Jarang sekali mereka mengelak bila ditanya. Kalaupun didahului dengan gelak ketawa dan bunga-bunga mengalih topik perbincangan, pasti disusuli dengan jawapan yang diharapkan.
Jelas, mereka ikhlas dalam bercinta. Apa perlu menipu andai ia mengundang impak kurang senang ramai di kemudian hari. Hakikat itu diakui Nita. Katanya, lebih baik mengaku daripada berselindung.
“Lain orang, lain pendiriannya. Bagi kami, buat apa nak berahsia, lambat laun orang tahu juga. Mula-mula ada juga peminat terkejut dan tak suka bila tahu kami bercinta.
“Namun mereka akhirnya faham bila menyedari sekurang-kurangnya kami tidak menipu. Kepada peminat dan rakan yang memahami, terima kasih saya ucapkan. Doakan yang terbaik untuk saya dan Zahid,” kata Nita mesra.
Mengimbas kembali bagaimana kasih dua insan ini berputik, jelas Nita, mereka berkawan sejak 2005. Bagaimanapun, persahabatan itu semakin erat sejak setahun lebih lalu hingga bersemi bunga-bunga cinta.
“Memandangkan kami sudah lama kenal, tidak sukar untuk mencari keserasian. Ketika mula-mula kenal dulu, saya sedikit kecewa dengan pergerakan karier yang perlahan.
“Pada dialah saya mengadu. Dia bukan saja pendengar yang baik, malah tidak jemu memberi kata-kata semangat. Apa saja yang saya luah, pasti didengar dengan sabar.
“Daripada situ saya mula selesa dengan keperibadiannya. Terus-terang, saya sangat mengagumi sikapnya yang penyabar, memahami dan kelakar. Ada saja jenaka dan usikan yang buat saya ketawa.
“Pendek kata, sejak kehadiran Zahid, hidup saya semakin ceria dan semangat. Jika tiada program, kami menghabiskan masa bersama. Malah, sesekali saya menemani Zahid bermain futsal,” kata Nita.
Beralih kepada perancangan berumah tangga, akui gadis tinggi lampai ini, dia dan Zahid pernah membincangkan perkara itu. Bagaimanapun, ia tidak akan berlaku dalam waktu terdekat kerana masih banyak perlu didahulukan.
“Alhamdulillah, hubungan kami mendapat restu keluarga masing-masing. Saya sudah bertemu ibu bapa Zahid dan begitu juga Zahid. Cuma, ibu bapa kami belum lagi bertemu.
“Kami sasarkan dua tahun lagi, tapi soal jodoh susah untuk diperkatakan kerana sebagai manusia kita hanya merancang. Cepat atau lambat biar masa menentukan,” katanya yang banyak menerima undangan berbuka puasa.
Dilantik sebagai duta Natural Clenx Tea menyuntik semangat baru kepada artis syarikat rakaman SRC ini. Dia terkejut apabila ada yang berminat mengambilnya sebagai jurucakap produk.
“Peluang diberi Natural Clenx Tea umpama bulan jatuh ke riba. Kalau ikutkan, perjalanan seni saya perlahan, tak sangka mereka nampak potensi saya.
“Diharap komitmen saya sebagai duta produk ini dapat melonjakkan kerjaya nyanyian saya. Mana tahu bila melihat gambar saya, ada yang berminat panggil saya menyanyi.
“Di kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Natural Clenx Tea kerana mempercayai saya. Insya-Allah saya akan pikul tanggungjawab ini sebaik mungkin,” katanya.
Tambah Nita, ada juga suara sumbang mempertikai kenapa dia dilantik sebagai duta produk itu, walhal badannya sedia kurus dan langsing.
Tegasnya, kurus tidak bermakna seseorang itu sihat. Ramai juga yang mengalami masalah perut buncit meskipun mereka kurus.
“Saya pernah mencuba produk ini sebelum dilantik menjadi duta. Ia bagus untuk membuang toksik dalam perut, membersihkan sistem penghadaman dan mengekalkan kelangsingan.
“Hasilnya memuaskan hati. Sebab itu bila ditawarkan menjadi duta produk ini, saya terus bersetuju. Saya menandatangani kontraknya Jun lalu,” katanya yang masih menantikan kemunculan album pek semula berjudul Nita.
