Gadis FILIPINA
Read Here
Selepas `jemu’ dengan gadis tempatan yang kerap dijadikan penyeludup dadah ke luar negara, sindiket dadah antarabangsa didalangi warga Afrika mula beralih minat terhadap gadis Filipina yang mudah diperdaya dengan kata-kata cinta murahan melalui internet.
Sumber polis Bukit Aman berkata, kebanyakan ahli sindiket antarabangsa ini akan menggunakan kemudahan Internet di Malaysia untuk berkenalan dan berhubung dengan gadis di Filipina sebelum dipujuk datang melancong percuma ke negara ini.
Setibanya ke Malaysia, kebanyakan gadis Filipina ini yang berjaya diperdaya sebaliknya dilatih untuk menelan bungkusan kecil dadah sebelum diarah menyeludupkannya ke negara ketiga.
Taktik terbaru yang digunakan sindiket dadah terbabit bagaimanapun berjaya dipatahkan selepas polis Bukit Aman menyelamatkan sembilan gadis warga Filipina yang sudah siap sedia direkrut untuk membawa dadah ke beberapa negara ditetapkan.
“Setiap mangsa sebelum itu dipujuk datang melancong percuma ke Malaysia selain diberikan wang saku sebanyak RM3,000 bagi menarik perhatian mangsa.
“Malah suspek yang menyamar sebagai lelaki budiman turut menanggung sepenuhnya kos tiket penerbangan selain memberi pelbagai hadiah lumayan untuk membuat mangsa teruja datang ke negara ini,” katanya.
Difahamkan semua gadis terbabit berjaya diselamatkan hasil serbuan polis Bukit Aman di tiga lokasi berasingan di ibu kota yang menjadi sarang sindiket dadah berkenaan.
“Setakat ini polis percaya, kebanyakan gadis berkenaan dilatih untuk menelan sebanyak mungkin bungkusan kecil berisi dadah sebelum menyeludupkannya ke Argentina, Brazil, China dan beberapa negara di Eropah.
“Bagaimanapun semua gadis berkenaan yang berusia awal 20-an dapat diselamatkan dan kini diserahkan kepada pihak kedutaan Filipina untuk proses penghantaran pulang ke negara asal,” katanya.
Menurutnya, seramai 11 warga India dan Afrika yang dipercayai dalang sindiket penyeludupan dadah berkenaan berjaya diberkas polis.
Sementara itu Timbalan Pengarah JSJN 1 Bukit Aman (Risikan/Operasi), Datuk Othman Harun yang dihubungi Harian Metro, semalam berkata, pihak polis sentiasa memberi perhatian khusus terhadap sindiket penyeludupan dadah antarabangsa berkenaan yang cuba menjadi Malaysia sebagai tapak operasi.
Menurutnya, tindakan polis menumpaskan beberapa sindiket dadah antarabangsa sejak kebelakangan ini berjaya menyelamatkan ramai gadis dan wanita tempatan serta dari negara jiran daripada menjadi mangsa.
“Malah statistik PDRM mendapati terdapat penurunan ketara berhubung kes penahanan wanita Malaysia yang dijadikan alat atau penyeludup dadah di luar negara,” katanya.
Menurutnya, kejayaan menyelamatkan sembilan gadis warga Filipina itu hasil daripada kerjasama dengan Biro Khas Siasatan Antidadah Kebangsaan Filipina.
Dalam kejadian Khamis lalu, polis menahan 21 warga asing dalam tiga serbuan berasingan dan merampas dadah bernilai RM2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan ibu negara.

Use the form below to search the site: