Selepas berita Erra mengandung dua bulan disiarkan media, kelmarin pertama kali pelakon utama filem Anak itu tampil di khalayak umum bersama suami menghadiri majlis berbuka puasa.
Walaupun kandungannya kini mencecah tiga bulan, penampilan Erra tetap seperti dulu. Cuma, bentuk tubuhnya nampak sedikit berubah apabila perut dan punggungnya mula berisi.
“Sekarang ini saya kuat makan tidak kira apa saja kecuali makanan ringan. Itu pun selepas dinasihatkan rakan-rakan terdekat. Dulu saya memang suka makan asam tetapi ada orang kata kandungan asid di dalamnya tidak baik untuk bayi.
“Setakat ini segalanya baik. Syukur apabila saya tidak menghadapi masalah seperti alahan atau mengidam perkara yang bukan-bukan. Cuma saya kuat makan. Sekarang ini berat badan sudah bertambah daripada 53 kepada 58 kilogram,” katanya yang sentiasa tersenyum bercerita mengenai kandungannya.
Cerita Erra lagi, walaupun kandungan masih baru, sepanjang menjalani penggambaran drama bersiri 26 episod, Menantu vs Mentua dia dapat memberikan tumpuan.
“Bagaimanapun, saya mengambil langkah berhati-hati dengan tidak mengangkat barang berat. Tidak tahu mengapa apabila mengandung saya semakin kuat bekerja. Sesekali apabila terasa penat di lokasi, saya akan tidur sekejap.
“Penggambaran Menantu vs Mentua akan diteruskan hingga Jumaat (hari ini). Selepas itu ia akan dihentikan buat seketika dan disambung selepas Aidilfitri. Ada 13 episod lagi perlu dihabiskan.
“Saya tidak risau jika selepas ini perut semakin kelihatan kerana di pengakhiran drama itu saya digambarkan sedang mengandung. Ini mungkin rezeki anak,” katanya yang pernah mengalami keguguran Mac lalu ketika kandungan berusia 17 minggu.
Kata Erra, dia mahu mengetahui jantina bayi dikandung bagi memudahkannya membuat persiapan tetapi Emran mengatakan yang dia tidak mahu tahu jantina anak.
“Saya ada cara untuk merahsiakan daripadanya. Mungkin bilik yang akan disiapkan untuk bayi kami nanti akan menjadi kawasan larangan untuknya.
“Setakat ini saya belum tahu apa jantina anak kerana kandungan masih baru. Bagaimanapun, kebanyakan orang yang rapat dengan saya berkata kandungan saya ini lelaki.
“Saya tidak tahu macam mana mereka tahu tetapi kata mereka ia jelas kelihatan menerusi sikap dan penampilan saya. Pertama kerana perangai saya agak kasar dan tidak pernah kisah mengenai penampilan.
“Malah hendak bersolek pun terasa malas,” katanya yang turut menunjukkan sikap tidak kisah apabila tali kasut yang digayakan hari itu terputus.
Sebagai persediaan untuk bergelar ibu, jelas Erra dia banyak membaca dan mengutip tip daripada mereka yang berpengalaman.
“Sejak mengandung, buku mengenai penjagaan bayi menjadi teman setia. Selain itu saya turut melayari Internet bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai proses mengandung,” katanya.
Bercerita mengenai suaminya, kata Erra, Emran sendiri sekarang ini sedang membuat banyak persediaan untuk bergelar bapa, termasuk bercadang menukar kereta.
Kebetulan Emran yang berada di sisinya petang itu menjelaskan dia mahu memotong rambut sebagai nazar apabila kandungan selamat dilahirkan.
“Menurut doktor, kemungkinan besar Erra akan melahirkan bayi pada Mac tahun depan. Memang saya bercadang untuk memotong rambut tetapi tidaklah botak sepenuhnya.
“Mengenai kereta, apa yang boleh saya katakan ia sesuai untuk pasangan yang sudah berkeluarga kerana sekarang kereta yang saya gunakan hanya ada dua pintu, jadi apabila sudah ada anak nanti susah,” katanya.
Bercerita mengenai sikap Erra sepanjang mengandung, kata Emran isterinya itu agak kasar dan sensitif. Selain itu dia juga semakin sabar berbanding dulu.
“Rasanya menjadi perkara biasa bagi wanita yang sedang mengandung bersikap sensitif. Sebagai suami, saya perlu faham dan sentiasa berusaha untuk menjaga emosinya agar berada dalam keadaan stabil. Bagaimanapun, apa yang saya bimbangkan adalah sikap aktifnya kerana ia tidak baik untuk kandungan,” katanya.
Waktu sama kata Emran, dia sudah mula berkomunikasi dengan bayi dalam kandungan dengan mencium perut Erra setiap pagi dan membacakan al-Fatihah.
Kata Emran, semua ahli keluarganya gembira apabila Erra disahkan mengandung terutama ibu mentuanya yang akan menimang cucu sulung dan ibunya bakal memperoleh cucu keempat.
