Intro2u.net >Artis > News > Fara Fauzana

Fara Fauzana

By admin

Read Here

BUKAN macam deejay radio lain, saya lihat Fara Fauzana seorang selebriti yang tidak pernah duduk diam. Maksud saya banyak yang dia lakukan dalam satu-satu masa. Bukan hanya berulang alik ke konti radio Hot FM setiap hari sebaliknya aktif berlakon dan menjadi pengacara.

Dari pandangan mata kasar, nampak benar dia sibuk untuk mengejar cita-citanya yang kadang kala macam tak terkejar. Percaya atau tidak saya mengambil masa kira-kira setengah tahun untuk mengaturkan sesi fotografi dengannya.

Betul seperti kata orang bukannya mudah untuk mendapatkan Fara Fauzana. Benar sungguh. Setengah tahun. Bayangkanlah. Sehinggalah pada suatu hari saya mendapat kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pegawai perhubungan awam Hot FM, Ryn untuk memberitahu jadual terbaru Fara selepas beberapa kali diubah.

Sambil menanti kedatangan jurusolek popular yang dipanggil Chomel, kami banyak berborak mengenai hal-hal semasa termasuklah mengenai kerjaya Fara.

“Hari ini saya kurang sibuk sikit sebab baru habis penggambaran filem Jin Notti bersama Mawi. Sebab itulah boleh buat fotografi ini,” kata Fara ketika temubual diadakan kira-kira dua minggu lalu.

Dalam masa yang sama saya bertanya bolehkah dia membahagikan masa antara tugas hakiki sebagai penyampai radio dan juga berlakon?

Sambil tersenyum, kata Fara, itu semua perkara kecil.

l Bijak mengurus masa

Kalau dilihat jadual kerja Fara, boleh dikata agak mengejutkan. Seawal 4.30 pagi dia sudah bangun untuk bertolak ke stesen radio Hot FM bagi memulakan tugasnya bersama Faizal Ismail bermula pukul 6 hingga 10 pagi. Selepas pukul 2 petang, barulah Fara boleh keluar pejabat apabila habis kerja lapan jamnya.

Hendak atau tak, lepas waktu pejabat barulah dia boleh menerima apa juga tawaran lain termasuk berlakon yang kadang kala menuntut dia pulang lewat malam.

Kerja-kerja berat Fara tidak termasuk tugasnya sebagai pengacara Melodi dan juga Gang Starz pada setiap hari Ahad. Itu semua memerlukan dia melakukan satu pengorbanan yang besar. Sudah biasa menguruskan masa, perkara itu bukanlah satu masalah besar.

Akui gadis berusia 28 tahun ini, pada dasarnya orang mungkin melihat dia sibuk tetapi selama ini Fara dapat menguruskan masanya dengan baik.

“Tak pernah lagi sepanjang saya dilihat begitu sibuk macam ini, saya pernah terlewat masuk konti. Syukurlah kalau kita dapat menguruskan masa itu, masalah kelewatan tidak akan berlaku,” ujarnya.

Mempunyai seorang pembantu yang juga sepupunya, masa untuk berehat Fara habiskan di dalam kereta. Tidak perlu tidur lebih lapan jam, memadai beberapa jam sahaja untuk dia cas semula `baterinya’ itu.

Sebagai contoh kata Fara, selalunya untuk ke sesebuah lokasi, dia akan mengambil peluang untuk tidur di dalam kereta yang dipandu sepupunya. Tempoh yang singkat itu sudah cukup bagi Fara dan dia tidak menghadapi apa-apa masalah ketika di lokasi.

Sejak sekian lama mengamalkan cara itu, itulah kepayahan yang harus dibayar untuk menjadi seorang yang berjaya. Kerja kuat dan mempunyai ketahanan mental tinggi seperti yang dimiliki Fara itu membolehkan dia menjadi Fara Fauzana hari ini.

Boleh dikatakan ketika di stesen radio Era lagi penat lelah dan kerja kuatnya dapat dilihat.

Bermula sebagai agen Skuad Perodua Era, Fara mengembangkan bakatnya sebagai deejay di stesen itu sebelum dilamar oleh Hot FM.

Mungkin ada yang akan berkata, padan muka dengan Era tak menjaga Fara sehingga dia berjaya mencantas kedudukan stesen itu selepas berhijrah ke Hot FM?

Tidak mahu mendabik dada atau disamakan dengan stesen radio tempat dia cari makan sebelum ini, kata Fara kedua-dua stesen itu mempunyai perbezaannya.

Mungkin tiada rezeki untuk dia meneruskan kerjayanya di Era tetapi bukanlah untuk membalas dendam selepas menyertai Hot FM.

“Semasa di Era, saya mendapat pendedahan menjadi pengacara Melodi. Apabila di Hot FM, saya juga mendapat ruang yang sama melalui rancangan paling ramai penonton itu.

“Saya rasa Melodi salah satu faktor yang telah meningkatkan kerjaya saya pada hari ini,” ujar tuan punya nama Farah Fauzana Fadzil ini.

l Anak emas? Taklah

Ada yang berkata hari ini Fara Fauzana merupakan anak emas di stesen Media Prima. Kononnya Fara dikatakan penyumbang ‘rating’ tinggi beberapa rancangan di stesen radio dan televisyen milik syarikat tersebut.

Kerana kedudukan itu, khabarnya Fara diberikan sebuah kereta syarikat iaitu layanan istimewa yang tidak diperoleh oleh individu-individu lain melainkan boss-boss besar sahaja. Saat ditanya persoalan itu, kelihatan dahi Fara agak berkerut.

Jawapan yang keluar daripada mulutnya, tiada istilah anak emas di stesen radio itu. Kalau ada pun anak emas seperti yang diperkatakan mungkin itu sesuai ditujukan kepada bossnya iaitu Seelan Paul kerana kerja kuat Seelan menjadikan Hot FM sebagai stesen ternama.

Dan bagi Fara sendiri dia macam budak-budak dan deejay lain yang dilayan seperti biasa.

“Kalau saya anak emas, mungkin saya akan dapat layanan lebih dan buat kerja sikit-sikit saja. Itu istilah anak emas dalam diri saya.

“Tapi layanan majikan terhadap saya biasa saja. Mana ada kereta syarikat yang diberi? Saya beli kereta guna duit saya.

“Untuk nak jadi Fara Fauzana hari ini saya bekerja kuat. Kerana prinsip saya, kalau nak sesuatu saya perlu meraihnya dengan ada usaha gigih. Itu sebenarnya pendirian saya,” katanya.

l Gadis Dan Cuci

Mengembangkan lagi bakat dan mencuba perniagaan baru, Fara bersama rakan baiknya Darling Ngasri berkerjasama menerbitkan drama bersiri Gadis Dan Cuci. Berperanan sebagai Penerbit Eksekutif ujar Fara, drama itu mengisahkan empat wanita yang bekerja sebagai gadis pencuci kereta lakonan dia sendiri, Darling, Nora Danish dan Anne Ngasri.

Bagaimanapun selepas Darling terlibat dengan kemalangan tidak lama dulu, penggambaran drama itu terpaksa dihentikan seketika.

Tetapi jujurnya Fara benar-benar terharu melihat kesungguhan Darling yang begitu mengambil berat mengenai pembikinan drama itu walaupun dalam keadaan dia sakit.

Dan harapan Fara, projek itu akan membuahkan hasil kerana sudah menjadi keinginannya untuk bergiat dengan lebih mendalam dalam bidang seni.

“Saya tidak hanya mengharapkan berlakon tetapi berusaha untuk bekerja di belakang tabir juga. Yalah, sementara masih muda dan ada tenaga ini, kita perlu bekerja kuat,” ujarnya.

Related Content

Leave a Reply

Search Here

Categories

Ads

Stats


View My Stats

Become a BLOGGER

Do you think this site is useful?
Do you have something in your mind? Have something to share?

Post Your latest news or info by simply register here

UserOnline