Pusat hiburan Zouk di Ampang

IDENTITINYA tersendiri. Tidak hairanlah sentuhan arkitek muda ini melangkaui batas masa. Pusat hiburan Zouk di Ampang, Restoran Frangipani di Bukit Bintang hinggalah kompleks Perbadanan Putrajaya menerima tempias hasil kreativiti personaliti kreatif ini, Zaini Zainul

MULA mendaki tangga usia 40 tahun, Zaini Zainul mempunyai aura tersendiri. Kredibilitinya arkitek kelahiran Pulau Pinang ini tidak boleh disangkal lagi. Setiap hasil kerjanya bagaikan ada ikon melambangkan nukilan arca sentuhan emasnya.

Kematangan hasil rekaan serta kreativitinya dalam seni bina meletakkan Zaini Zainul ikon baru arkitek negara, lantas berada tepat di legasinya sendiri. Mengakui dunia arkitek adalah darah dagingnya, Zaini Zainul berasa puas setiap kali melihat keseluruhan proses pembinaan bangunan lakarannya.

Namun baginya, kejayaan tidak datang bergolek hingga beliau berada selesa sebagaimana sekarang. Baginya, komitmen bekerja seharusnya selari dengan bakat untuk meyakinkan pelanggan seperti yang dipegangnya sejak 18 tahun lalu.

“Ketika ini, pelanggan tidak lagi hanya mahukan keselesaan, sebaliknya mereka mahu tahu fungsi bangunan, kelebihan dan semestinya siapa arkitek di sebalik pembinaan sesebuah bangunan.

“Dunia arkitek semakin berkembang maju dan menjadi salah satu skop kerjaya terpenting khususnya di negara membangun seperti Malaysia. Pada ketika inilah seronok kita berkecimpung dalam bidang ini, apatah lagi dalam kerancakan pembangunan negara yang kian berkembang,” katanya memulakan bicara.

Pertemuan dengan Zaini Zainul di Putrajaya pagi itu akhirnya tertunai selepas beberapa kali terpaksa dibatalkan pada saat akhir. Kesibukan dirinya dengan jadual masa yang ketat meletakkan dirinya bagai tiada masa untuk berehat.

Malah, sehari sebelum sesi fotografi diadakan di Pusat Maritim Putrajaya itu, Zaini Zainul bekerja di Cherating, Pahang semata-mata bertemu dengan pelanggan baru bagi menjayakan projek pengubahsuaian hotel mewah di bandar persisir pantai itu.

Kesibukan dirinya tidak mematah semangat XY – Ikon Lelaki untuk terus ‘memburunya’. Sengaja kami memilih Putrajaya, sementelah beliau sendiri mempunyai hasil kerja tangan di beberapa lokasi di Putrajaya. Selain menjadi arkitek bagi Pusat Maritim dan Terminal Feri Putrajaya, beliau juga boleh berbangga dengan projek Perbadanan Putrajaya yang terletak di nadi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Bersebelahan dengan projek Pusat Maritim yang bakal beroperasi bulan depan, sentuhan kreativiti Zaini Zainul sekali lagi terhampar dengan seni bina India dan Borneo untuk hotel mewah Alam Warisan.

“Jika dulu saya banyak menghasilkan kerja untuk bangunan pusat hiburan, kediaman dan pejabat, kali ini saya sukakan cabaran dengan projek perhotelan yang menuntut lebih cabaran dari segi lakaran dan susur atur setiap fungsi bahagian bangunan.

“Ini kerana dalam hotel sendiri menempatkan bilik penginapan, dewan besar, lobi hinggalah kepada bilik pentadbiran pejabat yang meletakkan semua elemen kreativiti di dalam satu objek bangunan yang cukup besar. Inilah cabarannya yang memang menguji kreativiti seseorang arkitek,” kata Zaini Zainul.

Menterjemahkan lukisan hasil kreativitinya itu menjadi suatu yang realiti, Zaini Zainul mengakui tidak mudah bagi seorang arkitek merealisasikan 100 peratus ilham seni bina idaman. Selain perlu mengkaji selok belok hasil rekaan, kehendak pelanggan juga harus disesuaikan dengan prinsip seni bina.

Leka mendengar cerita serta pengalaman Zaini Zainul seakan memberi kesempatan buat XY – Ikon Lelaki membuka ruang mengenali beliau dengan lebih dekat. kesempatan bersamanya untuk sesi fotografi hingga membawa ke Hotel Shangri-La Putrajaya (juga ilham sentuhannya), Zaini Zainul terus bercerita…

Bagaimana dengan perkembangan terbaru anda?

Buat masa ini saya banyak memfokuskan untuk seni bina hospitaliti. Peluang untuk tawaran projek resort dan hotel semakin menggalakkan. Selain tugas membina, saya juga banyak menerima pelawaan untuk menaik taraf bilik hotel di Kuala Lumpur dan beberapa negeri setakat ini. Semestinya, saiz hotel yang besar memberi cabaran dan tekanan tersendiri buat perekanya, tetapi kepuasan kerana mampu merealisasikan itulah yang paling menyeronokkan akhirnya.

Apakah antara ikon bangunan hasil kreativiti anda yang meninggalkan kesan mendalam?

Mungkin ramai yang sudah tahu dengan bangunan kelab malam Zouk di Jalan Ampang yang berbentuk kiub. Selain itu, saya cukup berbangga dengan rekaan pintu gerbang Perbadanan Putrajaya yang ada elemen keluli menggantikan batu sebagai ikon baru Putrajaya. Apatah lagi apabila terkena cahaya seolah-olah memberi jiwa tersendiri.

Sudah berapa lama anda berkecimpung dalam bidang ini?

Setakat ini sudah 18 tahun saya terbabit dalam dunia arkitek. Sebelum pulang ke tanah air 11 tahun lalu, saya berkhidmat dengan firma antarabangsa di Paris dan Amerika

Syarikat (AS) selama tujuh tahun. Keputusan kembali ke tanah air ternyata tepat, apatah lagi dengan kerancakan ekonomi yang memerlukan banyak bangunan baru

didirikan di negara ini. Saya cukup berbangga melihat semakin banyak bangunan baru di sekitar Kuala Lumpur.

Mengapa bidang arkitek?

Profesion ini melangkaui pelbagai bidang yang diterjemahkan daripada lakaran hasil seni kreativiti kita. Seni bina arkitek menjurus kepada seni tiga dimensi yang direalisasikan menjadi sebuah arca yang boleh digunakan ramai. Tugasan sebagai arkitek tidak saja melakar sesuatu bangunan tetapi merangkumi skop lebih besar dari segi kesenian, kos, teknologi dan kesesuaian dengan keadaan semasa dan cuaca secara keseluruhan. Itulah yang membuatkan saya begitu teruja menjadi seorang arkitek, apatah lagi ketika sekolah dulu saya meminati pengajian seni lukisan.

Pendapat anda mengenai seni bangunan di Malaysia secara keseluruhan?

Terus terang saya katakan yang bangunan di negara ini masih lagi di fasa pencarian identiti. Jelas sekali masih ada lagi pengaruh seni bina Amerika dan Eropah, tetapi saya yakin arkitek kita mampu merealisasikan rekaan yang lebih berjiwa Malaysia. Pada masa depan kita akan lihat lebih banyak bangunan yang beridentiti Malaysia.

Identiti hasil seni Zaini Zainul?

Saya hanyalah seorang arkitek yang memenuhi kehendak pelanggan. Bagaimanapun, tidak sepenuhnya kita membiarkan pelanggan yang menentukan hasil kerja, sebaliknya perlu untuk kita memberi keseimbangan dari segi berkarya. Semestinya ada cabaran tersendiri berurusan dengan pelanggan, khususnya mereka yang tidak memahami etika serta kesan sesuatu objek yang kita realisasikan. Secara keseluruhan, saya menggemari hasil seni bina yang mempunyai unsur moden dan kebebasan.

Selama berkecimpung dalam dunia arkitek, adakah anda puas dengan hasil kerja selama ini?

Semestinya saya teruja dengan setiap hasil kerja yang dilakukan selama ini. Mana tidaknya, bukan sehari dua kerja itu dilakukan kerana selepas persetujuan dengan pelanggan lakaran itu akan direalisasikan menjadi objek sebenar. Kerja-kerja pembinaan pula memakan masa hingga berbulan dan lebih setahun. Jadi, kita sentiasa berada di tapak projek dan meneliti semua perkara.

Sejauh mana projek pembinaan yang memberi kesan mendalam kepada anda?

Tidak saya nafikan yang ramai meminati projek kelab Zouk dan saya sendiri berbangga dengan hasil seni di Perbadanan Putrajaya. Tetapi, secara jujur saya masih belum

mendapat seorang pelanggan yang betul-betul memberikan kepercayaan 100 peratus untuk saya bebas berkarya dalam melakar bangunan mengikut pilihan dan sumber inspirasi sendiri. Inilah impian saya seterusnya.

Bagaimana anda mendapatkan ilham?

Ilham itu tidak datang bergolek. Jangan tidak tahu yang saya juga boleh menemui ilham di bilik air. (tergelak). Tetapi, saya tidak pula terus merealisasikan ilham itu terus di pena kertas, cukup sekadar di kotak memori sebelum saya akan duduk berbincang dengan pasukan tenaga kerja untuk bersama-sama menyempurnakan sesuatu inovasi seni bina.

Melihatkan hasil kreativiti anda tidak terbatas. Selain bertindak sebagai arkitek bangunan, anda juga mereka perabot dan dekorasi dalaman. Bagaimana anda berurusan dengan kontraktor di negara ini?

Saya harus berbangga dengan kontraktor di negara ini berbanding di Amerika mahupun Eropah kerana mereka mampu merealisasikan apa yang kita mahukan. Jika saya ingin mereka cipta tombol pintu misalnya, hasilnya tidak pernah mengecewakan. Seperkara lagi, kos pembuatannya juga hampir sama dengan harga barang sedia ada di pasaran. Berbanding di luar negara, mereka banyak membangkitkan soal kos serta lebih suka membeli barang sedia ada di pasaran, sekali gus mengurangkan daya kreativiti seseorang arkitek.

Melihatkan kesibukan anda dengan urusan kerja dan janji temu di luar kawasan, bagaimana anda membahagikan masa untuk bersantai dan bercuti?

Kerja sudah ibarat rutin dan kewajipan saya. Malah, hujung minggu juga saya habiskan masa di galeri lukisan yang saya usahakan, Z – Art Gallery. Menjadi tabiat saya untuk sentiasa bekerja keras. Bukankah kita harus bekerja keras selagi terdaya untuk masa depan. Sememangnya saya gemar bercuti tetapi tidak lagi buat masa sekarang. Kesibukan di tempat kerja termasuklah menguruskan seramai 40 kakitangan benar-benar suatu tanggungjawab cukup besar. Jika ada waktu terluang, saya banyak habiskan masa bersama keluarga.

Terangkan personaliti diri anda?

Saya seorang yang positif dalam apa juga keadaan serta sukakan suasana yang ceria. Saya juga suka menggembirakan orang lain dan sanggup bersusah demi kebahagiaan orang lain. Menyentuh pula mengenai kerja, saya sangat komited dan tegas kerana mahukan kesempurnaan dalam kerja.

Cara anda melepaskan tekanan?

Bebanan kerja memang dialami sesiapa saja. Saya mulai temui kedamaian dalam hidup apabila mula berjinak-jinak dengan dunia lukisan. Jika bosan dan tertekan, lukisan menjadi teman paling ideal. Saya minat melukis medium lukisan berteraskan abstrak dan inspirasi unsur tiga dimensi. Buat masa ini, saya cenderung dengan elemen alam semula jadi sebagai teras lukisan. Jika ada kelapangan juga saya gemar berenang dan menyertai latihan kickboxing.

Aktiviti hujung minggu anda?

Kebiasaannya hujung minggu saya akan berkunjung ke galeri lukisan saya dan mencari ilham baru untuk melukis. Saya pula jenis yang tidak gemar membeli-belah menyebabkan aktiviti hujung minggu terhad.

Pandangan anda pencapaian lelaki di Malaysia hari ini?

Boleh saya katakan yang terdapat kesamaan gaya hidup dan pemikiran lelaki Malaysia dengan lelaki di Amerika mahupun Eropah. Pencapaian itu didorong oleh faktor kemajuan ekonomi dan budaya yang semakin moden ke depan. Bagaimanapun, dari segi budaya, lelaki Malaysia masih lagi terikat dengan tradisi yang memperlihatkan ciri-ciri masyarakat timur.

Bagaimana pula dengan penggayaan fesyen?

Saya merasai perkembangan dan kemasukan banyak fesyen baru yang secara tidak langsung membimbing masyarakat khususnya lelaki mengenai tata rias dan pemilihan gaya bersesuaian dengan karektor seseorang.

Pendapat anda tentang wanita di Malaysia pula?

Kenalan saya di Eropah sendiri memuji yang wanita Malaysia memperlihatkan ciri-ciri seorang wanita sebenar dari segi tutur kata, fesyen dan personaliti di bawa. Berbanding di negara-negara Eropah yang memperlihatkan kelasakan wanita yang menyamai karektor lelaki. Apa yang boleh saya tafsirkan yang wanita negara ini semakin maju dan berdaya saing setanding dengan lelaki.

Bakat anda yang harus diketahui umum?

(Tergelak). Mungkin saya boleh memasak. Tetapi tidaklah terlalu hebat, cuma makanan barat mungkin agak senang bagi saya.

Adakah anda seorang yang romantik?

Boleh saya katakan begitu. Saya gemar menghiburkan dan menggembirakan orang lain termasuklah isteri saya sendiri. Menjadi kepuasan buat saya jika mampu menggembirakan orang lain. Jangan tidak tahu, saya begitu teruja meskipun ada orang yang menghadiahkan saya sehelai kemeja berharga murah sekali pun kerana saya sukakan kejutan sebegitu.

PROFIL: Zaini Zainul

Umur : 40-an

Tempat lahir : Georgetown, Pulau Pinang

Pendidikan:

# Sek. Men Dato’ Onn, Butterworth

# Master of Architecture, Columbia University New York City USA 1987-89

# Bachelor of Arts in Architecture, Washington University St Louis USA 1982-87

Nama isteri: Suzy

Antara projek sentuhan Zaini Zainul

# Hotel lima bintang Langkawi

# Hotel tiga bintang di Precinct 13, Putrajaya

# Sekolah Antarabangsa di Precinct 15, Putrajaya

# Pusat Informasi, Diplomatik Enclave, Putrajaya

# Kompleks Perbadanan Putrajaya Fasa 1 merangkumi bangunan pejabat, auditorium, fasiliti persidangan, Precinct 3, Putrajaya

# Kompleks Perbadanan Putrajaya Fasa 2 merangkumi blok pejabat, galeri seni dan kraf serta pusat infromasi, Precinct 3, Putrajaya

# Taman Warisan, Alam Warisan – pembangunan 320 bilik hotel berteraskan elemen kebudayaan di Precinct 5, Putrajaya.

# Terminal Cruise dan Pusat Maritim, Precinct 5, Putrajaya

# Kelab Zouk KL

# Butik hotel lima bintang, Precinct 1, Putrajaya

# Restoran Frangipani, Kuala Lumpur

# Butik Habib, Suria KLCC

# Kompleks ibu pejabat Plus, Subang Jaya

# Rasa Foodcourt, KLCC

# Rimbun TTDI Apartment, Jalan Damansara

# Kunang-Kunang Boutique, KLCC

# Mezquite Restaurant, Jalan Doraisamy

Antara anugerah dan pencapaian

# Tempat pertama pertandingan Another Glass House anjuran Shinkenchiku-sha dan Persatuan Arkitek Jepun. Juri oleh arkitek prestij, Philip Johnson dari Amerika Syarikat dan Tadao Ando dari Jepun. (Menewaskan sebanyak 673 penyertaan dari seluruh dunia) – 1991

# Hadiah pujian pertandingan “Glasgow Tower” di Glasgow, Scotland. Juri oleh Sir Norman Foster – 1992

# Menerima jemputan di Pameran seni dan arkitek dari seluruh Eropah di Pusat Seni Kontemporari Nasional, Grenoble Perancis 1993

# Anugerah “Albums de la Jeune Architecture” oleh Menteri Perumahan, Pengangkutan dan Kerjaraya, Perancis 1993

# Penerima Anugerah Utama pertandingan Nara/Toto World Architecture Triennial (kategori terbuka) di Nara, Jepun. Juri oleh Kisho Kurokawa (Jepun) dan Dominique Perrault (Perancis) 1995 mengalahkan 655 penyertaan dari seluruh dunia.

cicakman2.jpg
Cicakman 2 Planet Hitam7 viewsSaiful Apek merah garang mengganas melawakSep 12, 2008
melissa.jpg
MELISSA dan Malique ketika majlis resepsi mereka di Bali, Indonesia baru-baru ini.24 viewsPELAKON jelita ini mungkin masih baru di kalangan peminat seni tanah air. Berdarah kacukan Pakistan – Cina, Melissa atau nama sebenarnya Melissa Maureen Rizal, 28, pernah membintangi filem arahan Bernard Chauly, Gol & Gincu sekitar tahun 2005.Sep 06, 2008
raya1.gif
Card Raya21 viewsSelamat hari rayaSep 06, 2008
raya11.gif
Selamat hari Raya13 viewsDownload this card and send by email. heheSep 06, 2008
anak_che_wan2.jpg
Serina Anak Chef wan41 viewsadus apasal anak dier jadi camniSep 05, 2008
anak_che_wan.jpg
Gambar Kekasih Serina Chef Wan31 viewsDia bukan seorang yang kaki enjoy. Seorang yang soft-spoken dan saya rasa mungkin sebab itulah papa juga menyukai dia. Apa yang saya lihat, dia juga mempunyai pegangan agama yang kuat serta pada masa yang sama mempunyai minat yang sama dengan saya. Tapi yang pentingnya, dia amat memahami kerjaya saya.”Apa-apa pun Serina tak nak rushing sangat atau cepat sangat nak kawin. Biarlah berkawan dulu. Kenal hati budi dulu. Lagi pun tak nak la kecoh-kecoh pasal siapa nama kekasih barunya itu. Kekasihnya tu pun baruSep 05, 2008
mas_idayu.jpg
Mas Idayu KEKAL 100127 viewsPerlu dikhabarkan bahawa Mas Idayu terus mempertahankan imej dan identitinya sebagai bintang serba-boleh yang bernuansakan dangdut sejak 15 tahun yang lalu. KEKAL 1001 (1001 melambangkan tanggal hari kelahirannya, 10 Januari) bukan sahaja menampilkan 12 rakaman-rakaman hebat Mas Idayu bersama Warner Music Malaysia, tetapi turut menampilkan 2 lagu yang pernah diabadikan Mas Idayu di dalam album tunggalnya bersama SynchroSound Records lewat 2003 (“Hasrat Perindu” dan “Tarian Cinta”).Sep 05, 2008
diana_danielle.jpg
Gambar Diana Danielle30 viewsSungguh cantik sungguh menawanSep 05, 2008
This entry was posted in Artis. Bookmark the permalink.

Leave a Reply