Buruan produser: Kehidupan kedua-dua pelawak popular, Saiful Apek dan Nabil semakin sibuk terutama sepanjang bulan Ramadan ini.
MENGGABUNGKAN dua pelawak lama dan baru ini ternyata bukannya mudah. Mereka terlalu sibuk dengan komitmen masing-masing. Apatah lagi di saat Ramadan baru saja menjelma, pelbagai program berkaitan Aidilfitri dijayakan dua pelawak terkemuka ini.
Saiful Apek dan Nabil Ahmad, 25, pernah bergandingan bersama menerusi filem Sifu & Tonga arahan Profesor Madya Razak Mohaideen. Kali ini mereka bergandingan sekali lagi dalam program Hari Raya terbitan RTM, Selamat Hari Raya Jiran Tetangga.
Bagaimanapun bukan mudah untuk menemubual mereka pada waktu yang sama. Saiful Apek tiba sedikit lewat ketika rakaman hampir bermula menyebabkan temu bual terpaksa diatur berasingan kerana pelawak nombor satu negara itu terikat dengan pelbagai agenda lain.
Melihat kesibukan dua pelawak ini cukup memberi gambaran kerjaya sebagai pelawak kini umpama pisang panas. Mungkin satu ketika dulu, karier pelawak hanyalah tempelan untuk sesetengah program tetapi kini Saiful Apek dan Nabil sehebat artis popular yang lain.
Bahkan mereka turut menjadi buruan penerbit drama dan filem tempatan yang mahu melihat mereka beraksi dalam drama dan filem mereka kerana dijangka memberi pulangan lumayan.
BERSAHAJA: Aksi mencuit hati Saiful dan Nabil.
Biarpun jarang bertemu, dua nama ini saling mengagumi. Sebagai pendatang baru, Nabil mengangkat Saiful Apek sebagai mentornya. Sementara Saiful Apek pula langsung tidak berasa tergugat dengan kehadiran juara Raja Lawak musim kedua itu.
Bagi Apek kehadiran pelapis baru menambahkan lagi warna-warni dunia lawak tanah air. Kehadiran pelawak generasi baru juga kata Apek memberi ruang untuknya terus bernafas dan meluangkan lebih banyak waktu dengan keluarga.
“Saya menganggap kehadiran mereka sebagai penyambung generasi dunia lawak. Lama saya bertahan seorang diri dan pasangan saya tidak pernah konsisten sebaliknya sering silih berganti. Jadi saya perlukan seseorang yang boleh bergandingan dengan saya. Seperti mana AR Badul ketika zaman 70-an dulu yang mempunyai pasangan tetapnya setiap kali membuat persembahan.
“Saya tidak pernah berasa terancam dengan pelawak generasi baru sebaliknya saya berasa amat lega akhirnya mereka keluar juga. Saya sudah punya ruang untuk bernafas. Contohnya seperti Nabil, bagi saya dia seorang yang sangat berbakat besar.
MERIAH: Barisan artis yang menjayakan program Selamat Hari Raya Jiran Tetangga.
“Saya senang bekerja dengan dia dan berasakan antara kami ada keserasian. Dia seorang yang cepat tangkap, selain itu tidak ada rasa tindih-menindih antara kami. Sifat berani yang dimiliki Nabil menjadi salah satu sebab kenapa saya suka pada dia,” kata Saiful Apek yang bakal menerbitkan sebuah lagi program televisyen terbaru berjudul Hua…Hua..Hua.
Sebagai orang lama yang sudah berbelas tahun berkecimpung dalam dunia seni, Saiful Apek melihat banyak perbezaan antara orang lama dan orang baru.
Katanya, dia agak kecewa melihat kerenah pendatang baru yang tidak tahu menghormati orang lebih tua dari mereka.
“Artis baru sekarang tidak macam kami dulu. Walaupun gila-gila, kami tetap menghormati orang yang lebih tua. Apabila bertemu, kami akan salam dan tunduk. Tapi saya lihat fenomena sekarang amat berbeza sekali, banyak generasi baru yang tidak mesra alam dan tidak pandai menghormati orang yang lebih tua,” katanya.
“Saya tidak boleh ganti Apek”
RAMAI yang melihat anak kelahiran Negeri Sembilan ini mempunyai peluang yang cerah dalam industri hiburan tanah air sehingga ada yang berkata, dia juga boleh menggugat populariti Asmawi Ani selain Apek.
Namun jejaka ini begitu merendah diri. Baginya tiada siapa yang boleh mengenepikan Apek dengan mudah kerana dia adalah pelawak pertama yang berjaya bergelar Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Gelaran nombor satu tetap menjadi milik Apek sampai bila-bila.
“Saya tidak boleh ganti Apek. Saya hanyalah pelapis yang menyusul di belakang dia. Apek jadi macam mentor saya. Dia adalah pelawak pertama yang memegang gelaran Bintang Paling Popular, jadi ‘title’ nombor satu tetap dia yang pegang.
“Sebelum terbabit dalam industri ini, saya memang suka layan program TV membabitkan Apek kerana dialah satu-satunya pelawak yang ada setakat ini di televisyen. Selain Apek, saya juga suka menonton program Seinfield dan sering menyaksikan persembahan Harith Iskander untuk memberi idea ketika membuat persembahan,” kata Nabil yang tidak mahu ada yang menganggapnya besar kepala gara-gara isu main tarik tali.
Kata Nabil, dia mahu melakukan sesuatu di atas kerelaan hati, bukan atas dasar paksaan. Malah, dia tidak pernah berkira soal bayaran asalkan kerja yang dilakukan dapat menggembirakan peminatnya.
Dia tidak pernah bermain tarik tali malah sudah menjelaskan kepada pihak Astro, dia lebih senang untuk bergerak dengan sendiri. Apatah lagi melihat nasib yang menimpa rakan-rakannya menyebabkan dia perlu lebih berhati-hati.
Katanya, dia tidak bimbang sekiranya isu itu diperbesarkan hingga menjejaskan pendapatannya dalam dunia hiburan.
“Jika ditakdirkan perkara itu boleh menjejaskan karier saya hingga terpaksa kembali menjadi budak penghantar surat saya reda. Buat apa saya nak malu kerana banyak perkara yang memalukan sudah saya buat semasa menyertai Raja Lawak dulu.
“Saya buat semua ini kerana pendirian. Saya tidak ‘demand’, saya tidak kisah menerima undangan persembahan yang bayar sikit,” katanya yang menjadikan nasihat daripada orang lama sebagai azimat untuknya bertahan dalam bidang ini seperti tidak mudah lupa diri.
Nabil juga tidak mahu menganggapnya dirinya sebagai artis glamor kerana bimbang membuatkan dirinya lupa diri.
Selamat Hari Raya Jiran Tetangga
GABUNGAN Saiful Apek dan Nabil dalam program khas Selamat Hari Raya Jiran Tetangga cukup dinanti-nantikan peminat mereka.
Selain Apek dan Nabil, program ini turut diserikan lagi dengan kemunculan Datuk Aziz Satar, Norlia Ghani, Raja Azura, Sharifah Shahira, Angah, Imuda, Accapan, Along Cham dan Diana Danielle.
Selamat Hari Raya Jiran Tetangga membawakan sebuah kisah berlatarkan dua keluarga berjiran tetapi isteri masing-masing Kak Jah dan Kak Odah yang saling bermusuhan.
Sementara suami mereka Salim dan Abdul dan anak lelaki mereka Rustam dan Zahid bersahabat baik tetapi terpaksa merahsiakan persahabatan mereka kerana tidak sanggup dengan kerenah ibu dan isteri mereka yang suka bergaduh antara satu sama-lain.
Sehingga pada suatu hari, bapa mentua Kak Jah dan ibu mentua Kak Odah datang untuk menyambut ketibaan Aidilfitri di rumah mereka, jatuh cinta dan saling berusaha dan merancang bersama anak, cucu dan jiran mereka Sunny untuk memulihkan hubungan Kak Jah dan Kak Odah.
Abdul dan Samad sanggup berjanji meninggalkan tabiat buruk mereka yang suka ke kelab dangdut jika berjaya mendamaikan isteri masing-masing. Dalam masa yang sama jiran baru mereka Pak Mut yang mempunyai seorang anak gadis cantik Nana menjadi rebutan antara Zahid dan Rustam.
Sitkom selama satu jam 30 minit ini turut diselitkan dengan selingan lagu antaranya, Kopi Dangdut, Milik Siapakah Gadis Itu, Pandang-Pandang Jeling-Jeling, Suara Takbir dan banyak lagi.

DALAM industri hiburan ketika ini, antara artis yang semakin mendapat perhatian dan menjadi sebutan ramai ialah Nabil, juara Rajak Lawak Astro musim kedua. Nabil cukup laris sekarang hinggakan dia dikatakan semakin tak menang tangan melayan jemputan persembahan dan paling menarik harga khidmatnya untuk muncul di pentas atau rakaman TV dan filem juga semakin lumayan. Ramai produser filem mula beri perhatian pada Nabil kerana mereka sedar dari segi elemen komersial, Nabil mampu memberi pulangan…
TAK dinafikan nama juara Raja Lawak Astro, Nabil makin panas. Bukannya panas dengan kontroversi, tapi namanya makin meledak selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan realiti jenaka itu. Nabil bukan hanya menjadi buruan produser dan pengarah filem, malah beberapa rancangan yang dikendalikannya di kaca TV turut menjadi perhatian.
Bagaimanapun, yang tak sedap didengar apabila khabarnya Nabil makin `demand’. Raja memang tahu Nabil tidak menandatangani apa-apa kontrak dengan Maestro Talent, sebaliknya Nabil selesa bebas bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana pihak. Di sebalik itu, Nabil memang sudah sedia terikat dengan Astro selama tiga tahun ketika dalam program Raja Lawak 2 lagi.
Khabarnya, Nabil dilamar pula Astro Entertainment untuk menjadi hak eksklusif mereka. Kiranya Nabil setaraf dengan Aznil Nawawi, AC Mizal, Anita Sarawak, Aaron Aziz dan Erra Fazira yang menjadi hak eksklusif Astro. Untungnya insan bergelar Ahmad Nabil Ahmad, kalau selebriti lain mengambil masa bertahun-tahun nak mencipta populariti, tetapi Nabil pula tak sampai setahun sudah dilamar secara eksklusif.
Bagaimanapun, pihak Astro khabarnya tak berpuas hati dengan jawapan Nabil. Bukan menolak tetapi selepas lebih sebulan menunggu keputusan, nampaknya Nabil masih bermain tarik tali sama ada menerima atau sebaliknya. Risik punya risik, Raja juga mendapat tahu Nabil juga ditawarkan kontrak lumayan, khabarnya angka mencecah ratusan ribu ringgit tetapi nampaknya Nabil masih berat hati nak menerimanya. Kenapa agaknya, mungkin Nabil tak puas hati dengan harga yang ditawarkan?
Yalah, bukankah Nabil sedang popular, tentu dia tidak mahu terikat dengan mana-mana pihak. Menjadi hak eksklusif membataskan pergerakannya lebih-lebih lagi jika terikat dengan Astro. Ada kemungkinan juga Nabil nak mengembangkan bakatnya ke stesen TV lain, tapi takkan tak tahu, dia memang sedia terikat dengan Astro selama tiga tahun? Nabil seolah-olah menolak tuah yang datang bergolek?
Setahu Raja, Nabil, seorang budak yang beringat dan sentiasa berfikir panjang. Tentu ada sebab musabab kenapa Nabil masih bermain teki-teki dengan Astro. Raja harap Nabil fikirlah semasak-masaknya, jangan tolak rezeki. Apapun, keputusan di tangan Nabil.