Gossip erra yang kita ingin dengar
Read Here
Erra Fazira sedia pikul cabaran
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
MOMEN INDAH…Bersama Afdlin Shauki sewaktu menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Soal Hati pada Festival Filem Malaysia Ke-15 2001.
MESKIPUN sudah bergelar primadona filem Melayu, namun, kerisauan dan kegusaran tetap melanda dalam diri figura jelita ini.
Bukan untuk watak bagi filem terbaru tetapi apa yang membuatkan Erra Fazira begitu gementar adalah apabila buat pertama kalinya, dia akan beraksi dalam sebuah drama bersiri yang tidak pernah dilakukannya setelah hampir 14 tahun bergelar anak seni.
Drama bersiri 26 episod berjudul Mertua vs Menantu itu diterbitkan oleh Metrowealth International Group (MIG) yang kini sedang rancak menjalani penggambaran di sekitar Lembah Kelang.
Sewaktu ditemui pada majlis doa selamat dan membaca skrip di Restoran Lemon, Mines, Seri Kembangan, baru-baru ini, dengan penuh jujur, Erra meluahkan apa yang terbuku di hatinya itu.
“Memang ada rasa gementar dan risau dalam hati saya memandangkan ini kali pertama saya berlakon drama bersiri. Semuanya orang baru yang pertama kali saya bertemu dan bekerjasama.
“Ini kerana berlakon filem dan drama adalah cukup berbeza. Namun, apa yang saya harapkan semuanya akan berjalan lancar seperti yang telah dirancangkan. Apa lagi, ini merupakan penglibatan pertama saya dalam drama bercorak komedi situasi begini,” kata wajah eksklusif Astro selama setahun ini.
Tetapi, apa yang membuatkan pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Sembilu ini terpikat untuk membintangi drama bersiri ini adalah kerana karakter dan genre yang cukup berbeza dibawakannya sebelum ini.
Mertua vs Menantu menyaksikan Erra memegang watak Nurul Ain iaitu mekanik yang juga berperwatakan seperti seorang lelaki kerana dibesarkan oleh bapa dan abangnya.
Namun pun begitu, dia begitu bertuah apabila seorang lelaki mula hadir dalam hidupnya yang terpikat lantas jatuh cinta kepadanya serta seterusnya melamarnya untuk dijadikan suri hidup.
Konflik mula timbul apabila mertuanya tidak dapat menerima kehadirannya sebagai menantu memandangkan Nurul Ain bukanlah wanita yang menepati kriteria seorang menantu.
“Di sini juga timbulnya cabaran buat saya menerusi watak ini apabila pertembungan dua generasi ini menyebabkan saya perlu berperang secara psikologi kerana saya perlu buktikan kepadanya kehadiran saya sebagai menantu bukan mudah untuk diperkotak-katik,” cerita Erra penuh perasaan.
Mungkin secara kebetulan, nama watak Nurul Ain yang dibawakan oleh Erra dalam drama bersiri ini sama seperti watak yang dibawakannya dalam filem Soal Hati dan Soalnya Siapa?
Pengalaman dan kepuasan
Watak suami kepada Nurul Ain iaitu Rosyam dipegang oleh pelakon kacak, Aqasha dan ibu mertuanya, Datin Faridah pula dilakonkan oleh Rozie Othman.
Berbicara lanjut gandingan pertamanya bersama Aqasha, Erra penuh optimis memberitahu, permasalahan untuk mewujudkan keserasian itu tidak akan timbul.
“Sebaliknya, saya percaya gandingan kami akan memberikan sesuatu yang baru kelak dan kami mampu untuk lakukan yang terbaik untuk drama ini. Lagipun, saya percaya tidak akan timbul masalah untuk bekerja dengannya,” kata Erra yang juga mencipta populariti sebagai seorang artis rakaman.
Mertua vs Menantu yang akan menjalani penggambaran selama tiga minggu dan akan ditayangkan di Astro Prima (Saluran 105) pada minggu ketiga Aidilfitri.
Sementara itu, Erra tidak terlepas daripada diasak dengan pertanyaan tentang perasaannya apabila tewas di tangan Maya Karin pada Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) baru-baru ini bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.
Pada FFM21, Maya memenangi gelaran keramat itu menerusi Anak Halal manakala Erra pula dicalonkan berdasarkan kehebatannya dalam filem Anak.
Dengan tenang, isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin ini memberitahu dia tidak pernah menaruh harapan tinggi untuk membawa pulang anugerah dalam setiap acara anugerah yang disertainya.
Sebaliknya, apa yang membuatnya bersyukur apabila namanya disenaraikan antara lima yang terbaik serta memberi signal bahawa namanya masih lagi menjadi perhatian pihak juri.
“Apa yang penting apabila saya mempelajari sesuatu yang baru menerusi filem Anak yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Mengikuti kelas lakonan bersama Fatimah Abu Bakar dan belajar untuk mengupas watak Kay sedalamnya sudah cukup memberikan satu pengalaman dan kepuasan kepada saya.
“Oleh yang demikian, tiada langsung perasaan ralat mahupun kecewa dengan kekalahan saya tempoh hari,” jelas Erra panjang lebar.
Sebelum tahun 2008 melabuhkan tirainya, peminat Erra akan dapat menyaksikan filem lakonannya berjudul Los & Faun yang diarahkan oleh Afdlin Shauki.
Dalam filem berkenaan, si jelita ini digandingkan bersama Afdlin, Hans Isaac, Adlin Aman Ramlie, Ida Nerina dan Stephen Rahman-Hughes.
Bukan itu sahaja, ada dua buah filemnya yang masih lagi menunggu giliran untuk ditayangkan iaitu Sifu & Tongga dan sebuah filem antarabangsa, Hidden.
Sementara itu, apabila ditanya tentang tawaran filem terbaru, Erra mengakui menerima beberapa skrip namun, ia tidak mampu untuk menambat hatinya.
“Saya rasa pada tahap saya kini saya berhak untuk memilih yang terbaik demi karier. Saya mahu mencari kelainan serta variasi dalam watak yang saya lakonkan. Kalau boleh saya mahu watak yang betul-betul mencabar saya sebagai seorang pelakon kerana itu akan memberikan kepuasan kepada saya,” ujarnya yang juga kini sibuk di studio rakaman bagi merakamkan album terbarunya bersama Suria Records

Use the form below to search the site: