SEBUT sahaja tentang penyampai radio popular Hot FM, Fara Fauzana, pasti umum akan terbayangkan wajah ceria serta celotehnya tidak kira dalam mengendalikan apa sahaja rancangan sama ada untuk siaran televisyen mahupun radio.
Sempena menyambut ketibaan Syawal yang bakal menjelang awal bulan depan, pelbagai rancangan raya menarik disajikan oleh stesen-stesen televisyen tempatan.
Seperti tahun lalu, Fara tidak ketinggalan mengendalikan program raya khas yang menampilkan dirinya sebagai subjek utama.
Selepas berjoget lambak, sekali lagi gadis kelahiran Shah Alam, Selangor ini bakal menghiburkan para peminatnya lebaran nanti dalam program khas Raya Bersama Fara yang bakal ditayangkan di TV3 pada hari raya kelima, 5 Oktober ini bermula pukul 5 petang.
Menurut Fara, program rayanya kali ini berbeza dengan Joget Lambak Bersama Fara yang juga ditayangkan di TV3 pada lebaran tahun lalu.
“Banyak perbezaan dengan program tahun lalu di mana ia lebih fokus kepada joget tetapi tahun ini 60 peratus lebih kepada konsep bual bicara.
“Selain itu, banyak juga cerita-cerita peribadi yang menjadi rahsia saya selama ini turut dipaparkan dalam rancangan ini.
“Apa yang paling mengejutkan ialah panggilan Wada yang pernah diberikan kepada saya suatu ketika dahulu turut didedahkan. Saya amat menjaga rahsia itu sebab saya tak mahu orang tahu panggilan Wada itu,” kata pengacara rancangan Melodi itu.
Selain Wada, ibunya, Farida Jalil, 51, turut mendedahkan panggilan Parameswari yang pernah diberikan kepadanya suatu masa dahulu.
Segmen pembukaan menyaksikan kumpulan yang terkenal dengan lagu Farhana iaitu Jinbara tampil dengan lagu Fauzana – Puteri Bumi Kenyalang (lagu Farhana yang diubah lirik kepada Fauzana).
Tampil jelita dengan busana rekaan Rizalman berona merah jambu, rancangan berdurasi selama satu jam itu terbahagi kepada empat segmen.
Segmen pertama rancangan itu dimeriahkan dengan kehadiran pelakon dan pelawak veteran, Datuk Aziz Satar serta penyanyi yang cukup popular dengan lagu Bunga-Bunga Cinta, Misha Omar yang mengisi segmen artis paling digemari oleh Fara.
Segmen kedua pula menampilkan dua personaliti yang pernah dikenakan Panggilan Hangit oleh Fara pada lebaran tahun lalu antaranya ialah Darling Ngasri.
Pada segmen itu juga, Fara mengambil kesempatan memohon maaf secara terbuka kepada mereka.
“Program ini turut menampilkan seorang pelakon lelaki yang cukup saya minati iaitu Afdlin Shauki. Apa yang menarik, Afdlin pula yang mengambil alih tempat saya dengan mengemukakan soalan-soalan panas,” katanya.
Segmen tersebut serba sedikit telah membongkar latar belakang mengenai Fara sebelum menjadi selebriti terkenal termasuk hubungan dengan rakan baiknya, Fahmi.
Selain bual bicara, para penonton juga turut dihiburkan dengan selingan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh selebriti yang diundang.
Antaranya ialah lagu Aku Lelaki, disampaikan oleh Afdlin, Suasana Hari Raya dan lagu Jawapanmu yang dinyanyikan secara duet oleh Fara dan Misha Omar.
“Sebenarnya untuk program ini saya tidak dimaklumkan untuk menyanyi. Itu yang saya rasa kurang berpuas hati dengan persembahan saya.
“Bagaimanapun, apa yang penting adalah orang-orang yang menonton. Biar nampak ada kesilapan sebab itu memang realitinya,” kata Fara lagi.
Rancangan yang diterbitkan oleh Khalijah Mohamed dan Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) itu turut memberi kejutan kepada penyampai radio popular itu dengan kehadiran rakan sekontinya, Faizal Ismail.
Fara yang jelas terkejut dengan kehadiran Faizal tidak dapat menahan sebak serta air matanya ketika memohon maaf secara terbuka.
Menurut Fara, dia tidak mengetahui rancangan pihak penerbit mengenai kemunculan Faizal pada rakaman rancangan itu kerana apa yang dimaklumkan kepadanya ialah Faizal tidak dapat menghadirkan diri kerana terlibat dengan urusan lain.
Selain kejutan, pelbagai pendedahan dibuat oleh ahli keluarga serta rakan baiknya.
Tidak ketinggalan, rakan-rakan setugasnya di Hot FM turut mendedahkan tentang ciri-ciri lelaki idaman Fara.
Kepada peminat setia Fara Fauzana, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan rancangan khas, Raya Bersama Fara di TV3 pada 5 Oktober ini bermula pukul 5 petang
