Intro2u.net >Artis > Noraniza Idris, Syura dan Zehra Zambri

Noraniza Idris, Syura dan Zehra Zambri

By admin

Read Here

KOMPOSER dan penulis lirik terkenal, Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah sudah begitu sinonim sebagai komposer yang menggubah lagu-lagu berentak tradisional dan etnik.

Karyanya bukan sahaja dialunkan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tetapi juga penyanyi-penyanyi irama tradisional dan etnik lain termasuk Noraniza Idris, Syura dan Zehra Zambri.

Bagaimanapun, Siti adalah antara penyanyi yang begitu menggemari produk serta air tangan ciptaan komposer tersebut.

Lagu-lagu seperti Cindai, Balqis, Ya Maulai, Hati Kama (lagu duet Siti dengan Noraniza Idris) dan Nirmala merupakan senarai lagu ciptaan Pak Ngah untuk penyanyi itu yang begitu mendapat tempat di hati peminat seni hiburan tempatan.

Namun, sejak berjaya mencipta karya agungnya untuk Siti iaitu Nirmala enam tahun lalu, komposer tersebut seakan-akan ‘sepi’ dalam menghasilkan produk irama tradisional terbaru.

Ditemui pada malam sambutan hari raya dan penyampaian sijil Swatari yang diadakan di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini, Pak Ngah berkata, dia kini sibuk mencari idea mencipta lagu terbaru untuk Siti dan beberapa artis lain.

“Sebenarnya saya sekarang lebih banyak terlibat dalam penciptaan lagu-lagu kempen dan patriotik berbanding lagu-lagu tradisional.

“Tetapi baru-baru ini saya diminta oleh Siti untuk membuat sebuah lagu berkonsepkan tradisional kontemporari yang bakal dimuatkan dalam album tradisional terbarunya tidak lama lagi.

“Saya masih lagi berusaha untuk menghasilkan lagu seperti yang dikehendaki oleh Siti,” kata Pak Ngah.

Nirmala karya tertinggi

Tidak menafikan lagu Nirmala merupakan lagu yang paling memberikan kepuasan kepadanya, Pak Ngah sesekali melahirkan kegusarannya dalam menghasilkan lagu yang lebih baik berbanding Nirmala.

“Setelah sekian lama inilah album tradisional terbaru daripada Siti. Saya beritahu kepada Siti agar mendapatkan khidmat komposer-komposer baru yang mungkin punya idea lebih baik dan kreatif daripada saya.

“Sebab bagi saya untuk menghasilkan lagu penyanyi itu kali ini agak susah sebab lagu Nirmala merupakan tahap siling saya. Kalau nak harapkan saya buat lagu yang lebih baik daripada Nirmala rasanya memang tak boleh.

“Bukan saya tidak yakin dengan diri sendiri, cuma mungkin sebab masa tidak begitu mengizinkan. Nak buat sesebuah lagu tradisional bukannya senang, ia memerlukan masa yang panjang untuk kita cari idea dan susun muzik.

“Saya akan mencipta beberapa buah lagu yang bersesuaian dengan konsep tradisional kontemporari dan biar Siti pilih mana satu yang lebih sesuai untuknya. Apa yang pasti, ia lain daripada biasa,” kata Pak Ngah lagi.

Selain sibuk mengumpul bahan untuk lagu terbaru Siti, Pak Ngah juga sibuk mencipta lagu untuk dimuatkan dalam album Haziq dan Zehra Zambri.

Bercerita tentang perkembangan muzik tradisional, kata Pak Ngah, keadaan industri hiburan yang semakin gawat ketika ini menyukarkan perkembangan pemuliharaan muzik tradisional itu sendiri.

Menurut Pak Ngah, selain kekurangan barisan pelapis yang mampu mengalunkan lagu-lagu tradisional, negara juga ketandusan produk-produk yang mampu memberangsang muda-mudi dewasa ini untuk terus meminati muzik warisan budaya itu.

“Kerja Pak Ngah hanya mampu mengangkat semula lagu-lagu tradisional seperti yang telah Pak Ngah cipta tetapi Pak Ngah tak boleh nak ‘menongkat langit’ sendirian. Pak Ngah tak fikir yang Pak Ngah boleh buat dan berjuang sendirian tanpa sokongan dari pelbagai pihak.

“Apa yang Pak Ngah harapkan, suatu hari nanti ada generasi pelapis yang boleh membantu memulihara muzik tradisional,” katanya penuh harapan.

Swatari buka penyertaan baru

Sementara itu, Swatari yang dikendalikan oleh Pak Ngah Productions Sdn. Bhd., yang kini melangkah ke musim yang kelapan bakal memulakan sesi pembelajaran musim kesembilannya pada awal tahun hadapan.

Diasaskan oleh isteri beliau, Datin Sharifah Mahani Syed Kassim atau Mak Ngah, seorang yang berpengalaman luas dalam tarian, Swatari kini mempunyai hampir 200 orang pelajar termasuk pelajar dewasa dan kanak-kanak.

Memberi pendedahan terhadap lenggok tarian tradisonal dan moden, enam jurulatih diperuntukkan bagi mengajar para pelajar Swatari.

Menurut jurutari Swatari, Mokhtar Daud, sambutan menggalakkan sejak tahun pertama diperkenalkan merupakan faktor utama Swatari mampu bertahan hingga kini.

“Sambutannya memang cukup menggalakkan dari setahun ke setahun sehingga kami terpaksa menolak banyak permohonan kerana tidak cukup kelas bagi menampung jumlah pelajar yang ramai. Kelas biasanya kita buat pada hujung minggu supaya tidak mengganggu aktiviti sekolah kanak-kanak yang terlibat,” katanya.

Tambah Mokhtar, tahun ini mereka menerima penyertaan empat pelajar dari Indonesia dan seorang pelajar dari Jepun menyertai Swatari.

Kepada yang berminat menyertai Swatari, yuran RM50 dikenakan kepada golongan dewasa sementara RM30 kepada kanak-kanak berumur enam tahun keatas.

Borang pendaftaran boleh diperoleh di pejabat Pak Ngah Productions Sdn. Bhd., 30-1, Jalan Prima Setapak 3, Prima Setapak Business Centre, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-4023 7978.

Related Content

Leave a Reply

Search Here

Categories

Ads

Stats


View My Stats

Become a BLOGGER

Do you think this site is useful?
Do you have something in your mind? Have something to share?

Post Your latest news or info by simply register here

UserOnline