dato K kawen lagi | Siti Piece

Datuk K, Siti Nurhaliza enggan buang masa layan fitnah

GAMBAR yang tertera di ruangan ini sudah cukup membuktikan bahawa kasih sayang usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa terhadap isteri, Datuk Siti Nurhaliza tidak pernah luntur walau badai datang melanda.

Selama dua tahun melayari hidup sebagai pasangan suami isteri, pelbagai dugaan dan rintangan mereka tempuhi. Sepanjang tempoh itu juga, pasangan ini terpaksa berdepan dengan gosip yang menyakitkan. Tuduhan memukul isteri sekitar tahun lalu antara gosip paling panas yang perlu diharungi Khalid sejak beristerikan Siti. Akibatnya Khalid terpaksa membuat laporan polis kerana bimbang ia berlarutan sekali gus mencemarkan reputasi mereka.

Ingatkan, selepas meraikan ulang tahun kedua perkahwinan mereka 21 Ogos lalu, tidak ada lagi gosip picisan mengenai pasangan ini ditimbulkan. Malangnya, ia tetap berlaku. Terbaru, keharmonian rumah tangga mereka cuba digugat dengan khabar kononnya Khalid berkahwin lain dengan seorang pramugari di luar negara.

Dalam erti kata lain, penyanyi berdagu lekuk ini sebenarnya hidup bermadu tanpa dia sendiri mengetahuinya. Walaupun Siti sendiri pernah menafikan perkara itu, namun selagi tidak mendengar sendiri kenyataan dari si empunya diri, selagi itulah persoalan demi persoalan bermain di fikiran.

Mendekati Khalid ketika lelaki berusia 49 tahun ini menghadiri majlis pengenalan artis baru Siti Nurhaliza Production (SNP) di Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, malam kelmarin memberi peluang kepada pihak media mendengar sendiri luahan isi hatinya.
SIDANG akhbar Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid pada majlis berbuka puasa dan majlis memperkenalkan artis naungan Siti Nurhaliza Production.

Khalid yang mengakui terkilan dengan cerita itu berkata, dia tidak pernah menduakan Siti dan sekali gus menafikan yang dia berkahwin lain seperti yang disebarkan di dalam internet, baru-baru ini.

“Perkara seperti ini (berkahwin) sebenarnya tidak pernah berlaku. Itulah akibatnya apabila kita terlalu mempercayai gosip terutama yang disebarkan di internet. Ada kalanya benda ini bermula dengan gosip yang kecil. Tetapi ia mula menjadi besar apabila ada pihak mengambilnya secara serius.

“Bagaimana saya hendak berkahwin lain sedangkan saya dan Siti sentiasa bersama. Boleh dikatakan 99 peratus masa saya banyak dihabiskan bersamanya. Kalau berpisah pun mungkin disebabkan kerja dan itu pun tidak mengambil masa yang lama.

“Jadi apabila gosip itu mengatakan yang saya berkahwin di London, saya menjadi hairan,” katanya yang kelihatan tenang melayan pertanyaan media malam itu.
BERSAMA artis naungan Syarikat SNP.

Biarpun dakwaan berkahwin lain itu boleh disifatkan sebagai keterlaluan dan boleh menggugat keharmonian rumah tangga mereka sekiranya diambil dengan serius namun Khalid tidak mahu memperbesarkan perkara itu dengan membuat siasatan atau mengambil tindakan mahkamah terhadap si penyebar fitnah.

“Saya tidak akan membuang masa melayan ini semua. Lagipun ini bukan kali pertama kami difitnah. Sebelum ini pun saya pernah didakwa memukul Siti hingga saya terpaksa membuat laporan polis. Apapun, saya akur kerana inilah harga yang perlu saya bayar apabila berkahwin dengan artis popular seperti Siti,” tegasnya sambil memandang isteri kesayangannya.

Sementara itu, Siti turut melahirkan perasaan terkilannya apabila rumah tangga yang dibinanya itu tidak henti-henti dilanda fitnah.

“Tapi, apabila Siti fikir kembali, Siti jadi malas hendak memikirkannya kerana gosip seperti ini kalau kita layan, makin lama makin menjadi. Mereka ini memang tunggu masa saja untuk melihat Siti melenting. Daripada Siti melayan perkara macam ini, baik Siti buat benda lain yang lebih mendatangkan faedah,” ujar Siti begitu setia berada di sisi suaminya sepanjang sidang media itu berlangsung.

Ditanya apakah reaksinya apabila membaca gosip seperti itu, Siti menegaskan fitnah itu tidak akan menggugat kepercayaannya terhadap suami.

“Sebaik saja membaca cerita itu, Siti ada juga bertanyakan pada suami Siti. Itupun sekadar ingin mendapatkan kepastian. Namun, selepas dia menerangkan perkara sebenar, Siti biarkan saja perkara itu diam begitu saja. Siti tak ada perasaan prasangka pun pada suami kerana Siti memang percayakannya,” tutur Siti lembut.

Kerja amal Siti dan Khalid

SIAPA sangka, badan amal kebajikan, Yayasan Nur Jiwa yang ditubuhkan serentak pada majlis perkahwinan mereka dua tahun lalu kini semakin aktif membantu mereka yang daif serta yang dalam kesusahan.

Buktinya, mengambil keberkatan bulan yang penuh mulia ini, Khalid sebagai pengarah yayasan terbabit berkata yayasan itu menjadikan golongan miskin tegar sebagai fokus utama untuk menerima bantuan.

“Untuk golongan ini kami berikan mereka keperluan asas untuk sebuah rumah seperti almari, katil, tilam dan sebagainya. Dan kami juga turut menyalurkan bantuan kepada mana-mana rumah kebajikan yang daif. Bantuan yang diberikan bukan sekadar dalam bentuk wang ringgit tetapi pelbagai.

“Mungkin ada rumah yang memerlukan mesin haemodialisis, saya dermakan mesin itu. Dan kalau ada yang mahukan keperluan asas lain, kami cuba penuhi hajat itu. Begitulah seterusnya,” kata Khalid sambil memberitahu kerja amal itu adalah aktiviti berterusan dan tidak terhad ketika bulan Ramadan saja.

Kerja amal pasangan suami isteri ini nampaknya semakin berlanjutan dan terbaru mereka turut bercadang untuk mengadakan persembahan amal untuk membantu golongan artis yang kurang bernasib baik.

”Kertas kerja projek ini sudah pun dibuat dan persembahan amal ini akan kami adakan di beberapa buah negeri yang terpilih seperti Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Kami akan bekerjasama dengan rumah kebajikan terpilih di setiap negeri.

“Hasil kutipan daripada persembahan itu sebahagiannya akan kita salurkan kepada rumah kebajikan terpilih setiap negeri dan bakinya akan kita dermakan kepada mana-mana artis yang memerlukan,” ujar Siti yang enggan mendedahkan senarai artis yang bakal terbabit dalam persembahan itu.

Bukan sengaja hendak promosi anggota keluarga

SELEPAS 13 tahun menceburkan diri dalam bidang seni, baru kini Siti yakin untuk mengetengahkan bakat baru di bawah syarikat miliknya iaitu SNP. Dan kebetulan, dua daripada tiga artis yang bernaung di bawah syarikatnya adalah darah dagingnya sendiri.

Enggan menjadikan perkara itu sebagai satu kontroversi, Siti berkata pemilihan Saida dan Sairah sebagai artis SNP adalah kerana dia sendiri yakin dengan bakat yang dimiliki kedua-duanya itu.

“Sebelum ini Siti memang sengaja membiarkan mereka mencari peluang memperkenalkan diri mereka dengan cara mereka sendiri tanpa perlu menumpang populariti saya. Sairah nampaknya semakin dikenali selepas menyertai pertandingan One In A Million manakala Saida pula menerusi rancangan Akademi Fantasia.

“Selepas melihat perkembangan mereka dan puas hati dengan pengalaman yang mereka ada, barulah saya berani menjadikan mereka artis saya. Perkara ini tidak ada kena mengena dengan soal pertalian darah dan andai itu dijadikan ukuran, sudah lama saya berbuat demikian,” jelas Siti yang semakin jelita sejak pulang dari mengerjakan umrah. Selain Sairah, Saida serta lima anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Coda turut bernaung di bawah syarikat terbabit.

Pada majlis itu, Siti, Sairah, Saida dan Coda turut menghiburkan tetamu dengan lagu terbaru mereka serta rangkaian lagu bertemakan Hari Raya. Turut hadir pada majlis itu adalah ibu bapa Siti serta anak-anak dari rumah Nurul Iman.

This entry was posted in Siti. Bookmark the permalink.

Leave a Reply