Hot FM dan Macam macam Cinta

DRAMA radio pernah popular dan menjadi halwa telinga, satu ketika dulu. Tapi kini generasi muda lebih dekat dengan radio sebagai teman setia di mana saja berada dengan alunan lagu merdu.

Kini, drama radio kembali lagi tetapi diberikan nafas baru dan dibawakan khas oleh Astro untuk pendengar setia Hot FM. Drama radio yang diberi nama RadiOpera itu mempersembahkan Macam-Macam Cinta yang membabitkan 20 episod dan memaparkan persahabatan, kasih sayang serta pergolakan dalam hidup seharian.

Pengurus Rangkaian Program Radio Hot FM, Anida Mohd Tahrim berkata, pihaknya tampil dengan program itu kerana ingin mencari kelainan sekali gus memenuhi cita rasa pendengar setia stesen mereka.

“Kami tampil dengan idea untuk buat program ini dan Astro pula selaku penaja kerana ia membabitkan bajet yang agak besar. Selain penyampai Hot FM, pihak Astro juga mencadangkan beberapa personaliti Astro untuk berkolaborasi dalam drama ini.

“Kami juga berbincang dengan Astro dari segi jalan cerita dan rakaman drama ini dibuat di studio Hot FM, sejak 1 September lalu. Penulis skrip dan pengarah drama ini ialah Badrul Hisham Mohd Hashim,” katanya.

Anida berkata, pihaknya sangat teruja tampil dengan drama radio berkenaan kerana ia diterbitkan buat julung kalinya.

“Kami tidak ada masalah bekerjasama dengan Astro dan setakat ini semuanya berjalan lancar. Kekuatan program ini adalah dari segi format, jalan cerita dan barisan pelakon yang bersesuaian.

“Pendengar akan memahami cerita ini dan apa yang kami cuba sampaikan selepas episod ketiga drama ini. Secara keseluruhannya drama ini memang sesuai untuk hari raya,” katanya.

Anida ditemui ketika majlis berbuka puasa Hot FM dan Fly FM di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Radio, Media Prima Sdn Bhd, Ahmad Izham Omar dan Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul.

Antara barisan penyampai Hot FM dan Fly FM yang hadir ialah Fara Fauzana, Azura, Tini, Faizal Ismail, Leya, Adam, Steve dan ramai lagi.

Macam-Macam Cinta mengisahkan Nina yang terperangkap dalam klise ibu tiri kejam yang memaksanya membawa diri keluar negara untuk menyambung pelajarannya.

Selesai kuliah, Nina jarang pulang ke kampung. Namun, dia akhirnya terpaksa akur kepada permintaan ibu tirinya untuk mengikat tali pertunangan namun dibantah keras sahabatnya Leen. Leen sememangnya membenci status ibu tiri dan menganggapnya sebagai satu perbuatan jahat.

Berlainan pula dengan Arif yang menerima perkara itu sebagai satu penghormatan kepada ibu bapa. Di sebalik kemelut itu, Arif berasakan dia mula kehilangan Nina yang selama ini dianggap sahabat saja. Arif mula keliru dengan apa yang dirasainya dan apakah yang bakal terjadi?

Secara eksklusifnya, RadiOpera menggandingkan personaliti Hot FM seperti Fara Fauzana (Suzy), Faizal Ismail (tukang cerita/narrator), Ikhwan (Amar/Amir/Amur), Tini (Asmah), Leya (Leen), Azura (Yati) dan Anne (Hani).

Tidak ketinggalan artis muda yang juga bintang dicungkil daripada program realiti Akademi Fantasia (AF) seperti Farah Diana Anuar (Nina),Syawal (Mail), Afiq (Joe) dan Farish Aziz (Arif).

Jangan lupa untuk mengikuti drama Macam-Macam Cinta yang menyayat hati setiap hari, jam 8.40 pagi dan siaran ulangannya pada jam 3.30 petang bermula 8 September lalu.

This entry was posted in News. Bookmark the permalink.

Leave a Reply