Kontroversi cinta Pierre Andre

KHATIJAH bimbang kontroversi jejas kerjaya Pierre Andre.

Khatijah Tan buka mulut mengenai kontroversi cinta anaknya, Pierre Andre

KISAH percintaan halimunan Pierre Andre dan gadis misteri bernama Maya Darina Dahlan Hain atau Elie, Molie atau Melia mencetuskan kontroversi sehingga kononnya menjejaskan nama Pierre.

Pelbagai cerita mengenai Pierre timbul kononnya anak pelakon Khatijah Tan itu sedang hidup di awangan sehingga makanan terpaksa dihantar ke bilik.

Beberapa media cuba mendapatkan ibu pelakon dan pengarah muda itu untuk mendapatkan pengesahan mengenai sikap Pierre akhir-akhir ini. Hip juga tidak ketinggalan cuba menghubungi Khatijah menerusi telefon bimbitnya tetapi gagal.

Namun kesempatan bertemu dengan Khatijah yang sedang menjalani penggambaran filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly baru-baru ini tidak dipersiakan. Alasan Khatijah, mungkin ketika Hip menghubunginya telefon bimbitnya digunakan anak bongsunya Mikhail.

Bagaimanapun Khatijah tidak keberatan memberikan kerjasama, malah tidak langsung mengelak apabila diajukan soalan mengenai kontroversi yang melanda anak bujangnya itu.
Pierre Andre.

Sebagai ibu dan orang yang paling rapat dengan Pierre, Khatijah berkata dia tidak nampak sebarang perubahan terhadap Pierre. Dia juga pelik apabila orang mengatakan anaknya terkena ilmu guna-guna kerana Pierre masih lagi seperti dulu.

Namun Khatijah tidak menolak, Pierre ada bercerita mengenai Maya Darina kepadanya tetapi tidak lebih mengenai soal perniagaan bukan kisah percintaan seperti yang digembar-gemburkan media.

Jelas Khatijah, dia dan Pierre cukup akrab dan anaknya itu sering berkongsi pelbagai cerita termasuk kisah cinta. Sebagai ibu juga, Khatijah tahu dengan siapa anaknya berkawan dan bercinta kerana perkara itu sering diceritakan Pierre kepadanya.

“Saya dengan Pierre sangat rapat, hubungan kami bukan setakat ibu dan anak tetapi kami juga seperti sahabat baik. Dia selalu berkongsi apa saja cerita dengan saya termasuk cerita mengenai Maya Darina. Saya tahu Pierre berkawan dengannya tetapi hanya atas urusan kerja.

“Pierre sendiri ada mengaku kepada saya, dia tidak pernah berjumpa dengan Maya. Mereka sekadar berbual di telefon, jadi macam mana mereka hendak bercinta. Saya tahu Pierre tidak bercinta dengan Maya. Saya juga ada berpesan pada Pierre jika orang itu tidak wujud, lebih baik jangan dilayan dan dia faham,” kata Khatijah yang tidak menafikan ada mendapatkan air penawar untuk anaknya.

Bagaimanapun kata Khatijah, tujuannya mendapatkan air penawar berkenaan hanyalah sebagai pendinding kerana dia bimbang apa yang diperkatakan orang benar-benar menjadi kenyataan. Tetapi Pierre enggan minum alasannya dia tidak menghadapi sebarang masalah.

“Pada mulanya saya tidak begitu bimbang dengan keadaan Pierre. Lama-kelamaan apabila kisahnya hangat diperkatakan media, timbul pula rasa bimbang. Takut juga jika betul Pierre kena ‘mandrem’, tapi tidak nampak pula sebarang perubahan pada dirinya.

“Selepas menjalani penggambaran di Indonesia, saya lihat keadaan dia macam biasa. Tapi apabila media hebat mainkan ceritanya saya lihat Pierre jadi haru biru. Dia kurang senang dengan cerita media, kami tidak menyalahkan pihak media. Cuma Pierre jenis orang yang pendiam, dia lebih suka berdiam diri dan tidak suka memperbesarkan cerita ini kerana tidak mahu melukakan hati mana-mana pihak,” kata Khatijah.

Sementara itu, Khatijah berkata, dia tidak bimbangkan kisah Maya Darina sebaliknya dia bimbangkan kerjaya Pierre yang baru bermula akan terumbang ambing. Tidak dinafikan sejak kisah kontroversi Pierre dengan cinta ilusinya, Pierre tidak banyak menerima tawaran berlakon.

“Saya tidak kisah jika cerita ini menjadi mainan media. Kalau sikit tidak mengapa, tapi janganlah perkara ini menggugat kerjayanya yang baru hendak bermula. Bukan apa, saya bimbang penerbit lain takut ambil Pierre hanya kerana cerita tidak betul terutama mengenai cerita dia terkena buatan orang.

“Selagi dia ada kerja, alhamdulillah. Sebenarnya kontroversi ini bagus juga untuk mematangkan dia, cuma saya harap tidak melampau. Janganlah ancam kerjaya Pierre,” katanya

This entry was posted in Artis, Pierre Andre. Bookmark the permalink.

Leave a Reply