Bagaimanapun, kehadiran Rusdi Ramli bersama Sharon Paul pada majlis resepsi Maya Karin di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Kepong pada 29 Ogos lalu, seolah-olah memberi jawapan kepada khabar angin berkenaan. Mereka duduk semeja.
Rusdi mulanya malu-malu apabila diminta Selebriti Metro Ahad untuk merakam gambar mereka. Namun, dia dan Sharon tidak menghampakan harapan kami.
Seperti biasa, dalam senyum yang sentiasa melekat di bibir, Rusdi cuba menolak untuk bercerita mengenai hal peribadi. Bagaimanapun, sebagai orang lama dalam industri, Aktor Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 itu akur dengan ‘permintaan’ media.
Menurut lelaki berusia 38 tahun itu, perkenalan mereka bermula setahun lalu ketika menghadiri Malam Gala tayangan filem 1957: Hati Malaya.
Kebetulan kedua-duanya terbabit di dalam arahan Shuhaimi Baba itu. Rusdi sebagai pelakonnya dan Sharon menyediakan muzik skor dan mencipta lagu temanya, Hati nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.
Sambil tergelak kecil dalam gurauannya, Rusdi memberitahu: “Susah nak jawab hal ini tetapi saya mula kenal dia ketika 1957: Hati Malaya. Mulanya saya tidak tahu Sharon yang membuat lagu skor dan tema untuk filem itu sehinggalah Malam Gala.
“Kami kenal ketika itu, hanya sebagai kawan tetapi tidak tahu macam mana boleh terlekat.”
Bagaimanapun, Rusdi lebih selesa membiarkan kisah intim ini diceritakan oleh Sharon. Dia akui tidak pandai berkata-kata mengenai topik bukan kerjaya.
Sharon pula sangat telus. Tiada yang perlu diselindungkan, cuma dia mengharap cerita ini tidak disensasikan. Komposer prolifik ini mengakui ‘jatuh hati’ dengan senyuman Rusdi dan tidak menafikan lelaki itu murah senyuman.
“Saya suka tengok dia senyum. Bukan senyum palsu,” kata Sharon yang melakar sejarah manis kerjanya untuk filem patriotik itu apabila memenangi Skor Muzik Asal Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik di FFM21, baru-baru ini.
Secara tepatnya, kata Sharon, mereka bertemu mata buat pertama kali pada Ogos tahun lalu dalam acara Malam Gala itu. Selain senyuman lelaki itu, Sharon mengakui sekilas pandang, hatinya berkata Rusdi seorang yang baik, tambahan selama ini aktor itu tidak terbabit dengan kontroversi.
Kilasan pandang itu tepat apabila mereka berkenalan dan kata Sharon, Rusdi sememangnya lelaki yang baik, lembut dan memiliki kesopanan lelaki Melayu yang sempurna.
Selama ini dia mengenali Rusdi dari jauh sebagai bintang besar di pentas seni negara. Menerusi perkenalan pertama di Malam Gala itu, mereka bertukar-tukar nombor telefon. Masing-masing mengkagumi kebolehan dianugerahkan Tuhan.
“Sekadar kawan saja pada mulanya, tetapi saya takut juga nak ajak dia keluar. Maklumlah dia artis manakala saya pun sebenarnya tidak suka sangat kalau ada hubungan dengan artis,” kata Sharon yang juga mencipta lagu Cinta Terhalang nyanyian Bob AF2.
Lebih sebulan mereka berhubungan menerusi telefon, mengenali hati budi melalui telekomunikasi itu. Bukan tidak mahu berjumpa, tetapi kesibukan karier masing-masing menghalang hasrat itu. Rusdi antara pelakon yang laris bukan saja di filem, malah drama TV. Begitu juga Sharon dengan penghasilan lagu dan muziknya.
Selepas ‘dating’ pertama secara rasmi, Sharon akui Rusdi mempunyai ciri-ciri lelaki yang menepati hatinya. Kini hubungan berusia setahun itu semakin kukuh dan dalam pada itu, khabar angin bertiup kononnya mereka akan berkahwin dalam waktu terdekat ini.
Bagaimanapun, baik Rusdi mahupun Sharon yang memeluk Islam sejak dua tahun lalu keberatan menjawab khabar yang bertiup itu.
