Farahdhiya Eira Syazira bergaduh di skrin TV
Read Here
Farahdhiya dan Eira Syazira bergaduh di skrin TV, tetapi semakin rapat di luar set penggambaran
MANA mungkin ada yang mampu terlepas pandang wajah jelita dua pelakon drama ini. Kehadiran mereka di persada seni ibarat penyeri kaca TV dan hari demi hari undangan berlakon semakin lebat.
Farahdhiya dan Eira Syazira terus bertakhta di hati sebagaimana judul lagu hit yang meledakkan nama Farahdhiya sendiri di pentas seni sebagai penyanyi. Eira pantas menambat perhatian penggemar drama menerusi drama Meniti Bara sekitar tahun 2005 biarpun dia mula membabitkan diri sejak tahun 2002.
Drama Ku Milikmu arahan Along Kamaruddin yang menghiasi slot Lestary di TV3 setiap Selasa jam 9 malam menyatukan Farahdhiya dan Eira bersama-sama. Lantas, keserasian yang terbit tanpa diduga menjalinkan kemesraan yang amat positif, lalu mereka kini selesa berkawan baik. Mereka pula sebaya, baru saja menginjak usia 24 tahun.
Bayangkan sejak empat bulan lalu di lokasi penggambaran, hampir setiap babak drama terbitan Suhan Movies milik Rosyam Nor ini tidak memisahkan mereka. Menurut Farahdhiya dan Eira, mereka selalu melepak bersama dan kerap menghabiskan masa memakan sushi di Pavilion. Jangan tak tahu kedua-duanya memang hantu sushi!
Tidak mahu ketinggalan meraikan pelakon generasi baru yang semakin dikenali dan hebat memacu nama ini, Hip gandingkan mereka sempena musim lebaran ini. Meminimunkan sebaik mungkin props yang ada, Farahdhiya dan Eira saling tak tumpah bagaikan saudara kembar dengan persalinan tajaan Calvin Thoo dan Noor Arfa Batik.
FARAHDHIYA rapat dengan Eira selepas berlakon drama Ku Milikmu.
Tak lupa dunia nyanyian
DUNIA nyanyian masih menjadi entiti keghairahannya biarpun nama Farahdhiya atau mesra sebagai Farah ini cukup hebat sebagai pelakon. Drama Spa Q musim pertama yang paling hebat melonjakkan namanya dan kini Ku Milikmu melengkapkan trek lakonannya.
Farah semakin selesa memahat nama sebagai pelakon dan selepas ini akan lebih selektif menerima tawaran berlakon apatah lagi album ketiganya bakal menyusul selepas musim raya nanti. Kata Farah, satu pengumuman mengenai albumnya akan diumumkan tidak lama lagi.
Lagu Rasa Cinta nyanyiannya juga menjadi lagu tema drama Ku Milikmu dan sedang hangat diputarkan di radio. Lagu itu juga sebagai petanda bahawa gadis kacukan ini sebenarnya masih menyanyi dan memenuhi undangan membuat persembahan. Tidak timbul istilah tenggelam atau berat sebelah kepada sesuatu bidang dalam kamus hidupnya kerana atas nama seni, dunia nyanyian masih menjadi keutamaan.
“Apa terjadi, Farah tidak akan sesekali meninggalkan bidang nyanyian. Itu pasti, manakala Farah berlakon dan mengacara disebabkan faktor minat. Farah gembira dapat mencuba tiga-tiga bidang ini dan pada masa yang sama, Farah boleh membuktikan kepada orang, yang Farah ingin jadi versatil.
“Kalau ditanya, yang mana satu Farah akan pilih di antara nyanyian, lakonan dan pengacaraan, Farah tidak mampu merungkaikan persoalan itu. Kalau Farah dapat mengimbangi ketiga-tiga cabang ini, itu lagi okey. Tak semestinya, apabila album ketiga nanti menjelma, Farah sudah tidak berlakon. Cuma lepas ini, Farah akan menerima tawaran berlakon selepas membuat pertimbangan nyata.
“Selain drama dan telefilem, Farah ada juga menerima tawaran berlakon filem cuma Farah terpaksa menolaknya dulu sebab terikat dengan penggambaran drama tanpa henti. Farah memang berharap dapat meluaskan bakat ke layar perak pula selepas ini. Insya-Allah,” ungkap Farah yang mengandaikan kehadiran lagu Rasa Cinta yang mendapat sambutan sebagai ‘permulaan’ yang baik kepadanya.
Tahun ini, sebagaimana kebiasaan Farah beraya di Johor Bahru dan memilih untuk tinggal di hotel. Hanya diberi cuti seminggu untuk beraya, Farah kembali ke set penggambaran drama Ku Milikmu dan Spa Q musim kedua. Atas kesibukan berlakon, Farah tidak sempat membuat persiapan sempurna untuk beraya.
“Mujurlah Farah sudah menempah baju raya sejak dua bulan sebelum kita menyambut bulan puasa. Tahun ini, Farah dan Zizie Ezette beraya dengan keluarga masing-masing di hotel. Farah dan Zizie sudah 10 tahun berkawan baik,” kata Farah yang juga sedang mempertimbangkan lagu ciptaan Tam berjudul Renyai untuk dijadikan single.
Mengenai Eira, Farah mengakui senang berkawan dengannya. Mengakui sering dicop sombong gara-gara air mukanya yang nampak garang, Farah memberitahu dia bukan jenis manusia yang senang rapat dengan orang.
“Orang yang tak kenal Farah memang akan selalu kata Farah sombong. Tapi kalau orang pandai nak memenangi hati Farah, mungkin boleh jadi senang. Mungkin juga ini yang terjadi antara Farah dan Eira. Daripada malu dan kekok, kami mula jadi serasi dan sekepala. Kami ini jenis yang ‘gila-gila’,” kata Farahdhiya yang memegang watak sebagai Kirana Soraya.
Hargai setiap tawaran berlakon
BAGI pemegang watak gadis lurus bendul bernama Anisa di dalam drama Ku Milikmu ini, Eira beraya di kediaman keluarganya di Putrajaya. Sebelum ini Eira sekeluarga menetap di Ampang, cuma sejak dua tahun lalu mereka berpindah ke Putrajaya.
Persiapan raya lebih diutamakan kepada keluarganya dan hanya ala kadar buat dirinya. Tahun ini, Eira sekeluarga sepakat memilih warna biru laut.
“Selain Putrajaya, Eira juga beraya di Kuala Lumpur dan Eira manfaatkan cuti seminggu beraya dengan baik sebelum kembali menyambung penggambaran drama Ku Milikmu,” katanya ringkas.
Bekas kekasih hati Isa yang pernah menganggotai kumpulan GT Boys ini melihat momentun dan peralihannya sebagai pelakon di tahap yang membanggakan. Dia melalui laluan lazim yang pernah dilalui pelakon lain bermula sebagai ekstra, pembantu dan heroin.
Setiap tawaran yang kunjung tiba sangat dihargai dan Eira sedar bukan mudah untuk dirinya berada pada tahap ini apatah lagi diberi peluang menghiasi kaca TV pada waktu prima.
“Eira tiada sokongan sesiapa pun kerana Eira bukan datang daripada keluarga seni. Eira nampak anjakan daripada mula hingga kini kerana pengalaman Eira bermula daripada bawah. Eira berdikari dan memandang setiap rezeki yang kunjung tiba daripada sudut berbeza dan positif.
“Sebagaimana Farahdhiya, Eira juga pernah mendapat tawaran berlakon filem tetapi soal masa yang menghalangnya apabila Eira terikat dengan drama. Jujur cakap Eira akan lebih selektif untuk berlakon filem. Alang-alang berlakon filem, biarlah ia betul-betul memberi impak dan ‘boom’,” kata Eira yang juga dikenali dalam drama Sindarela arahan Sharul Ezad.
Menyebut Sharifah Amani sebagai heroin pelapis yang baik, Eira juga melihat Farahdhiya sebagai pelapis yang mampu menyemarakkan persada seni. Di set penggambaran drama Ku Milikmu, tiada istilah ‘caras’ antaranya dengan Farahdhiya.
“Dia antara kawan baik saya di dalam industri. Walaupun dalam drama ini kami selalu ‘bergaduh’, ia bukan alasan untuk kami tidak baik. Kami serasi sebagai kawan dan jadi rapat,” katanya.
Berbeza dengan Farahdhiya yang kini sedang berteman rapat dengan seseorang, Eira jujur mengakui belum menemui pengganti selepas cintanya berakhir dengan Isa. Eira tidak mahu lagi membazir masa bercinta dan secara berseloroh, Eira berkata selepas ini kalau jodoh datang cepat, Eira akan terus kahwin.
Mengenai Isa, mereka putus secara baik dan tidak pernah bermusuh dan mengakui mungkin mereka lebih serasi sebagai kawan.
“Buat masa ini, biarlah Eira fokus kepada kerjaya dan buat duit. Lagipun Eira baru 24 tahun. Tahun depan mungkin Eira sudah boleh memikirkan soal masa depan sebab Eira memang sukakan bayi dan kanak-kanak. Kalau ada jodoh datang, tahun depan atau beberapa tahun lagi, jika mendapat calon yang dikira sesuai, Eira tidak akan teragak-agak untuk menamatkan zaman solo,” kata Eira yang mungkin akan tampil sebagai watak baru di dalam sebuah drama siaran di TV3.
Profil:
* NAMA PENUH: Farahdhiya Mohamed Amin
* TARIKH LAHIR: 28 April 1984
* TEMPAT LAHIR: Sarzana, Itali
* STATUS: Bujang
* KERJAYA: Penyanyi, pengacara dan pelakon
* ALBUM: Bertakhta Di Hati (2005) dan Yang Ku Puja (2006)
* DRAMA/SITKOM: Spanar Jaya, Senario Raya, Mencari Arah Kiblat, Kau Curi Cinta Ku, Ku Milik Mu, Spa Q
* PROGRAM TV: Jaguh Futsal (RTM), Discovery Smiles Treasure (TV3)
Profil:
* NAMA PENUH: Syazira Shuhaimi
* NAMA KOMERSIAL: Eira Syazira
* TARIKH LAHIR: 19 Julai 1984
* TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
* ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik
* TEATER: Lorong 2/90 dan Bangsawan Lela Manja
* FILEM: Bisikan Remaja
* DRAMA: Lebih 30, antaranya Gerak Khas, Sembilu, Ibu Kota Cinta, Kaca, Lesen, Meniti Bara, Senja Kala, Assignment, Dosa Haniza, Seteguh Kinabalu, Elly, Jejak, Temu Janji, Penama Kedua, Sindarela, Abang Misi, Ku Milik Mu dan Melukut Tepian Gantang


Use the form below to search the site: