LEBIH dikenali sebagai seorang supermodel, Lisa S tidak pernah membayangkan dirinya akan diterima sebagai VJ (pengacara) terbaru di saluran Channel [V] (saluran 714, Astro).
Itulah yang dinamakan rezeki dan meminjam kata pepatah lama, ‘Tuah ayam nampak di kaki, tapi tuah manusia, entah siapa yang tahu.’
Mungkin juga kerana dikurniakan wajah yang cukup jelita dan ditambah pula dengan ketinggian yang mencecah 180 sentimeter, tidak mustahil kelebihan itu dia diterima menjadi salah seorang VJ wanita selain daripada Marion Caunter.
Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, Lisa mengakui, dia seperti kebanyakan calon lain yang menghadiri uji bakat bagi mencuba nasib untuk menjadi seorang VJ.
“Dalam setiap pekerjaan yang saya lakukan, saya akan melakukannya dengan penuh jujur dan ikhlas. Bagi saya, tiada jalan pintas dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Seperti juga dengan diri saya, yang mahu mencuba nasib sebagai seorang VJ.
“Saya lakukannya kerana cinta dan minat saya terhadap muzik dan hiburan di samping mahu mencuba kelainan yang belum pernah saya lakukan. Malah, menjadi seorang VJ telah menjadi impian saya sekian lama namun, baru peluang ini tiba kepada saya,” katanya dalam satu temu bual bersama Hits di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Diajak bercerita tentang percubaannya untuk menjadi seorang VJ, Lisa memberitahu, semuanya bermula apabila seorang teman yang bertugas di STAR memberitahu VJ mencari wajah baru.
“Dia memberitahu saya Channel [V] hendak mencari VJ yang baru untuk beberapa program baru mereka. Jadi, saya fikir, tidak salah untuk saya mencuba dan setelah menghadiri uji bakat, ternyata mereka berpuas hati dan langsung mereka menawarkannya kepada saya,” jelasnya ramah.
Setelah lebih sebulan bersama Channel [V], Lisa yang dilahirkan di Monaco ini memberitahu, kini, baru dia tahu bukanlah satu kerja yang mudah untuk menjadi seorang VJ.
Apatah lagi, sebahagian masanya perlu dihabiskan dengan meneliti skrip dan juga membuat kerja rumah tentang program yang dihoskannya, menjadikan tugas Lisa kini lebih berat dan mencabar.
“Bukan itu sahaja, saya juga perlu mengubah personaliti saya di hadapan kamera untuk menjadi seorang yang lebih periang, ceria dan menghiburkan berbanding dengan personaliti asal saya yang begitu dingin dan ada kalanya saya mempunyai angin yang kurang baik.
“Setelah bersama dengan Channel [V], saya mampu menghadapinya dengan baik dan apa yang membuatkan saya gembira adalah apabila VJ lain tidak lokek memberikan panduan dan bimbingan kepada saya untuk tidak berasa kekok di hadapan kamera,” ujar wanita berbintang Gemini ini lagi.
Bukan itu sahaja, Lisa juga mengakui, menjadi seorang VJ dan seorang model merupakan dua dunia yang cukup berbeza dan dia harus menyesuaikan dirinya agar tidak terbawa-bawa dalam dua pekerjaan itu.
“Banyak perkara yang saya belajar dan dapat lihat apabila mendalami dua bidang ini. Dalam dunia peragaan, ia sama seperti bidang lakonan kerana kita perlu menghayati dan menuntut karakter yang dikehendaki oleh pelanggan kita.
“Tetapi, menjadi seorang VJ, ia lebih bebas dan kita tidak perlu terikut-ikut dengan apa yang dikehendaki kerana yang penting, kita harus menjadi diri kita sendiri.
“Namun, cabarannya tetap ada kerana dalam masa yang sama, kita harus tidak berlebih-lebihan kerana penonton akan menyaksikan kita di kaca TV setiap masa,” cerita pemilik nama penuh Lisa Antoinette Selesner ini.
Tambahnya, di awal menjadi seorang VJ, dia begitu bimbang seandainya dia gagal melunaskan tanggungjawab seperti mana yang dikehendaki oleh penerbit.
“Masa itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya. Semuanya lengkap (ketawa). Takut, gementar dan yang paling saya takut adalah untuk menerima pandangan orang. Tetapi, lama-kelamaan, semuanya berubah sendiri dan ia membuatkan saya menjadi begitu selesa kini,” katanya yang kini menetap di Hong Kong.
Memulakan kariernya sebagai seorang model sejak usia 14 tahun lagi, Lisa menjelaskan, dia masih meneruskan karier yang telah membawa namanya ke puncak sementelah bekerja dengan Channel [V] tidak memerlukan masa yang panjang.
“Rakaman hanya dilakukan dalam masa satu hingga dua kali seminggu dan dalam masa yang sama, jika ada tawaran peragaan, saya akan meneliti dan menerima tawaran yang tidak akan menjejaskan masa saya bersama Channel [V]. Sekarang ini pun, saya masih lagi boleh membahagikan masa dengan baik,” katanya lagi.
Menjadi salah seorang model terkemuka Asia telah membawanya jauh mengembara ke kota-kota fesyen ternama dunia seperti London, Milan dan Paris di samping mengadakan pertunjukan fesyen di Israel, Jepun, Afrika Selatan, Sepanyol dan Switzerland.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Lisa juga merupakan seorang pelakon dan pernah membintangi beberapa buah filem Hong Kong.
Dan, gandingannya dalam filem berkenaan bukanlah calang-calang kerana semuanya merupakan bintang besar.
Antaranya adalah bersama Datuk Michelle Yeoh menerusi filem Silver Hawk pada tahun 2004 dan juga menjadi kekasih kepada pelakon kacak, Louis Khoo dalam filem Rob-B-Hood yang turut dibintangi oleh Jackie Chan.
“Lakonan saya dalam filem berkenaan bukanlah watak utama tetapi hanyalah sekadar watak pembantu sahaja.
“Saya masih lagi berminat untuk berlakon namun, pihak penerbit dan pengarah yang mahukan saya akan berdepan dengan masalah untuk mencari pelakon yang sesuai untuk digandingkan bersama saya kerana ketinggian saya,” katanya berseloroh.
Dalam perkembangan lain, jelitawan ini juga tidak terlepas daripada ditanya tentang hubungan cintanya dengan pelakon kacak Hong Kong, Daniel Wu yang sudah pun memasuki tahun keenam.
“Hubungan kami masih lagi berjalan dengan baik dan apa membuatkan saya gembira adalah dia banyak memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada saya. Kami juga mempunyai perancangan untuk berkahwin tetapi biarlah masa yang menentukan,” katanya sambil tersenyum.
Bagi mereka yang mahu menonton aksi Lisa S di saluran Channel [V] (saluran 714, Astro), bolehlah menyaksikannya menerusi rancangan-rancangan berikut:
lVideo[Scope] – Setiap hari Isnin pukul 6 petang
l[V] Countdown – Setiap hari Sabtu pukul 8 malam
lThe List – Setiap Khamis pukul 6 petang
