Intro2u.net >News > Talentime

Talentime

By admin

Read Here

Layan pelakon, kru sama rata buatkan hubungan mereka akrab bagaikan sebuah keluarga

PENGARAH sensasi Yasmin Ahmad mempunyai cara tersendiri memastikan pelakonnya dapat memberi sepenuh komitmen terhadap filemnya iaitu dengan memilih lokasi luar dari Kuala Lumpur.

Filem terbaru arahannya, Talentime sekali lagi mengambil Ipoh sebagai lokasi penggambaran. Bukan saja disebabkan pemandangan menarik dan banyak bangunan lama, Yasmin juga mengakui dia selesa dengan bandar raya itu kerana mengetahui lokasi menarik yang sesuai untuk penggambaran filemnya.

“Saya sudah mengenali bandar raya Ipoh, saya tahu di mana boleh dapatkan shot menarik. Di mana ada masjid serta kuil yang cantik. Boleh dikatakan semuanya ada di sini.

“Saya memilih lokasi luar dari Kuala Lumpur juga kerana tidak mahu pelakon lari untuk ke penggambaran lain. Saya mahu mereka duduk bersama-sama dengan pelakon lain serta kru. Tidak ada layanan istimewa untuk mereka, semuanya dilayan sama rata sama ada pelakon mahupun kru. Walaupun mereka pelakon popular sekali pun, mereka tetap diletakkan di hotel biasa sama seperti kru lain,” kata Yasmin mengenai disiplin diterapkan kepada pelakonnya.

Disebabkan disiplin yang diterapkan itu, hubungan pelakon dan kru menjadi cukup akrab seperti sebuah keluarga.
BARISAN tenaga produksi dan pelakon yang menjayakan filem Talentime.

Talentime mengisahkan mengenai pertandingan bakat sekolah di sebuah pekan itu dibarisi Jaclyn Victor, Mahesh Jugal Kishor, Harith Iskander, Pamela Chong, Amelia Thripura Henderson dan ramai lagi.

Kata Yasmin, filem terbaru arahannya itu mengisahkan keperitan dilalui peserta pertandingan bakat sekolah dan sebuah kisah cinta membabitkan dua bangsa dan agama berbeza.

Walaupun mempunyai banyak pengalaman menghasilkan filem sebelum ini, namun Yasmin memperuntukkan lebih banyak masa untuk menyelesaikan skrip Talentime berbanding filem arahannya sebelum ini.

“Saya memperuntukkan kira-kira lima hingga tujuh hari untuk draf skrip saja. Skrip Talentime memakan masa agak lama sikit kerana saya mahu mencuba permainan baru. Semua sekali ada kira-kira 11 draf yang saya buat.

“Saya tidak mahu hasilkan filem sama, biar penonton nampak kelainan filem ini. Saya tidak suka filem yang ada mesej, siapalah saya untuk mengajar orang. Apa yang saya mahu tonjolkan lahir daripada apa yang saya rasa.

“Saya mahu penonton membuat penilaian sendiri selepas mereka menonton. Saya rasa macam berpura-pura jika ada mesej. Saya suka sesuatu yang boleh menimbulkan tanda tanya pada penonton,” katanya yang sekali lagi menampilkan masyarakat majmuk dalam filem arahannya.

Pengarah itu mempunyai alasan tersendiri kenapa dia memilih untuk menonjolkan pelbagai bangsa dalam filem arahannya itu yang menjalani penggambaran selama dua minggu.

Katanya, kehidupan kita sendiri penuh dengan warna, malah negara kita dihuni masyarakat majmuk. Justeru, kata Yasmin lagi, adalah janggal jika diam hanya menonjolkan satu bangsa saja dalam filemnya.

Pengarah sensasi ini juga ternyata tidak takut bermain dengan wajah baru. Pelakon muda katanya memiliki dinamik dan mereka juga sangat jujur.

Katanya lagi, dia perlu memberi peluang kepada wajah baru kerana ramai orang di luar sana yang berbakat.

17 tahun pengalaman dalam bidang solekan

SELAIN nama Yasmin Ahmad yang tidak perlu untuk diperkenalkan, jurusolek merangkap penata gaya Hadthim Thai juga tidak perlu untuk diperkenalkan.

Hadthim pernah mencatat kejayaan tersendiri sepanjang 17 tahun dalam bidang ini apabila menerima Anugerah Khas Juri bagi Busana Terbaik untuk filem Jimi Asmara.

Dia yang sudah tiga kali bekerja dengan Yasmin, mengakui senang bekerja dengan pengarah tersohor itu. Namun, cabaran bekerja dengan Yasmin apabila terpaksa menyolek pelakon dengan solekan semula jadi kerana pengarah itu mahukan pelakonnya kelihatan natural.

Kata Hadthim, mekap semula jadi adalah lebih sukar untuk dihasilkan berbanding mekap tebal. Bagaimanapun, sebelum penggambaran bermula, dia terlebih dulu mengikuti praproduksi dan mencuba solekan pada pelakon.

Memandangkan Talentime dibarisi pelakon yang ramai, Hadthim dibantu dua lagi jurusolek.

“Sebelum penggambaran, biasanya kami akan mengikuti praproduksi supaya senang apabila berada di set nanti. Kami juga perlu membaca skrip terlebih dulu untuk menyesuaikan solekan dengan keadaan dan watak.

“Bagaimanapun menghasilkan mekap semula jadi adalah lebih sukar daripada mekap tebal kerana saya perlu memastikan mekap itu nampak betul-betul semula jadi di layar,” katanya yang bermula dengan filem Selubung.

Sepanjang kariernya dalam dunia solekan, Hadthim tidak pernah menghadapi sebarang kenangan pahit dimarahi pelakon mahupun pengarah. Tetapi, dia pernah berhadapan dengan pelakon baru yang tidak yakin dengan sentuhannya.

“Pendatang baru biasanya dia ada persepsi tidak yakin kerana mereka tidak biasa dan tidak mengenali saya. Tapi saya akan berusaha untuk membuktikan kepada mereka yang saya bagus dan profesional,” katanya.

Related Content

Leave a Reply

Search Here

Categories

Ads

Stats


View My Stats

Become a BLOGGER

Do you think this site is useful?
Do you have something in your mind? Have something to share?

Post Your latest news or info by simply register here

UserOnline