Planet Hollywood
Read Here
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
INSAN seni seperti Dayang juga tidak terlepas membuat amal dengan meraikan bulan Ramadan bersama anak-anak yatim.
HAMPIR sedekad menjadi anak seni dalam industri muzik yang sentiasa ada pasang dan surutnya, nama Dayang Nurfaizah tetap teguh dan terus berdiri meskipun dia pernah hampir tersungkur.
Mengenali anak kelahiran Kuching, Sarawak ini, dia sememangnya cukup cekal menghadapi segala rintangan dan badai yang melanda dirinya.
Namun, semuanya itu dianggap sebagai satu cabaran untuknya menjadi lebih kuat mengharungi hidup dan memahat namanya sebagai antara penyanyi wanita terbaik negara.
Menembusi pasaran antarabangsa sudah lama menjadi impian penyanyi yang memiliki vokal yang cukup unik ini. Sekian lama dia mencari peluang itu namun, tiada satu pun yang benar-benar mampu membawanya ke tahap itu.
Kini, semuanya bakal berubah apabila peluang yang dinanti itu terbuka di depan mata. Jalan untuknya ke peringkat antarabangsa semakin terbentang luas tatkala namanya menjadi pilihan Rob Hoffman iaitu penerbit terkemuka dunia yang sebelum ini pernah menerbitkan album Christina Aguilera dan Michael Jackson.
Semuanya untuk sebuah projek khas yang diberi nama Global One yang menggabungkan 20 orang artis yang mewakili 20 buah negara di seluruh dunia yang bergabung untuk membawa makna penyatuan dalam muzik di peringkat global.
Pemilihan artis untuk projek ini bukanlah calang-calang kerana apa yang diutamakan adalah kualiti dan populariti bakat artis yang terpilih.
Setiap daripada mereka akan merakamkan single utama untuk projek ini iaitu Lately yang akan dialih bahasa kepada bahasa ibunda masing-masing.
Bagi empunya diri, ternyata apa yang diimpikannya selama ini menjadi kenyataan dan dia sendiri tidak pernah bermimpi bahawa peluang itu akan hadir kepadanya.
Katanya, apa yang berlaku semuanya telah ditentukan oleh Yang Maha Esa dan menurut Dayang lagi, hanya menerusi satu kiriman e-mel, tuah menjadi miliknya.
Mantapkan karier
“Tetapi kalau bukan kerana bantuan penyanyi tersohor Indonesia, Ruth Sahanaya dan suaminya yang memperkenalkan nama saya kepada penerbit projek ini, semua ini tidak akan menjadi kenyataan.
“Selama ini saya cuba mencari peluang itu dan kalau ada sekalipun, ia tidak banyak membantu. Kali ini, ia datang kepada saya dan saya amat berbangga apabila diberikan peluang yang cukup besar ini,” katanya dalam nada penuh kesyukuran.
Dayang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan insan istimewa anjuran Shapemaster Exercises dari Angsana Spa Kuala Lumpur yang turut memperlihatkan Dayang sebagai dutanya.
Bercerita lanjut tentang projek Global One itu, Dayang memberitahu, semuanya datang ketika dia sibuk menumpukan perhatian kepada persembahannya yang diadakan di Planet Hollywood, Kuala Lumpur pada bulan Julai lalu.
Seterusnya, semua tugas diserahkan kepada pengurusnya, Shaliza Kader Sultan untuk mendapatkan kepastian dan kesahihan tentang projek berkenaan.
“Setelah mendapat pengesahan, barulah saya rakamkan vokal saya dan daripada projek ini, ia memberi pengalaman baru buat saya kerana semuanya perlu dilakukan sendiri.
“Merakamkan lagu pun tanpa diiringi oleh muzik dan semuanya hanya berpandukan tunjuk ajar dan pandangan daripada pengurus saya. Saya sendiri tidak sabar untuk mendengar hasil akhirnya,” jelas Dayang lagi.
Pemilik vokal Seandainya Masih Ada Cinta dan Kasih Maafkan ini telah merakamkan dua buah lagu iaitu Tanpamu dan Mimpiku yang lirik bahasa Melayunya telah dialih bahasa oleh Tris Zainol Abidin.
Apa yang lebih membanggakan, penerbit yang cukup berpuas hati dengan mutu serta kualiti persembahan Dayang menerusi kedua-dua buah lagu itu menawarkan penyanyi berkulit hitam manis ini untuk merakamkan lagi tiga buah lagu lantas menjadikannya satu-satunya artis dalam projek ini yang menyanyikan lima buah lagu.
Selain Dayang dan Ruth yang mewakili Malaysia dan Indonesia, antara artis lain yang terlibat adalah Sonu Nigam (India), Wei Wei (China), 4ºespacio (Argentina), Caitlin Moe (Amerika Syarikat) dan Gaitana (Turki).
Sidang media album Global One ini akan diadakan di Madrid, Sepanyol pada Januari 2009 manakala pelancaran albumnya pula akan diadakan sekitar Mac.
Selain daripada projek Global One, ada sebuah lagi projek besar yang akan memberikan impak yang cukup baik dalam karier seni Dayang lebih-lebih lagi dalam menyambut ulang tahun ke-10 pembabitannya sebagai anak seni tahun depan.
“Saya tidak boleh bercerita panjang tentang projek ini kerana belum mendapat lampu hijau untuk menghebahkannya. Tunggu sahaja pada majlis pelancarannya pada 25 November depan,” ujar Dayang sambil menyimpul senyum penuh makna.
Dalam perkembangan lain, Dayang menjelaskan album live sempena persembahannya di Planet Hollywood pada Julai lalu akan menyusul sebelum akhir tahun ini.
“Saya perlu menyiapkan kerja saya satu persatu dan tidak mahu terlalu gopoh. Sebaik saya selesai dengan dua projek besar itu, saya akan menumpukan perhatian kepada penerbitan album live itu.
“Saya terlibat sepenuhnya untuk album ini di bawah pengawasan Jenny Chin. Seterusnya ia akan dihantar ke Australia untuk mastering sebelum ia dipasarkan,” jelas Dayang yang ternyata sibuk dengan karier seninya.
Mengenai album terbarunya pula, pemilik nama penuh Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini menjelaskan, buat masa ini, dia dan pengurusnya sedang sibuk mengumpul material untuk albumnya yang dijangka berada di pasaran pertengahan tahun hadapan.
Kali terakhir Dayang tampil dengan album solonya adalah pada tahun lalu iaitu Dayang 2007.
Hati ini bertanya juga dengan kesibukannya dengan karier tidakkah dia berasa sunyi tanpa seseorang yang digelar kekasih. Lebih-lebih lagi usianya kini sudah menjangkau 27 tahun.
Sambil tergelak, dia menjangkakan soalan cinta akan terpacul jua dan dengan pantas dia memberikan jawapannya.
“Selagi debaran cinta belum ada dalam diri saya, maka dengan itu saya tidak lagi bertemu dengan cinta sejati saya. Saya mahu mantapkan karier saya dan merasai segala-galanya sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga,” kata Dayang penuh makna.
Dua tahun lalu, heboh tentang penglibatan Dayang dalam filem usahasama Malaysia-Indonesia yang berjudul Luka.
Sehingga ke saat ini, tiada langsung perkembangan dan nasib tentang filem berkenaan.
“Saya mendapat tahu pihak penerbit kini sedang merombak skripnya. Tentang berlakon saya tidak mahu terlalu terburu. Sampai masanya, saya akan berlakon juga kerana watak saya dalam filem Luka telah ditetapkan untuk saya,” katanya yang sempat berguru dengan pelakon Indonesia, Ria Irawan hampir tiga minggu

Use the form below to search the site: