Pernikahan Ashraf Sinclair Bunga Citra Lestari

MENJALIN percintaan sejak setahun lalu, akhirnya pasangan romantik pelakon tempatan, Ashraf Sinclair dan penyanyi dari Indonesia, Bunga Citra Lestari menetapkan tanggal 8 November ini sebagai tarikh pernikahan mereka.

Bakal menyaksikan pertembungan adat perkahwinan antara Melayu dan Minang, ia pasti menjadi satu detik yang dinantikan oleh peminat kedua-dua mereka baik yang berada di Malaysia mahupun Indonesia.

Diberitakan, sebaik rancangan pernikahan mula disuarakan sejak tiga bulan lalu, Ashraf sudah bertemu dengan Penasihat Agama di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Pertemuan itu adalah bagi mendapatkan pandangan mengenai proses pernikahan terutama melibatkan perundangan antara dua negara terbabit.

Pihak keluarga Ashraf sebelum ini juga telah berkunjung ke Jakarta untuk merisik dan melamar Bunga.

Namun, di sebalik apa yang telah dirancang selama ini, timbul desas-desus yang kurang sedap untuk didengari mengenai pernikahan mereka.

Ia antara lain mengaitkan sebab utama yang memaksa pernikahan dijalankan adalah disebabkan Bunga yang dikatakan sudah berbadan dua.

Disebabkan hal tersebut, mereka berdua didakwa terpaksa mempercepatkan tarikh pernikahan.

Dakwaan tercetus gara-gara kontroversi mengenai penyebaran gambar peluk cium mereka di pantai peranginan Bali tidak berapa lama dulu.

Sebaik diajukan persoalan mengenai berhubung hal demikian, Bunga dalam nada tegas, menafikan spekulasi yang tersebar luas itu.

“Tidak mungkin saya hamil. Lihat sendiri perut saya,’’ kata Bunga seperti yang dilaporkan dalam akhbar utama Indonesia, Kompas edisi semalam.

Bunga yang ditemani kekasihnya itu mengadakan sidang media mengenai pengumuman pernikahan mereka di Menara Imperium Kuningan, Jakarta Selatan pada lewat malam kelmarin.

Ujar Bunga, rancangan pernikahan antaranya dengan Ashraf juga tidak dibuat secara terburu-buru sambil mengulangi ia dilakukan sejak tiga bulan lepas.

Persiapan majlis pernikahan

Sementara itu, majlis pernikahan antara Ashraf dan Bunga bakal diadakan di Jakarta manakala majlis resepsi akan dijalankan di kedua-dua negara.

Menurut perancangan yang telah ditetapkan, majlis jamuan akan diadakan pada 9 November di Hotel Sultan, Jakarta dan di Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Noveber ini.

Ujar Bunga, majlis pernikahan akan menggunakan adat Melayu serta Minang yang dilihat banyak mempunyai persamaan.

“Ashraf berdarah Melayu manakala saya pula keturunan Minang. Kedua-dua budaya itu tidak mempunyai banyak perbezaan,’’ jelasnya ringkas tanpa memperincikan perjalanan majlis pernikahan itu nanti.

Kata Bunga, pada majlis persandingan di Malaysia nanti, ia juga akan menyaksikan konsep Melayu dan juga Minang.

Kisah percintaan antara Ashraf dan Bunga bukan sahaja menjadi bahan berita di Malaysia malah turut mendapat perhatian media di Indonesia.

Ashraf, anak sulung daripada tiga beradik dilahirkan di England, mula jatuh hati kepada Bunga semasa penyanyi berkenaan mengadakan persembahan di Kuala Lumpur yang mana Ashraf menjadi pengacara.

Hubungan cinta mereka terus mekar sehingga Ashraf berhijrah sementara ke Jakarta untuk berlakon bersama Bunga dalam sebuah filem komedi berjudul Saos Kacang yang mengadakan penggambaran di Pulau Bali.

Pelakon utama Gol & Gincu itu sebelum ini turut berlakon dalam filem Pocong, iaitu filem pertamanya di negara jiran.

This entry was posted in Artis. Bookmark the permalink.

Leave a Reply