Along Raja Lawak (kiri) dan Zila.
Percintaan bermula pada konsert Gempak Selebriti Astro
KENAL selama enam bulan, akhirnya artis yang bakatnya mula dicungkil daripada Akademi Fantasia musim keempat, Zila Saeron nekad memilih Along daripada pertandingan Raja Lawak musim kedua sebagai kekasihnya, sekali gus mengikat tali pertunangan pada 9 November ini bertempat di Felda Alui Selatan, Jempol, Negeri Sembilan.
Pertemuan sewaktu terbabit dengan persembahan Gempak Selebriti Astro akhirnya menguntum rasa cinta, hubungan mereka berlalu sepantas kilat bermula dengan bertukar nombor telefon. Daripada menghantar SMS, akhirnya jodoh mereka begitu kuat hingga mengambil keputusan untuk menjalinkan ikatan pertunangan. Mengakui cukup senang dengan peribadi Along, Zila menyasarkan untuk bertunang dalam tempoh setahun.
“Majlis pertunangan nanti dibuat secara sederhana dan ringkas membabitkan rakan taulan dan sanak saudara terdekat. Soal ke fasa berkahwin itu, Insya-Allah ada rezeki lebih mungkin kami akan mempercepatkan tarikhnya. Harap nanti tidaklah kami diduga begitu hebat semasa berada di alam pertunangan,” kata Zila ringkas.
Melihat sisi arena seninya, anak keempat daripada tujuh beradik ini sudah muncul dengan album Realistik, dua tahun lalu. Bagaimanapun, kewujudannya seakan diragui, bagaikan tenggelam dan timbul, tidak konsisten. Kontraknya bersama Maestro akan tamat pada tahun depan.
Menyedari Maestro begitu banyak menguruskan artis kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim pertama hingga keenam, Zila sedar di mana posisinya supaya tidak terlalu bergantung harap kepada syarikat itu.
“Zila tak pernah menyesal menyertai Akademi Fantasia musim keempat biarpun nasib Zila tidak sama dengan mereka yang berada di kedudukan lima teratas atau bergelar juara. Zila harus bersyukur dengan apa juga ketentuan-Nya.
“Daripada Zila mula menyanyi di pusat karaoke dan majlis kahwin, setidak-tidaknya dengan Akademi Fantasia, Zila sudah dapat membuat persembahan di tempat yang lebih baik. Zila tak pernah rasa yang Zila ini popular dan Zila selesa berada di tahap sekarang.
“Selain mengharapkan tawaran dan undangan membuat persembahan dengan Maestro, Zila juga kena bijak mencari peluang secara sendiri. Zila kena berusaha kerana hidup harus diteruskan,” kata Zila yang pernah disangka Mila gara-gara susuk tubuhnya yang genit.
PROFIL: Zila Saeron
* Nama sebenar: Nur Azilah Seeron
* Tarikh lahir: 17 November 1988
* Tempat lahir: Hospital Kuala Pilah
* Adik beradik: Anak keempat daripada tujuh beradik
* Emel: zila@zilafc.com
