PASARAN kenderaan nasional semakin kukuh selepas Proton Holdings Berhad melancarkan Proton Persona dilengkapi sistem bahan api CNG di Thailand, baru-baru ini.
Model itu adalah yang keempat yang dilancarkan di negara ‘Gajah Putih’ selepas Savvy, Gen-2 dan Satria Neo.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata pelancaran model terbaru itu bagi menyaingi pertumbuhan pasaran automotif Thailand yang berkembang.
Semua model kereta nasional itu diedarkan Phra Nakorn Auto Sales, pengedar Proton di Thailand yang dilantik untuk memasarkan dan menjual kenderaan berjenama Proton.
“Proton memulakan pemasaran (di Thailand) tahun lalu dan menerima sambutan baik apabila rakan niaga kami di Thailand membuktikan mereka terus memperkukuhkan prestasi jualan.
“Kami percaya Persona CNG adalah jawapan kepada pelanggan Thailand yang inginkan kereta menjimatkan bahan api dan bernilai,” katanya.
Syed Zainal berkata, pihaknya yakin dapat mengeksport kira-kira 25,000 kereta bagi tahun kewangan tahun ini, berbanding 17,000 dan 18,000 pada tahun lalu.
“Dalam tempoh jangka panjang, Proton akan melancarkan lebih banyak model termasuk Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) di negara,” katanya.
Persona yang terjual hampir 55,500 di Malaysia, turut dipasarkan ke Indonesia, Australia, Singapura dan Britain manakala dan model Persona CNG yang dilancarkan bagi pasaran Thailand adalah yang pertama.
Sementara itu, seorang eksekutif Phra Nakorn berkata, ia adalah model pertama Persona yang dilengkapi kit pra-pemasangan gas asli mampat (CNG) dan dijangkakan menarik minat pembeli.
Model Persona yang dipilih pemenang Model Terbaik Frost and Sullivan 2008 menerima tempahan memberangsangkan di Malaysia sejak pelancarannya Ogos tahun lalu.
Mengambil kesempatan ke atas import duti yang rendah sebanyak lima peratus yang ditetapkan mengikut Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (Afta), Proton memasuki pasaran Thailand yang sebelum ini dikuasai kereta buatan Jepun.
Ketika pelancarannya pada 2007, Savvy dijual pada harga 399,000 baht, menjadikannya kereta paling murah di Thailand manakala Neo dan Gen.2, masing-masing berharga 499,000 baht dan 549,000 baht.
Savvy kini adalah model Proton paling popular di Thailand
