Sheera Pelakon Muda

Apatah lagi selaku anak sulung, dia bertanggungjawab menjaga ibunya, Aznah Hamid dan dua adiknya, Noor Safreena Idora, 18, dan Mohd Shazee Idrani, 7.

Berbekalkan bakat lakonan yang diwarisi daripada ibunya, Sheera antara bintang muda yang menjadi intipan pengarah. Terbaru, Sheera muncul dalam drama bersiri Fatimah Najwa menyaksikan gandingannya dengan muka baru dalam lakonan, Akbar Azmi, 30.

Mereka dipertemukan produser Raja Azmi Raja Raja Sulaiman, 49, untuk memegang watak utama sebagai suami isteri untuk drama RTM1 itu.

Bagi Sheera yang sudah biasa berlakon, pastinya apa watak diserahkan tidak menimbulkan masalah. Berbeza dengan Akbar, baru pertama kali berlakon, diserahkan pula watak suami tentu saja dia berasa janggal.

Namun, ia bukanlah halangan kepada mereka untuk memberikan yang terbaik untuk drama itu. Malah dengan sokongan pelakon dan kru di lokasi, Akbar mampu menitiskan air mata tatkala isterinya, Fatimah lakonan Sheera meninggal dunia kerana menghidap demam kuning. Pada masa sama, Fatimah mengandung anak ketiga mereka.

Malah dalam sesi fotografi ini, Sheera kelihatan bersahaja namun Akbar memerlukan masa untuk beraksi mesra di depan lensa kamera.

Setiap kali hendak bergambar berdua dengan Sheera, Akbar meminta pandangan Raja Azmi yang hadir sama pada hari itu. Kemesraan mereka bagaikan ibu dengan anak. Sementelah lagi Raja Azmi sering mengusiknya untuk dijadikan menantu buat dijodohkan dengan anak sulungnya, Puteri Suraya.

Sheera mengakui Fatimah Najwa cukup istimewa kerana dia pegang dua peranan sebagai Fatimah dan Najwa. Jelasnya, ia dua watak berbeza tetapi ada kaitan antara mereka berdua.

Drama itu mengisahkan Fatimah berkahwin dengan Ustaz Khaufli (Akbar) tetapi Fatimah meninggal kerana menghidap demam kuning. Kemudian Ustaz Khaufli bertemu Najwa yang seiras wajah Fatimah sehingga menimbulkan tanda tanya kepadanya siapakah Najwa sebenarnya.

Menyentuh aktiviti Sheera pada Ramadan ini, jelasnya dia baru balik bercuti bersama keluarga bapanya di London. Walaupun kedua-dua ibu bapanya sudah berpisah sejak dia kecil namun hubungan baik dengan bapanya terjalin erat.

“Kalau ada masa saya selalu pergi bercuti bersama bapa dan keluarga sebelah sana. Sepanjang tahun ini saya sibuk berlakon, jadi ini saja masa yang ada untuk saya berehat seketika. Ada juga merancang hendak berniaga baju raya di bazar Ramadan, The Curve, tetapi kerana ada sedikit masalah langsung hasrat itu terbantut.

“Mulanya kami mendapat gerai yang kedudukannya bagus di pusat beli-belah itu tetapi atas sebab tertentu, gerai kami ditukar ke tingkat atas. Sewa di situ pun mahal. Kalau menjual di sana terpaksalah letak harga tinggi sedikit.

“Lagipun selepas balik dari London saya sibuk semula di lokasi penggambaran Gerak Khas. Emak pun ada tawaran berlakon. Jadi tiada siapa hendak jaga gerai. Selepas berbincang dengan emak, kami menjual baju raya dari rumah saja.

“Ini tahun keempat kami berniaga baju raya. Kawan-kawan yang sudah biasa membeli baju raya dengan kami, setiap kali menjelang Ramadan pasti mereka akan bertanya. Walaupun tahun ini rasa macam tidak mahu berniaga tetapi kerana menghargai pelanggan setia, saya dan emak berniaga juga,” katanya.

Mengenai juadah berbuka, jelas Sheera dia tidak cerewet pasal makan. Apa yang dihidangkan itulah yang dijamahnya. Sungguhpun begitu, dia menggemari makanan Barat terutama yang berkeju dan makanan manis.

“Emak tegur jangan makan yang manis-manis kerana tidak elok untuk kesihatan tetapi kerana saya mewarisi darah orang Kelantan di sebelah bapa, saya pantang melihat makanan manis. Terliur dibuatnya,” katanya.

Sementara itu Akbar yang mula diperkenalkan ke persada seni oleh Yasin Sulaiman, berkata, dia memang tidak pernah berlakon tetapi tawaran Raja Azmi untuk muncul dalam drama itu diterima dengan hati terbuka.

Katanya, watak Ustaz Khaufli asalnya ditawarkan kepada Yasin tetapi kerana kesuntukan masa, isterinya, Eena Houzyma, yang juga pengurus Yasin mencadangkan Akbar kepada Raja Azmi.

“Tawaran itu datang ketika saya tidak tahu apa-apa mengenai dunia lakonan. Saya berasa janggal berada di lokasi dan tidak kenal sesiapa di sana. Saya tahu Aznah Hamid tetapi saya tidak kenal Sheera.

“Pelakon lain drama itu banyak mengajar saya cara berlakon. Dengan sokongan mereka, saya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu. Malah saya sendiri tidak menyangka boleh menangis ketika babak Fatimah meninggal. Tiba-tiba rasa sedih sangat,” katanya.

Jika selepas ini ada yang kurang senang dengan pembabitannya dalam bidang lakonan, Akbar sedia menghadapi risikonya. Tetapi katanya, dia bukanlah artis nasyid kerana dia menyertai Brothers pun secara ‘bidan terjun’.

“Walau apapun tangggapan masyarakat selepas ini, saya tak kisah kerana saya tahu di mana kedudukan saya. Sebagai pelakon baru saya bersedia membawa apa saja watak asalkan tidak keterlaluan.

“Bagaimanapun kita sedia maklum apabila menceburi bidang lakonan, apa lagi memegang peranan sebagai suami isteri, pasti ada adegan intim.

“Itu memang tidak boleh dielakkan tetapi kemesraan suami isteri dalam drama boleh ditunjukkan dalam pelbagai cara,” katanya yang sedang menyambung pengajian dalam jurusan Teknologi Maklumat di Universiti Tun Abdul Razak.

>Profil

NAMA PENUH: Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar

NAMA KOMERSIAL: Sheera Iskandar

TARIKH LAHIR: 18 April 1985

TEMPAT LAHIR: Kelantan

UMUR: 23 tahun

STATUS: Bujang

KERJAYA: Pelakon

PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan dan Yayasan Pelajaran Mara

DRAMA: Janji Diana, Bintang Di Hati Bintang Di Langit, Mengejar Awan,

Jangan Ada Dusta, Pinggiran Hati, Janjiku dan Telenovela Usia, Fatimah Najwa

TEATER: Pelesit

FILEM: Bicara Hati, KL Menjerit 1, Sembilu 2005, Cinta Yang Satu

>Profil

NAMA PENUH: Akbar Azmi

USIA: 30 tahun

KERJAYA: Pelajar (sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Teknologi Maklumat di Universiti Tun Abdul Razak), penyanyi dan pelakon

ALBUM: Alpha (2006)

LAGU POPULAR: Siapakah Di Hatimu dan Manusia Lupa

DRAMA: Fatimah Najwa

PENGALAMAN: Pernah menganggotai kumpulan nasyid Brothers

PENCAPAIAN: Finalis Artis Baru Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006

This entry was posted in Artis, News. Bookmark the permalink.

Leave a Reply