Rosyam Dan Rumah satu Juta
Read Here
INI lagi satu kisah yang bila Papa dengar, tiada apa yang mampu Papa lakukan melainkan tumpang gembira dan bangga dengan pencapaian aktor berkaliber, Rosyam Nor.
Walaupun usianya sudah melewati angka 40 tahun, tapi, aura dan penangan Rosyam sebagai aktor memang tidak mampu dinafikan.
Jika tidak, tidak mungkin trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 yang baru lalu, menjadi miliknya.
Bukan itu sahaja, Rosyam juga membuktikan bahawa dia masih lagi menjadi pilihan syarikat untuk menjadikannya sebagai duta.
Sudah tertulis semua itu telah menjadi rezekinya.
Biarpun orang mengatakan dia sebagai hero tua dan sebagainya, Papa lihat Rosyam langsung tidak pedulikan kata orang.
Apa yang dia tahu, dia akan terus berlakon selagi khidmatnya diperlukan.
Berkat kesabaran dan rezekinya itu juga, Papa dengar Rosyam kini giat mengumpul harta untuk masa depan keluarganya juga.
Antaranya adalah sebuah rumah yang dikhabarkan baru sahaja dibeli oleh Rosyam yang terletak di pinggir Kuala Lumpur.
Rumah itu bukan sebarangan harga tetapi apa yang Papa dapat tahu harga rumah itu mencecah jutaan ringgit!
Siapa sangka Rosyam yang pernah hidup susah sewaktu mudanya, kini mampu membeli rumah semahal itu.
Rasanya tidak keterlaluan kalau Papa letakkan Rosyam antara selebriti yang bergelar jutawan.
Papa lihat kejayaan Rosyam ini semuanya berkat usahanya yang bekerja keras sehingga meletakkan dirinya ke tahap sekarang ini.
Orang macam Rosyam juga Papa percaya masih lagi berdiri dan berpijak di bumi nyata.
Bukan macam sesetengah artis, baru hidup mewah sikit, mulalah berlagak dan melakukan perkara sesuka hati mereka.
Use the form below to search the site: