PENARIKAN diri pelakon Awal Ashaari
Read Here
Bimbang tidak mampu beri komitmen kerana terikat dengan pelbagai program lain
PENARIKAN diri pelakon Awal Ashaari daripada teater Impak Maksima The Musical (IMTM), tidak meresahkan pengarahnya, Ahmad Idham. Sebaliknya sutradara yang pertama kali mengendalikan teater muzikal itu berasakan, ada hikmah di sebalik pengunduran bintang muda yang kian mencipta nama itu.
Dia sendiri sudah dimaklumkan dengan pengunduran pelakon itu sejak beberapa ketika. Tetapi, dia menunggu tarikh yang sesuai untuk mengumumkan perkara itu. Dia berasakan, tarikh 23 Oktober ini ialah saat terbaik, bukan saja untuk mengumumkan barisan pelakon serta penjualan tiket menyaksikan teater muzikal berkenaan, sebaliknya mengumumkan sekali pelakon pengganti bagi watak yang sepatutnya dipegang Awal.
Pada tarikh itu, sebuah sidang akhbar akan diadakan di Istana Budaya (IB) bagi membolehkan pihak media mendapat maklumat terperinci persembahan yang dijadualkan berlangsung mulai 11 November sehingga 22 November depan.
“Awal sudah pun memaklumkan kepada saya mengenai pengundurannya daripada teater muzikal ini. Saya pula amat menghormati keputusannya untuk menarik diri. Alasannya adalah kerana tidak mampu memberikan komitmen terbaik, apabila dia juga terikat dengan beberapa lagi projek yang sudah lama dipersetujui.
“Awal bimbang, dengan perkembangan IMTM yang kini kian berkembang bakal menjadi sebuah pementasan besar-besaran, dia tidak mampu memenuhi tuntutan waktu dari segi latihan dan sebagainya, dek tanggungjawabnya yang lain. Kami sendiri cukup menghormati keputusan ini.
“Daripada dia sendiri mendapat kutukan seandainya gagal mempamerkan persembahan memberangsangkan apabila teater ini dipentaskan nanti, dia mungkin berasakan lebih baik mengundurkan diri sebelum semuanya terlambat. Dia berbuat demikian bukan kerana tidak mampu menjayakan tugas atau watak yang diserahkan,” kata Idham ketika dihubungi Rabu lalu.
Menurut sutradara itu, dia berbangga dengan sikap berterus terang Awal apabila memutuskan untuk menarik diri daripada IMTM.
Katanya, jejaka itu tidak mengejar glamor dan publisiti, sebagaimana dia tidak mengambil kesempatan di atas pementasan terbabit. Lalu, apabila dia tidak yakin dapat memberikan komitmen terbaik, Idham dan pihak penerbitan amat memahaminya.
Pementasan itu sendiri, kata Idham, semakin hari semakin menjadi lebih besar sifatnya. Dia sendiri tidak menyangka IMTM akan muncul sebegitu rupa. Kini, ia akan diiringi kumpulan muzik orkestra. Begitu juga terdapat penambahan penari, jumlah lagu dan juga aspek teknikal.
“Kami mahu menjadikan IMTM sebuah pementasan yang hebat dan besar. Justeru, watak Awal sendiri memerlukan dia menjalani latihan pesat. Dia kena berlakon, menari dan menyanyi pada masa yang sama. Kita bukan mahu mengadakan persembahan yang ala kadar. IMTM sebuah pementasan teater muzikal sepenuhnya.
“Lalu, mungkin Awal berasakan masa tidak menyebelahi dirinya. Kita memahami keadaannya yang turut terikat dengan projek lain. Kami juga sudah mempunyai pengganti bagi watak terbabit. Maaf, saya tidak boleh dedahkan dulu. Tunggulah tarikh 23 Oktober ini. Di sana, saya akan umumkan segala-gala.
“Namun begitu, pelakon pengganti ini juga bukan calang-calang. Dia nama besar dalam dunia teater. Sebenarnya, pelakon ini ialah pelakon ‘understudy’ untuk Awal sejak mula. Jadi, kemungkinan besar, dialah yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan,” ujar Idham yang memperuntukkan RM1.2 juta untuk menjayakan pementasan berkenaan.
Tegas pengarah ini, dia juga membawakan IMTM ke pentas teater bukan dengan niat merosakkan dunia pementasan teater. Dia sedar, ramai yang mempertikaikan kewarasan dirinya tatkala mengumumkan hasrat mementaskan Impak Maksima di IB.
Atas alasan itu, dia sering kali merujuk kepada pakar teater dalam usahanya mengarahkan muzikal terbabit buat kali pertama. Begitu juga dia menggunakan khidmat ramai pelakon pentas dalam projek ini.
“Ketika kami mengumumkan pementasan ini dulu, memanglah kami tidak mendedahkan kesemua pelakon terbabit di dalamnya. Kini, banyak perubahan yang berlaku dan pada dasarnya, ramai aktivis tegar teater terbabit sama menjayakannya,” ujar Idham

Use the form below to search the site:
[...] PENARIKAN diri pelakon Awal Ashaari [...]