Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid, bukan orang lama dalam industri perfileman dan baru mengarah enam filem. Tetapi karya dihasilkan berbeza dengan orang lain dan setiap produknya mempunyai mesej serta fokus kepada siapa mahu didedikasikan cerita berkenaan.
Institut Kesenian & Kajian Media Malaysia (INKEM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil inisiatif mengadakan Seminar Menjejak Pemikiran Mamat Khalid di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang baru-baru ini bagi merungkai bagaimana cara anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkarya.
Seminar dikendalikan Dr Mahadi J Murad itu menampilkan empat panel iaitu Mamat Khalid, pensyarah UiTM, Dr Zulkifli Mohamad dan Norman Yusof serta pengkritik filem, A Wahab Hamzah.
Meskipun filemnya ringan, Mamat mempunyai visi besar mahu orang ramai menganggap filem sebagai budaya Melayu dan bukannya hiburan semata-mata seperti orang Eropah yang memaparkan kehidupan mereka di layar perak.
Katanya, pada permulaan Revolusi Islam Iran oleh Ayatollah Khomeini, beliau menutup semua disko dan kelab malam. Tetapi beliau mengatakan panggung wayang harus dibuka kerana itu caranya menyampaikan hasrat dan budaya Islam. Mereka nampak pawagam saluran terbaik memperkatakan soal budaya.
“Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai ilmuwan filem, tetapi sebagai pembikin filem. Jika saya letakkan diri sebagai ilmuwan filem, hasil kerja saya akan jadi lain. Apa yang saya buat sekarang perkara sebenar mengikut diri sendiri,” katanya.
Kata Mamat, sewajarnya masyarakat perlu faham apa yang pembikin filem mahu buat dalam filem berkenaan dan kita tidak boleh terus menghukum apabila cerita dipaparkan tidak kena dengan kemahuan kita.
“Setiap filem yang saya hasilkan berbeza dan ada identiti tersendiri. Contohnya dalam filem Rock, hanya rockers yang faham kerana ia dihasilkan untuk golongan berkenaan. Jadi kalau Mat Bunga menonton pasti mereka tidak tahu apa hendak ditonjolkan.
“Begitu juga dengan Man Laksa yang mendapat kritikan kerana ia persis Mat Jenin. Jadi kalau kita marah dengan mereka, jangan jadi seperti golongan itu dan kita perlu ubah sikap,” katanya.
Mamat yang pernah mendapat anugerah Lakon Layar Terbaik menerusi filem Puteri Gunung Ledang di Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18) pada 2005 dan Pengarah Filem Terbaik FFM21 melalui Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) baru-baru ini berkata, dia lebih puas menghasilkan filem KMBM juga dianggap mahakaryanya (masterpiece).
“Melalui filem hitam putih ini membuatkan saya nampak objek dalam gelap. Saya rasa kita sudah hilang zaman keagungan filem Melayu yang masyhur sebelum ini. Dulu filem kita mampu bersaing dengan Jepun dan dihormati ramai.
“Apa yang yang saya buat menerusi KMBM ialah meminjam ‘magic’ untuk bagi suntikan semangat kepada orang lain. Saya akui masih kecil dalam bidang filem, tetapi saya berharap dengan pemikiran yang ditampilkan ia dapat memberi sesuatu supaya orang berfikir.
“Sebagai contoh, bagaimana arwah Loloq yang membawa watak tauke Cina menguasai perniagaan membekal pentas dan peralatan elektrik sewaktu pesta dalam filem Man Laksa,” katanya.
Sementara itu A Wahab berkata, secara jujur dia tidak gemar dengan filem Man Laksa kerana mempunyai pandangan berbeza. Dia melihat pemikiran Mamat lebih menyerlah dalam filem Zombie Kampung Pisang berbanding KMBM yang dipuji ramai.
“Saya lihat pemikiran Mamat lebih menarik dan halus dalam filem ini kerana ia setia dengan genre Zombie yang diketengahkan. Ia dapat menonjolkan bagaimana kapitalis meragut kejujuran orang kampung dengan menggunakan kaedah cukup tidak baik sehingga memusnahkan tamadun,” katanya.
Dr Zulkifli pula berkata, setiap filem Mamat mempunyai elemen budaya dan sarat dengan mesej menggunakan kiasan supaya orang berfikir.
“Banyak cerita dihasilkannya ada usaha antropologi mengenai orang biasa seperti filem Rock yang menonjolkan kegilaan anak muda terhadap irama berkenaan pada waktu itu. Malah penonton menyaksikan begitu dekat dengan cerita dipaparkan,” katanya.
Bagi Norman, cerita Mamat banyak memaparkan keadaan sosial dan politik semasa seperti Lang Buana dan Man Laksa. Malah orang yang menonton filemnya boleh bertelagah menentukan konsep kerana ia sarat dengan konsep satira, komedi, nostalgia dan parody.
“Setiap bangsa mempunyai mitos tersendiri, begitu juga dalam KMBM yang menampilkan mitos harimau jadian. Kalau bangsa yang tiada mitos, ia seperti hilang kekuatan dan jati diri.
“Ibarat kita ketawakan diri sendiri apabila ketawa menonton filem kerana ia realiti yang berlegar dalam masyarakat. Banyak filem dihasilkan Mamat dekat dengan masyarakat seperti sireh pulang ke gagang apabila menontonnya,” katanya.

Maaf, saya buka pensyarah Uitm, malah rasanya Dr.Mahadi juga tidak pernah memperkenalkan saya sebegitu. Saya pernah mengajar di Uitm separuh masa. Saya pensyarah sambilan, juga seorang aktivis seni dan saya bukannya pengkritik filem, tetapi penganalisa seni budaya popular dan kontemporari!