Leina Hangat

MESKIPUN gagal dalam perkahwinan pertamanya, penyanyi sensasi, Leina Hangat tidak pernah serik mahupun menyesal untuk membina istana cinta buat kali kedua.

Katanya, pengalaman lalu banyak mengajar serta membuka matanya untuk lebih menghargai hidup apatah lagi dia kini sudah pun menemui cinta baru yang dikatakan mampu membimbingnya menjadi seorang wanita serta manusia yang lebih baik.

“Apa yang telah berlaku saya jadikan pengajaran dan daripada situ, saya membina kekuatan untuk terus memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Saya perlu meneruskan perjalanan hidup saya. Apa yang boleh saya katakan, kini saya sedang berkawan dengan seseorang yang saya sifatkan sebagai seorang sahabat yang mampu membawa saya ke jalan yang lebih baik,” jelas empunya nama Norazlina Abdul Rahman ini membuka bicaranya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Ta’in 3T yang diadakan di Restoran Tupai-Tupai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perkahwinan pertama Leina bersama jejaka pilihannya, Mohamad Jamal Delaloy Abdullah hanya mampu bertahan selama dua tahun sahaja sebaik mereka diijabkabulkan pada 21 Ogos 2002.

Sejak daripada itu, hidup Leina bagaikan gantung tidak bertali apabila sering ditinggalkan suami sehinggakan dia sendiri tidak tahu lokasi sebenar kedudukan suaminya.

Enggan lagi terkurung di dalam sangkar, Leina menuntut fasakh tahun lalu dan baru-baru ini dia sudah pun disahkan bercerai.

Kata Leina yang cukup popular dengan lagu Ceria Dalam Gundah dan Gerhana Biru ini lagi, selama empat tahun dia begitu malu dan enggan bertemu dengan sesiapa melainkan rakan-rakan rapatnya sahaja.

Tertekan
Ini kerana katanya, dia begitu tertekan dengan kata-kata nista yang dilemparkan kepadanya sedangkan orang di luar tidak memahami perasaannya dan perjalanan duka yang harus ditempuhinya.

“Kini, saya lebih bersemangat dan mahu meneruskan hidup saya. Tidak ada gunanya untuk saya terus memendam perasaan dan memikirkan perkara yang lepas. Alhamdulillah, rezeki saya kini semakin terbuka luas dan saya sudah bersedia untuk kembali ke persada seni,” kata Leina penuh optimis.

Bercerita lanjut tentang cinta barunya itu, wanita berusia 37 tahun ini menjelaskan, dia tidak mahu terlalu membicarakan tentang hubungannya dengan jejaka kelahiran Kelantan itu.

Bukan mahu mengelak apatah lagi merahsiakan daripada pengetahuan pihak media, sebaliknya, Leina berpendapat, dia belum bersedia untuk memperkenalkan teman barunya itu kepada khalayak.

“Sampai waktunya nanti, saya akan perkenalkan kepada semua. Buat masa ini, apa yang boleh saya katakan, hubungan kami berjalan dengan cukup baik. Malah, kami juga telah bertemu dengan keluarga masing-masing.

“Walaupun dia lebih muda daripada saya, itu bukan halangan buat kami untuk meneruskan perhubungan ini. Apa yang membuatkan saya terharu adalah dia sanggup menerima saya meskipun mengetahui status saya,” jelas Leina yang terkenal dengan keramahannya.

Ditanya detik pertemuan dengan sang arjunanya itu, Leina menjelaskan, semuanya bermula apabila dia masih lagi dalam situasi gantung tidak bertali.

“Dia banyak memberikan nasihat dan panduan kepada saya untuk meneruskan perjalanan hidup. Bermula detik itu, hubungan kami menjadi rapat dan dia banyak membimbing saya. Daripada situ, sudah terserlah keikhlasannya dan saya begitu selesa dengannya,” ujarnya lagi.

Malah dari riak wajahnya juga bagaikan memberi gambaran bahawa penyanyi bersuara unik ini akan melalui satu fasa baru dalam hidupnya tidak berapa lama lagi.

“Siapa yang tidak mahu berubah dan saya sendiri sudah bersedia untuk berhijrah ke satu fasa yang mampu memberikan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup saya.

“Bukan atas paksaan sesiapa tetapi semuanya atas kerelaan sendiri. Lagipun, saya pun bukan mudanya lagi dan saya sudah cukup puas mengecapi nikmat itu sewaktu muda dulu,” tutur Leina sambil menyimpul senyum penuh makna.

Dalam perkembangan lain, Leina masih lagi menyatakan minatnya untuk meneruskan legasi seninya sebagai artis rakaman apabila dia kini dalam proses mencari material baru untuk album terbarunya.

“Kali ini saya mahu mencuba konsep world music dan saya sudah pun berbincang dengan Yasin Sulaiman. Insya Allah, selepas raya nanti, kami akan duduk berbincang untuk lagu-lagunya,” kata Leina yang juga akan berduet dengan To’Ki untuk sebuah lagu tema drama bersiri kelak.

Mengajaknya bercerita tentang drama bersiri Ta’in 3T, ternyata Leina cukup teruja tentangnya kerana katanya, sudah lama dia tidak beraksi di hadapan kamera.

“Tawaran yang diberikan oleh Sheila Rusly tidak mampu saya tolak kerana kepercayaan yang diberikan kepada saya olehnya sudah cukup saya hargainya. Bekerja dengan krew yang terlibat serta para pelakonnya juga membuktikan bahawa saya tidak silap percaturan menerima tawaran ini.

“Saya rasa begitu bertuah dan gembira berlakon dalam drama ini kerana mereka cukup mementingkan disiplin dan ketepatan waktu apabila bekerja. Apa yang saya harapkan agar penonton dan peminat saya terima kehadiran saya kembali,” jelas Leina yang memegang watak Cik Ah dalam drama berkenaan.

Ta’in 3T ditayangkan pada setiap hari Ahad pukul 9 malam dan episod pertamanya sudah pun bermula pada 31 Ogos lalu.

This entry was posted in Artis, News. Bookmark the permalink.

Leave a Reply