Kemunculan Nabil Raja Lawak kejutkan penjaja, pengunjung
KEMUNCULAN Ahmad Nabil Ahmad, 25, di bazar Ramadan Seremban 2 pada hari pertama puasa lalu mengejutkan kebanyakan pengunjung bazar berkenaan. Apa tidaknya, ketika sedang sibuk mencari juadah untuk berbuka, tiba-tiba kelibat juara Raja Lawak musim ke-2 itu muncul di tengah khalayak.
Pelbagai reaksi kelihatan di wajah pengunjung bazar berkenaan sebaik ternampak kelibat jejaka tinggi lampai itu. Ramai yang menegur, malah tagline kegemaran jejaka itu Lu Pikirlah Sendiri turut dilaungkan beberapa penjaja yang teruja dengan kehadiran Nabil.

Paling lucu, melihat gelagat penjaja yang terkejut apabila Nabil singgah di gerai mereka hingga ternganga mulut kerana pengunjung yang ingin membeli juadah mereka adalah seorang artis popular.
Dalam keadaan yang penuh sesak itu, ada yang tidak ketinggalan menegur sambil merakamkan gambar Nabil menerusi telefon bimbit mereka. Manakala si kecil yang ditemani ibu bapa juga tidak mahu ketinggalan mengambil peluang itu untuk bersalaman dengan Nabil.
Si kecil yang mengetahui kemunculan Nabil di bazar Ramadan tetapi tidak berkesempatan bertemu dengannya pula, sanggup menunggu sehingga dapat melihat wajah Nabil. Pendek kata, sepanjang bazar Ramadan itu, ada saja yang menegur. Begitulah besarnya aura Nabil sejak memenangi pertandingan Raja Lawak 2.
Ahmad Nabil ahmad.
Sekalipun ada saja yang menegur dan mata yang melirik ke arahnya, Nabil memberitahu tiada apa yang perlu dirimaskan. Dia milik masyarakat dan disebabkan mereka juga namanya berada di tahap ini. Jadi tiada sebab dia mahu bersikap dingin terhadap mereka.
Lagipun tiada apa yang perlu ditakutkan dengan peminat tempatan kata jejaka selamba itu. Mereka tidak akan bertindak ekstrim seperti peminat luar negara. Paling kuat mereka sekadar menegur dan mengambil gambar saja. Jadi katanya dia tidak kisah muncul di tempat awam.
“Saya berterima kasih kepada peminat. Saya tidak minta pun mereka kenal saya, tetapi rezeki saya hari ini datang dari mereka. Saya tidak mahu mempersia-siakan kepercayaan peminat terhadap saya, jadi saya perlu menjaga tingkah laku dan tidak mahu timbulkan sebarang kontroversi yang tidak baik untuk tidak menghampakan peminat,” katanya.
Berkunjung ke bazar Ramadan menjadi rutin Nabil setiap kali menjelangnya bulan puasa. Sebelum bergelar selebriti, Nabil sering berkunjung ke bazar Ramadan bersama rakan sekampung. Sementara menantikan waktu berbuka, dia dan rakannya akan melepak terlebih dulu.
MINAT: Peniaga nasi tomato teruja dengan kehadiran Nabil di bazar Ramadan Seremban 2.
Bagaimanapun disebabkan kehidupannya yang berubah seratus peratus, Nabil tidak lagi dapat melepak bersama rakan dan berkunjung ke bazar Ramadan sekerap dulu.
Malah ibu Nabil, Rohaizah Abdull Latiff pada mulanya bimbang anak bujang kebanggaannya itu langsung tidak dapat pulang berbuka bersama keluarga tahun ini. Tetapi mujur Nabil pulang juga biarpun dalam kesibukan. Jika dulu Rohaizah tidak begitu bimbang kerana Nabil berada di depan mata, bagaimanapun sejak Nabil tinggal sendiri dia mula risaukan keadaan anak ketiganya itu.
Suasana berbuka di rumah Nabil memang cukup meriah apabila enam adik beradik serta dua anak buah ini bertemu. Manakala seorang lagi abangnya tidak dapat turut serta kerana tinggal di Johor. Waktu itulah digunakan untuk keluarga ini bertanya khabar setelah sudah agak lama tidak bertemu kerana kesibukan Nabil.
“Bulan puasa ini sajalah saya rasa ada sikit kelapangan. Tahun ini berkemungkinan saya hanya dapat berbuka dengan keluarga sekali saja kerana selepas ini saya mula sibuk. Selain sibuk dengan penggambaran filem E-Hantu saya juga banyak terbabit dengan rakaman program raya di stesen televisyen.
“Mujur juga dapat berbuka dengan keluarga. Juadah kegemaran saya di bulan puasa biasanya ayam percik dan kuih tepung pelita,” katanya.
Anjurkan majlis berbuka puasa
SELAIN sibuk menjayakan pelbagai program, Nabil menerusi syarikatnya Lu Pikirlah Sendiri Sdn Bhd bakal menganjurkan majlis berbuka puasa amal dengan cara menjual meja. Majlis berbuka puasa berkenaan akan diadakan setiap Sabtu dan Ahad di hotel terkemuka.
Nabil akan bertindak selaku pengacara majlis ditemani Din Beramboi. Beberapa artis popular juga dijangka menghiburkan penonton pada majlis berbuka berkenaan. Tujuan majlis itu diadakan adalah bagi mengumpul sejumlah wang bagi menganjurkan majlis berbuka untuk anak-anak yatim.
Meja akan dijual pada harga RM2,000 hingga RM5,000. Mereka yang berminat boleh menghubungi pengurusnya di 012-6627609.
Sediakan persiapan raya untuk keluarga
KATA anak ketiga dari tujuh beradik itu, kehidupannya tidak banyak berubah tetapi tahun ini dia dapat meringankan beban orang tuanya. Persiapan katanya, hanyalah sederhana tetapi tahun ini menjadi tanggungjawabnya menyediakan persiapan untuk orang tua dan adik beradiknya yang lain.
Selain bajet untuk ahli keluarga, tahun ini Nabil juga terpaksa mengeluarkan bajet lebih kerana dia akan mengadakan rumah terbuka buat peminatnya. Dia bercadang untuk mengadakan rumah terbuka pada hari raya keempat atau kelima tetapi menjangkakan peminat akan menyerbu rumahnya di pagi raya nanti.
Bagaimanapun Nabil tidak dapat pulang awal ke kampung membantu keluarga membuat persiapan raya kerana dia hanya dapat pulang ke kampung di Mambau, Negeri Sembilan setelah menjayakan program Salam Raya di RTM dari jam 11.30 malam hingga 1 pagi.
