Kembali aktif cari rezeki selepas berperang dengan penyakit jantung

MUNGKIN pengalaman berbaring di meja pembedahan akibat penyakit jantung berlubang pada Januari lalu menjadi pengalaman paling perit buat penyanyi dan pelakon Nor Razlinda Razli atau Bienda. Bagaimanapun, pengalaman itu juga mengajarnya menjadi insan lebih cekal dan amat mementingkan penjagaan kesihatan.
Kini, selepas sembuh sepenuhnya, tiada yang lebih diberikan perhatian artis peramah ini ,selain memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan sejahtera. Apatah lagi, sekarang dia kembali kencang mencari rezeki dalam bidang seni, yang diterokainya sejak berusia 12 tahun lagi.
“Cuma buat ketika ini, saya masih ditegah daripada mengangkat benda berat, bimbang akan memudaratkan kesihatan. Selebihnya, saya sudah kembali pulih seperti biasa. Syukur Alhamdulillah.
“Selepas pembedahan tempoh hari, saya berehat dengan sepenuhnya selama sebulan, sepanjang Februari. Mungkin kerana saya seorang wanita yang agak kuat, 30 hari itu dikira mencukupi. Mengikut kata doktor, sekurang-kurang tiga bulan diperlukan untuk pesakit jantung yang baru menjalani pembedahan. Saya amat bersyukur, tempoh berehat saya tidaklah sampai berbulan-bulan.
“Sepanjang tempoh itu juga, saya benar-benar menjaga pantang. Begitu juga saya mengamalkan diet yang membantu mempercepatkan proses pemulihan. Antaranya, saya terpaksa menelan ikan haruan yang dikatakan mujarab dalam menyembuhkan luka,” katanya .
DANNY sebagai watak utama, Buchek dalam filem Budak Kelantan.
Antara pengalaman tidak mungkin dilupakan juga apabila mata berpinar dan kepalanya terasa pusing sehinggakan dia tidak mampu melihat objek di depan mata. Tiba-tiba, seminggu selepas pembedahan, Bienda cukup sensitif pada cahaya, sehingga dimasukkan semula ke pusat rawatan Pusrawi selama sehari.
“Lebih kurang waktu yang sama, saya pernah ditemu bual sebuah program televisyen. Ketika temu bual itu diadakan, saya sebenarnya tak nampak apa-apa. Semuanya kabur,” dedah Bienda.
Keperitan menderita penyakit jantung hampir setahun lalu menjadikan Bienda lebih mementingkan kesihatannya berbanding peluang pekerjaan yang ada kala datang mencurah.
“Pada Ramadan lalu, contohnya, saya dihujani begitu banyak tawaran, sama ada sebagai pengacara program televisyen mahupun lakonan. Namun, mengenangkan peritnya pengalaman sedikit masa lalu, saya menolak sebahagiannya. Saya bimbang, jika terlalu kuat bekerja, saya jatuh sakit semula,” ujarnya.
PELAKON baru, Mohd Asrulfaizal (KIRI) bersama Bienda dan Danny.
Ketika itu, katanya, dia cukup mengharapkan pengertian daripada penerbit yang sebahagiannya teman Bienda sendiri. Dia terpaksa mengecewakan harapan mereka demi menjaga kesihatan diri.
“Suatu masa dulu, saya pernah bekerja tak tentu masa. Ada kala sampai dua atau tiga persembahan pada satu hari. Masa itu, memandu seharian ke sana sini pun saya tidak kisah. Sekarang, saya kenalah pandai-pandai membahagikan masa, supaya badan tidak lagi menderita,” katanya.
Pada masa yang sama, anak dara penyanyi Sheeda ini berasakan rezekinya memang tidak putus-putus menjelma sebaik saja dia kembali bekerja selepas selamat menjalani pembedahan. Antaranya, menjayakan penggambaran drama 26 episod berjudul Duda Dan Dara untuk tayangan TV9. Menerusi drama bersiri itu, dia digandingkan dengan Ako Mustapha.
Sebelum itu, dia membintangi drama Sebumbung sebanyak 13 episod, untuk RTM. Ia muncul projek lakonan pertama dijayakan wanita muda ini selepas pembedahan.
Tidak rela berpisah dengan Danny
SEKARANG Bienda memperuntukkan waktunya untuk menjayakan sesi promosi filem Budak Kelantan, yang dilakonnya bersama Danny X-Factor dan Mohd Asrulfaizal Kamaruzaman. Filem yang menggunakan 80 peratus dialek Kelantan itu diarahkan Wan Azli Wan Jusoh, terbitan Alternate Studio dan edaran Grand Brilliance Sdn Bhd.
Filem yang sudah dua tahun dirakam itu antara lain mengisahkan dua sahabat, Buchek (Danny) dan Jaha (Asrul) bertemu kembali di Kuala Lumpur setelah terpisah sekian lama. Kini mereka sudah dewasa. Namun akibat menjalani hidup, sikap dan pandangan yang berbeza, dunia kedua-duanya tidak lagi sama.
Buchek baru menamatkan pengajian di Universiti Malaya, manakala Jaha, yang pernah menjalani kehidupan di sekolah Henry Gurney, kini bergelumang di celah kesibukan Kuala Lumpur.
Pada saat mereka bertemu, Jaha ingin berkongsi perjalanan kehidupannya dengan Buchek yang ternyata sangat berbeza dengan cara hidupnya. Buchek melihat cara kehidupan kawannya yang terlalu liar, lalu tercetus hasrat di hati untuk membantu Jaha ke jalan yang lurus.
INFO:
* BUDAK KELANTAN sepatutnya muncul filem pertama lakonan Bienda. Namun, akibat beberapa masalah, filem keduanya, Kayangan, yang ditayangkan terlebih dulu.
* SEBELUM Budak Kelantan, filem itu pernah menggunakan judul Koya Best dan KL-KB-Amerika.
* DIA mengaku cukup seronok menjalani penggambaran filem terbabit, yang dilakukan di Kuala Lumpur dan Kelantan. Filem terbabit dijayakan hampir sepenuhnya oleh kru dan pelakon berasal dari Kelantan.
* FILEM yang menelan belanja sekitar RM500,000 itu mula diputarkan di lebih 30 pawagam tempatan mulai 30 Oktober 2008.
* BIENDA yang pernah menganggotai kumpulan Solehah turut berazam menurunkan sedikit berat badan sebelum muncul dengan album terbaru, yang sudah pun siap dirakam.
* MASIH bekerjasama dengan komposer Yasin, antara lagu yang dimuatkan dalam album penyanyi yang pernah popular dengan lagu Penantian itu ialah Fatamorgana, Usah Kau Tanya, Kenalimu, Tenang Sabar Tenang, Youm Wara Youm dan Penantian (adunan semula).
PROFIL:
* Nama: Nor Razlinda Razli
* Panggilan: Bienda
* Umur: 23 Tahun
* Keluarga: Anak kedua daripada tiga beradik
* Asal: Kota Bharu, Kelantan
* Kerjaya: Penyanyi dan pelakon
* Album: Bienda ‘Unik’ dan sebuah album yang belum berjudul
* Filem: Kayangan, Budak Kelantan
Budak Kelantan di pawagam hari ini
PENANTIAN selama lebih dua tahun dikira berbaloi apabila Budak Kelantan, filem pertama yang menggunakan kira-kira 80 peratus dialek Negeri Cik Siti Wan Kembang akhirnya menemui penonton bermula hari ini di kira-kira 30 skrin di seluruh negara.
Hasil tangan pertama pengarah Wan Azli Wan Jusoh, Budak Kelantan dilihat filem yang dapat memenuhi selera anak muda masa kini, berikutan fokus ceritanya sendiri lebih kepada pergolakan hidup dua pemuda, yang cukup berbeza. Ia pula disampaikan dalam bentuk ‘mentah’ dengan sentuhan bebas, seterusnya memberikan gaya yang lain daripada filem arus perdana biasa.
Sebagaimana judulnya, filem ini memberikan fokus kepada anak muda dari Kelantan yang mencari kehidupan di kota raya Kuala Lumpur. Sebahagian daripada mereka terpesong ke lembah yang penuh dosa dan noda, manakala sebahagiannya pula mampu kekal di landasan yang benar.
Itulah juga sebenarnya apa yang ingin disampaikan si sutradara, apabila dia menghasilkan filem yang beberapa kali bertukar nama (daripada Koya Best ke KB-KL-Amerika dan akhirnya Budak Kelantan) ini.
Katanya, kisah yang dipaparkan bukanlah realiti, tetapi berdasarkan pengamatan serta cerita yang didengarnya hasil pergaulan bersama teman senegeri.
“Apa yang saya paparkan dalam filem ini hanyalah sebahagian daripada kisah masyarakat yang terjadi. Saya berasakan, inilah sebahagian paparan yang perlu saya ketengahkan ke layar perak. Sekurang-kurangnya, ibu bapa akan dapat melihat begitulah yang terjadi kepada sebahagian anak-anak mereka apabila berhijrah ke kota.
“Namun saya perlu tegaskan, bukan semua anak muda yang ke bandar terbabit dalam kegiatan tidak sihat. Kerana itu saya wujudkan juga watak yang bertentangan daripada watak Jaha yang ‘nakal’. Watak Buchek umpamanya mewakili segolongan anak muda yang masih tegar dengan ajaran agama serta berpendidikan,” kata Wan Azli pada majlis pratonton filem berkenaan di Mutiara Damansara, petaling Jaya, baru-baru ini.
Pengarah itu juga berkeyakinan tidak akan timbul persepsi yang bukan-bukan terhadap masyarakat Kelantan sama ada di kota ataupun di negeri itu sendiri apabila penonton menyaksikan paparan filem terbabit. Ujarnya, budak Kelantan hanyalah subjek yang dipilih mewakili kejadian yang sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa saja. Berikutan dirinya sendiri berasal dari negeri berkenaan, lalu lebih muda untuk dia menghasilkan apa yang dekat di hati.
Menggunakan belanja sekitar RM500,000 dan dirakam dalam masa 20 hari, filem terbabit dihasil menggunakan kamera definisi tinggi (HD) di sekitar Kelantan dan Kuala Lumpur.
Untuk mengatakan dirinya cukup berpuas hati dengan produk pertama, Wan Azli mengaku pasti tidak bisa untuk berbuat demikian.
“Tentulah saya belum boleh berbangga dengan hasil tangan pertama. Kami cuba memberikan lebih daripada 100 peratus kemampuan untuk menghasilkannya. Meskipun begitu, sebagai hasil pertama, tentulah banyak cacat-cela.
“Menghasilkan sesebuah filem bukanlah juga kerja yang mudah. Pada masa yang sama, banyak benar perkara yang saya pelajari sepanjang proses penghasilan. Untuk filem seterusnya, saya tentu cuba menjadikannya lebih cukup sifat. Begitupun saya tak kecewa kerana sebagai produk sulung, Budak Kelantan mempunyai sebuah kisah yang kuat,” katanya.
Ditanya apakah masyarakat Kelantan dilihat sebagai kelompok sasaran utama dari segi tontonan, dia tidak melihat mengapa filem itu tidak boleh ditonton penonton lain juga kerana tema yang disampaikan dalam Budak Kelantan bersifat universal. Lalu, sesiapa saja boleh berhibur bersama filem ini.
Kata pelakon:
* Danny X-Factor:
“Watak Buchek, seorang budak Kelantan yang cukup baik itu sukar untuk saya lakonkan kerana ia bukan diri saya yang sebenar. Wataknya agak berat dengan permainan emosi yang mendalam. Saya sendiri acap kali ditegur kerana sukar memberikan rasa yang dikehendaki pengarah.
“Walaupun saya sendiri orang Kelantan, tetapi bukan mudah untuk menjadi budak Kelantan. Apatah lagi watak itu disertakan pula dengan monolog. Begitupun, pengarah dan rakan banyak membantu saya menghayati watak berkenaan.”
* Bienda:
“SAYA memegang watak Che Nor, kekasih Buchek (Danny) yang turut menjadi perhatian Jaha (Asrulfaizal Kamaruzaman). Pada satu ketika, Buchek mahu melepaskan saya untuk Jaha, kerana dia berasakan saya mampu mengubah kehidupan pemuda berkenaan. Di situlah konflik timbul apabila saya langsung tidak mengenali, apatah lagi untuk menyukai Jaha.
“Walaupun filem ini memfokuskan kepada anak muda Kelantan, tetapi ia bukanlah untuk tontonan masyarakat dari negeri itu saja. Malah, Budak Kelantan dihasilkan untuk tontonan seluruh masyarakat Malaysia dan antarabangsa. Tetapi saya tidak nafikan, memang ramai rakan senegeri yang menyatakan minat mereka untuk menonton filem ini apabila ia ditayangkan.”
* Asrulfaizal:
“SEBELUM ini saya banyak bergiat dalam bidang teater. Inilah kali pertama saya muncul di layar lebar. Nampaknya pengarah memberikan kepercayaan kepada saya membawakan watak Jaha yang dikira agak berat. Apabila melihat skripnya buat kali pertama, saya sudah risau. Yalah, di dalamnya ada babak merogol, bertumbuk, minum dan sebagainya. Paling susah, tentulah babak untuk mengurat perempuan.
“Saya cuba membuat sedikit kajian dengan memerhatikan persekitaran, menonton filem dan menerusi pembacaan. Untuk mengatakan saya berpuas hati, rasanya belum boleh berkata demikian. Kalau saya boleh melakukannya semula, mungkin saya mampu melakonkan watak itu dengan lebih baik.”
