Selain menambah amal ibadat, fokusnya terarah kepada bisnes spa yang baru tujuh bulan beroperasi di Seksyen 13, Shah Alam itu. Spa D’Lugano adalah unjuran minatnya terhadap dunia memanjakan diri serta legasi darah perniagaan yang diwarisi daripada arwah ayahnya.
“Memang sejak dulu saya suka ke spa bersama ibu dan adik beradik. Kebetulan minat berniaga ada dalam diri, saya fikir ini cara terbaik untuk saya laburkan. Daripada membelanjakan ke spa orang lain, apa salahnya saya teruskan hasrat itu.
“Ibu pula sentiasa memastikan aanaknya menjaga kecantikan diri melalui amalan makan jamu. Jadi kesempatan ini juga saya menjual jamu buatan ibu, Dara Semula. Ramai tahu kewujudan jamu ini tetapi tidak tahu di mana untuk mendapatkannya. Kan senang saya jualkan di spa ini,” katanya Diana sehari selepas pulang dari Jakarta atas urusan niaga.
Biarpun sudah tujuh bulan bertapak, D’Lugano baru diwar-warkan. Itu pun atas ‘desakan nasihat’ Ahmad Idham yang mahu dia mempercepatkan promosi perniagaan itu. Bukan tidak mahu, katanya, tetapi masa agak suntuk dengan jadual penggambaran.
Lagipun, kata gadis yang dilahirkan pada 9 Mei 1982 ini, dia tidak mahu disalah anggap sesetengah masyarakat yang memandang bisnes artis sekadar melepas batuk di tangga. Biar pelanggan menikmati D’Lugano tanpa mengetahui siapa pemiliknya kerana perkhidmatan itu lebih penting, bukan kerana ia milik artis.
Alhamdulillah, katanya, sambutan diterima sungguh menggalakkan. Hampir empat jam di D’Lugano, wakil Selebriti Metro Ahad menyaksikan silih berganti pelanggan memasuki premis berkonsepkan Bali dan tradisional tempatan itu.
Berurut, bekam, refleksologi, lulur, mandi susu dan rawatan kuku antara kegemaran pelanggan. Kata Diana, pada bulan puasa juga tidak kurang pelanggan tetapnya, terutama wanita, berulang ke spa itu.
Masa sebulan ini digunakan sebaik mungkin kerana selepas sambutan Aidilfitri dia akan kembali ke lokasi. Bagaimanapun, kali ini dia perlu berhati-hati menerima watak. Mungkin dikatakan cerewet atau pemilih, tetapi itu harus dilakukannya demi mencari yang terbaik.
Pernah juga dia menolak tawaran kerana dirasakan tidak sesuai dengan kehendak jiwa. Tiba masanya untuk bersikap demikian kerana bagi Diana, alang-alang melakukan sesuatu, biar bersungguh-sungguh dan berbaloi.
Melalui Susuk arahan Amir Muhammad dan Naeim Ghalili, Diana dicalonkan dalam senarai akhir Aktres Harapan di Festival Filem Malaysia ke-21 baru-baru ini.
Melihat persembahannya sebagai Soraya, pembantu jururawat, ramai menjangka trofi itu berkemungkinan singgah ke tangannya. Bagaimanapun, sejarah terlakar yang anugerah itu jatuh kepada Lisa Surihani.
Pun begitu, Diana tidak memperlihatkan kekecewaannya tatkala perbualan menyentuh hal itu. Dia sedar ada pihak mempertikai keputusan itu, tetapi dia reda dengan ketentuan Ilahi.
Walaupun menyatakan tidak kecewa, nada percakapannya berubah agak rendah. Dia bukan kecewa tidak menang di festival itu, tetapi kecewanya sudah lama terpendam di hati. Disebabkan terlalu lama, perasaan itu semacam tidak dihirau lagi.
“Saya tidak kisah menang atau tidak. Bukan berlagak atau berangan tetapi saya sudah lama dalam industri ini, dari umur lima tahun lagi saya diasuh depan kamera. Mungkin kerana itu saya tidak merasa apa-apa dengan kegagalan itu.
“Malam itu rezeki Lisa, saya kena akur. Kita semua perlu akur dengan pilihan juri dan mungkin saya belum bagus lagi pada pandangan mereka. Bagus juga sebab ini membakar lagi semangat saya untuk mencari yang terbaik.
“Saya tidak perlu merasakan kekecewaan atau sebarang perasaan negatif kerana saya sudah lama merasakan disisih di dalam industri.
“Orang tidak nampak sangat pun saya di sini. Ini baru satu filem,” katanya yang bangga dengan kakaknya, Linda dan abang iparnya, Syed Aiman yang kini bergelar usahawan restoran.
Menurut buah hati aktor Zamarul Hisham ini, sekurang-kurangnya melalui Ezora dan Susuk, pemerhati industri mula ‘melihatnya’.
Dalam pada itu Diana hairan kerana bakatnya lebih menonjol di mata orang luar seperti Naeim Ghalili. Tanpa melalui uji bakat, Naeim percaya dengan lakonan Diana menerusi persembahannya sebelum ini.
Tahun lalu, Susuk ditayangkan di Itali dan bangganya kerana penonton di sana menghargai filem itu. Kepercayaan Naeim terhadapnya memaksa pengarah itu menasihati Diana supaya belajar bercakap bahasa Itali. Alasannya, Diana belum ketahui.
Pada 21 September ini, Diana dijemput ke Festival Filem Antarabangsa Bangkok 2008 sebagai wakil Susuk. Undangan itu bagaikan rahmat tersendiri buat Diana.
“Saya gembira bila dijemput ke sana tetapi saya tidak mengharapkan apa-apa yang besar kerana takut kecewa. Sudah lama saya belajar mengenai harapan itu.
“Jangan keterlaluan sebab kecewanya juga mungkin keterlaluan. Apa yang dibuat selama ini, saya tidak beriya-iya sangat,” katanya yang makin bijak menilai kehidupan
