Program Sehati Berdansa

Hos sampingan program Sehati Berdansa tarik diri daripada pementasan Impak Maksima The Musical

KEJUTAN demi kejutan dialami program Sehati Berdansa musim kedua yang akan mula bersiaran esok. Ia sekali gus mampu menambah elemen drama dan menghangatkan program realiti berasaskan tarian yang menampilkan pasangan di kalangan selebriti ini.

Bukan saja kisah Linda Onn dan Fahrin Ahmad yang diberi mandat buat kali kedua mengacarakan program ini biarpun dikatakan masih tidak berdamai dan perang dingin mereka dilihat berlanjutan hingga kini.

Awal Ashaari sebagai hos sampingan mengendalikan segmen Di Sebalik Sehati Berdansa, Kenali Sehati Berdansa dan Memori Sehati Berdansa ini sendiri membuat kenyataan yang agak mengejutkan sewaktu sidang media berlangsung di sebuah hotel terkemuka pada 14 Oktober lalu.

Ia berlaku secara kebetulan dan tanpa diduga apabila soalan Hip bertanyakan kepadanya mengenai pembahagian masa di antara Sehati Berdansa dan One In A Million musim ketiga, disalah erti Awal sendiri yang menyangkakan Hip sebenarnya bertanyakan mengenai perkembangannya dalam teater muzikal Impak Maksima. Khabarnya, aktor Zulhuzaimy bakal menggantikan Awal.

Tidak semena-mena, Awal mengambil peluang pada hari itu untuk menjelaskan yang dia sudah menarik diri daripada pementasan teater arahan Ahmad Idham itu atas sebab tertentu. Kenyataan Awal memang agak mengejutkan pihak media dan bayangkan poster promosi persembahan teater itu sudah dinaikkan di depan Istana Budaya.

Mengenai pembabitannya di dalam Sehati Berdansa musim kedua, Awal mengakui begitu teruja untuk terus mengendalikan program ini.

“Saya umumkan di sini, saya sudah menarik diri untuk terus terbabit dalam teater muzikal itu. Saya harap isu penarikan ini tidak akan menjadi isu. Atas sebab tertentu dan komitmen kerja lain, apatah lagi saya merasakan belum bersedia untuk berlakon teater, saya terpaksa menghampakan orang lain.

“Saya rasa bertanggungjawab untuk terus memberikan komitmen kepada Sehati Berdansa. Melihat kepada apa juga situasi yang didepani Linda Onn dan Fahrin Ahmad, mereka masih lagi tegar menggalas tugas hos ini. Ia satu contoh terbaik, kenapa saya juga perlu membabitkan diri dalam program ini,” kata Awal yang akan mengacarakan program One In A Million musim ketiga bersama Marion Counters.

Sehati Berdansa kekal format lama

MASIH mengekalkan format sistem pemarkahan 50 peratus undian juri profesional dan 50 peratus lagi membabitkan undian penonton, koreografer popular, Linda Jasmine masih memikul tanggungjawab sebagai juri profesional dan dua lagi juri hanya akan diumumkan pada persembahan pertama ia berlangsung. Pada musim terbaru ini, stesen radio Era menjadi radio rasmi untuk mempromosikan Sehati Berdansa.

Masih pada niat murni dan matlamat asal iaitu berdansa sambil beramal, format lama masih dikekalkan dan 10 pasangan selebriti kalangan suami isteri yang terbabit iaitu Amyza Adnan dan Khairil Izhar, Ani Mayuni dan Zairi Azmi, Asheed Def Gab C dan Sharifah Noor Shima, Jamal Jamaludin dan Noor Faridah, Khai dan Rosma, Mazin dan Ida Chairunisa, Lisdawati dan Fauzi Nawawi, Sabrina Ali dan Mohamad Shahrin, Sasha dan Salyo dan juga Sharil Arshat dan Noraini Morat akan membuat persembahan tarian mengikut konsep dan tema berbeza pada setiap minggu.

“Pemilihan setiap pasangan dilakukan berdasarkan uji bakat secara tertutup dan sejak musim pertama program ini berlangsung, ada selebriti yang menunjukkan minat untuk menyertainya. Seperti biasa, setiap pasangan perlu menunjukkan komitmen paling minimum selama 18 jam seminggu untuk sebarang sesi latihan menari.

“Terpulang kepada mereka untuk membahagikan masa antara kerjaya, rumah tangga dan Sehati Berdansa. Antara syarat penyertaan yang paling jelas untuk mereka terus membabitkan diri dalam program ini ialah untuk terus memberikan komitmen.

“Setiap penyertaan semestinya ada penyingkiran. Kita tunggu dan lihat saja siapa yang kekal hingga ke akhir dan siapa yang tewas di tengah jalan nanti. Saya juga yakin dengan kredibiliti tiga pengacara, Linda, Fahrin dan Awal yang profesional dan terus memantapkan program pada musim ini,” kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan sewaktu sidang media berlangsung.

Menurutnya lagi, Astro amat berbangga dapat memanjangkan usaha meneruskan kesinambungan program ini berdasarkan sambutan hangat yang diperoleh pada musim lalu. Diadaptasikan daripada program hiburan popular antarabangsa, Dancing With The Stars, ia diubahsuai dengan nafas baru mengikut kesesuaian budaya dan kehidupan masyarakat tempatan di Malaysia.

Setiap pasangan selebriti akan dibimbing oleh seorang koreografer tari profesional. Manakala koreografer tarian, Ahmad Kasan dilantik untuk memantau dan memberi nasihat kepada para peserta dan koreografer mereka.

INFO: Sehati Berdansa

* Silky Girl dan Silky For Men menjadi penaja rasmi

* Antara 10 pasangan selebriti terbabit hanya Khai dan Rosma serta Fauzi Nawawi dan Lisdawati menjadi pasangan yang mana kedua-duanya adalah artis.

* Penyertaan kali ini juga membabitkan suami dan isteri daripada negara Indonesia iaitu Salyo suami kepada Sasha Elite dan isteri kepada aktor Mazin, Ida Chairunisa.

* Pada majlis sidang media berlangsung, pemenang Sehati Berdansa musim pertama iaitu Rashidi Ishak dan Vanidah Imran turut hadir memberikan sokongan.

* Sehati Berdansa musim kedua akan mula disiarkan di Astro Ria dengan episod pengenalan Kenali Sehati Berdansa mulai 18 dan 19 Oktober ini. Persembahan sulung 10 pasangan selebriti yang terbabit dapat disaksikan pada 26 Oktober, secara rakaman setiap hari Sabtu.

* Keputusan pasangan mana yang bakal tersingkir akan diumumkan secara langsung dalam Debaran Sehati Berdansa pada setiap hari Ahad.

* Acara peringkat akhir Kemuncak Sehati Berdansa akan diadakan pada 27 Disember

This entry was posted in Malaysia, News. Bookmark the permalink.

Leave a Reply