SEBUT saja nama Nur Shahila Amir Amzah sebelum ini, mungkin ramai yang tidak mengenali siapa gerangan si gadis ceria itu.
Namun, penyertaan dalam One In A Million musim kedua (OIAM2) lalu nyata membuka laluan besar kepadanya sebagai anak seni.
Walaupun gagal membawa pulang wang sejuta ringgit tetapi Nur Shahila atau mesra dengan panggilan Shila itu berjaya membuktikan bakat nyanyiannya. Shila menang Anugerah Emas di Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) di Pulau Pinang, April lalu.
Justeru, jadual nyanyian Shila cukup padat. Namun, bagi Ramadan ini anak dara penyanyi ND Lala itu memilih untuk membataskan aktiviti seninya. Kata Shila, dia perlu memberi perhatian terhadap pelajarannya di Kolej Segi kerana baru semester pertama.
“Malah, pada minggu depan pula saya akan menghadapi peperiksaan. Jadi, seharusnya sekarang saya membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya. Bahkan, saya juga sibuk menyiapkan rakaman lagu untuk album baru tidak lama lagi.
“Oleh itu, pada malamnya selepas berbuka saya ke studio rakamkan lagu album ketiga. Ia (proses rakaman) ambil masa lama sebab saya buat sikit-sikit. Sebenarnya, semua lagu sudah ada tetapi saya mencari lagu yang betul-betul sesuai,” katanya.
Berusia 18 tahun, Shila berkata setakat ini enam lagu sudah dirakamkan tetapi keputusan akhir mana yang dipilih belum dibuat. Bagaimanapun, jika tiada aral dan ikut perancangannya album Shila akan berada di pasaran November ini.
“Saya masih memilih pop sebagai genre. Cuma yang istimewanya, album ini mendapat sentuhan ramai penerbit. Antaranya Aubrey Suwito, Ajai dan Audi Mok. Malah, saya turut meraih peluang rakam lagu baru yang dicipta komposer dari Australia.
“Bukan itu saja, album ini juga mempertaruhkan komposer baru yang muda dan berbakat. Apa yang pasti, inilah muzik yang saya inginkan selama ini dan bertuah kerana menyedarinya sejak menyertai OIAM2. Saya gembira akhirnya dapat cari diri sendiri.
“Terus terang, secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan pembikinan album ini. Saya berterima kasih kepada bos, Ahmad Izham Omar di Monkey Bone kerana sudi memberi peluang besar seperti itu. Justeru, inilah kayu pengukur buat saya,” katanya.
Menyentuh soal persiapan raya pula, anak sulung dalam keluarga itu berkata baju rayanya sudah siap lapan pasang. Akui Shila, dia sendiri tidak pernah perasan jumlahnya sebanyak itu kerana semua dibeli ibunya, Fauziah Sarman, 40, yang pantang nampak kain cantik.
“Bila kami pergi membeli-belah, kalau Mama terlihat dan jumpa saja kain yang cantik dan menarik di matanya dia pasti membeli. Justeru, mana hendak sedar berapa jumlah yang sudah ada. Apapun, bagi saya ada baiknya juga mempunyai banyak pakaian.
“Maklumlah, pelbagai majlis perlu dihadiri selepas Aidilfitri nanti. Oleh itu, tidaklah susah sangat hendak cari pakaian. Lagipun, setakat ini apa yang Mama pilih untuk saya, semuanya sesuai dan disukai. Jadi memang tiada masalah,” katanya.
Penyanyi remaja yang pernah muncul dengan dua album iaitu Terima Kasih Guru dan Yang Teristimewa itu berkata cita rasanya dan ibu memang sama. Bahkan, katanya jika baju kurung dia suka kurung Pahang yang cukup dikenali dengan pesak ganti.
Berbicara mengenai rumah terbuka, Shila berkata perancangan untuk menganjurkan majlis itu untuk meraikan peminat memang ada. Malah, Aidilfitri tahun lalu pun ramai juga peminat yang datang walaupun kebanyakannya sudah berusia.
“Rata-rata peminat saya, lebih berusia daripada saya. Bukan saja peminat tempatan tetapi ada juga dari Singapura dan Brunei datang berkunjung ke rumah. Malah, paling seronok siap minta duit raya daripada saya kerana mereka masih belajar.
“Alasannya, saya bekerja dan ada pendapatan sendiri. Seingat saya, tahun lalu lebih RM1,000 diperuntukkan untuk duit raya buat peminat. Oleh itu, tahun ini mungkin jumlah peruntukan ditambah lagi kerana setiap tahun kunjungan pasti meningkat,” katanya.
Ditanya bagaimana dengan dirinya pula sama ada mendapat duit raya atau tidak, Shila berkata sejak kanak-kanak hingga remaja dia jarang mendapat duit raya. Katanya riak wajah matang dan saiz badan besar daripada usia menyebabkan dia sering dilupakan.
“Apapun, saya tidak berkecil hati. Ini anugerah Tuhan dan saya menerimanya dengan hati terbuka. Bagaimanapun, ia juga pengalaman indah yang saya akan ingat apabila dewasa,” katanya mengakui ketika kanak-kanak pernah cedera kerana mercun,” katanya.
