Bakat Erna Elliyana Rosli atau Erna terus dicungkil menerusi beberapa drama dan filem, antaranya Suami, Isteri dan…, Mimpi Moon serta drama Mat Despatch.
Dia yang mempunyai suara lunak tidak ketinggalan mencuba nasib menerusi program realiti, Malaysian Idol dan One In A Million. Bagaimanapun, belum ada rezeki bergelar penyanyi hinggalah komposer Julfekar melamarnya sebagai artis baru Millennium Art Sdn Bhd, tahun lalu.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan Julfekar sudah lama mengikuti perkembangan saya. Saya memang minat menyanyi sejak kecil, tetapi tidak berpeluang bergiat secara serius kerana terikat dengan persekolahan.
“Bila selesai matrikulasi tiba-tiba abang saya, Ikhwan (penyampai radio Hot FM) memberitahu, Julfekar berminat melamar saya sebagai penyanyi.
“Sebulan kemudian saya bertemu Julfekar dan bersetuju bernaung di bawah syarikat rakamannya. Dengan pengalaman yang ada padanya, saya percaya Julfekar dapat membentuk saya menjadi penyanyi baik.
“Oktober lalu saya merakam single Bukan Untuk Sesaat dan syukur, percubaan pertama saya mendapat maklum balas positif rakan dan orang ramai.
“Selain lagu ini, saya merakam dua lagi single iaitu Tak Terkata dan Demi Kita yang akan menyusul tidak lama lagi,” katanya.
Bukan Untuk Sesaat mula mendapat perhatian radio tempatan, malah lagu ini menjuarai carta OK Tak OK di Hot FM beberapa minggu. Lebih menggembirakan, percubaan anak bongsu enam beradik ini mula mendaki carta Hot FM 30.
Bagaimanapun, tegas Erna, memiliki abang yang bertugas di stesen radio tidak memberi kelebihan, apatah lagi mendapat layanan istimewa. Seperti artis lain, dia perlu melalui prosedur sama.
“Ada juga sindiran singgah di telinga tetapi percayalah, saya sama seperti artis baru yang lain. Adanya Ikhwan tidak membuatkan lagu saya cepat diperdengarkan di stesen radionya bertugas.
“Saya perlu mengikut giliran sepertimana ditetapkan stesen radio berkenaan,” katanya yang serasi dengan lagu bergenre pop komersial.
Lumrah, artis yang diperkenalkan Julfekar tidak dapat lari daripada dihimpit kontroversi. Tatkala diajukan pertanyaan tidakkah dia takut dengan gosip liar, Erna menggeleng kepala seraya berkata dia tidak suka berfikiran negatif.
“Tak perlu takut, sampai bila nak maju kalau kita asyik fikir negatif. Saya percaya kalau pandai bawa diri, insya-Allah dapat menghindari kontroversi. Kalaupun ada, jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus ke depan.
“Banyak lagi perkara perlu diberi perhatian daripada memikirkan benda yang belum berlaku,” katanya.
Meskipun lagu dendangannya mendapat sambutan, dia tidak alpa dengan tanggungjawabnya sebagai penuntut Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Ingat dengan pesanan arwah ibunya, Erna nekad menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.
Setakat ini dia tiada masalah membahagikan masa sebagai pelajar dan penyanyi. Malah dia menjadi kebanggaan keluarga apabila menerima Anugerah Dekan dua semester berturut-turut.
“Syukur, undangan persembahan tak putus-putus tetapi perlu ditapis kerana terikat dengan jadual pengajian. Biasanya saya hanya ambil persembahan pada hujung minggu dan sesekali selepas waktu kuliah,” katanya.
“Insya-Allah selepas tamat pengajian, saya boleh fokus 100 peratus perhatian pada bidang nyanyian dan berlakon kalau ada tawaran,” katanya yang lahir dalam keluarga seni.
