MENJADI pasangan pertama tersingkir di program Sehati Berdansa pastinya menerbitkan rasa pilu di hati. Meskipun menyedari kelebihan menari tiada dalam diri Asheed dan isterinya Shima, namun dek kerana mahu beramal mereka berusaha juga menerima cabaran untuk mencuba nasib bagi mengumpul dana bagi membantu badan kebajikan yang diwakili mereka.
Terang vokalis kumpulan Def Gab C ini jika diberi peluang dan masa yang lebih pastinya mereka mampu mempertajamkan skill dan menunjukkan gerak tari yang lebih baik.
“Memang tak gembira sebab tersingkir di pusingan awal sebab kita harap kalau boleh nak pergi lebih jauh lagi. Tapi nak buat macam mana dah setakat ini sahaja rezeki kami,” luah Asheed selepas pengumuman penyingkiran mereka malam Ahad lalu menerusi program Debaran Sehari Berdansa.
Mewakili Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Asheed menjelaskan, meskipun sekadar dapat menyumbang RM1,000 kepada persatuan tersebut kerana bertahan sekadar seminggu sahaja, namun dia dan isteri masih mahu meneruskan pembabitan mereka kepada persatuan tersebut.
“Kami dah tahu semuanya tentang persatuan tersebut sebab kita dah diberi pendedahan dan kita dah ikuti beberapa program mereka, jadi kami akan terus cuba menyumbang tenaga atau apa-apa yang boleh kepada persatuan tersebut,” katanya lagi.
Akui Asheed, jika sebelum ini dia dan isteri agak kekok dan kurang mahir menari namun selepas menyertai program tersebut hati mereka tertawan untuk meneruskan aktiviti tersebut.
“Saya ini penyanyi rock memanglah tak pandai menari sangat, badan pun keras. Orang rumah saya pula pemalu tapi saya pujuk juga untuk sertai program ini.
“Selepas menyertainya baru saya tahu seronok rupanya menari ini. Jadi kami bercadang akan terus mengambil kelas menari selepas ini,” jelasnya sambil tersenyum panjang.
Sementara itu, juri tetap program tersebut Linda Jasmine berkata, Asheed dan pasangannya mempunyai potensi untuk mengetengahkan skil tarian mereka namun nasib tidak menyebelahi mereka.
“Mereka boleh buat lebih bagus tapi nak buat macam mana rezeki mereka setakat ini sahaja. Mereka bukannya penari profesional jadi kita kena terima hakikat tersebut tapi inilah dinamakan rezeki. Tapi saya berpuas hati dengan persembahan mereka,” katanya.
Jika diukur pada persembahan Asheed dan isterinya, sememangnya mereka layak disingkirkan berikutan gerak tari menerusi lagu Khayalan oleh Black Dog Bone itu tidak begitu memberangsangkan.
Malah markah yang diberikan oleh pihak juri juga meletakkan mereka dia tangga tercorot namun, pujian harus diberikan kepada mereka kerana berani mencuba.
Pasangan itu juga wajar dimaafkan sekiranya mereka telah menghampakan peminat mereka apabila perjuangan mereka terhenti di setakat minggu pertama sahaja.
Mengulas tentang minggu pertama Sehati Berdansa yang mengambil tema disko, dapat disimpulkan persembahan yang ditampilkan boleh dibanggakan.
Apa yang dapat dilihat momentum persembahan para peserta Sehati Berdansa kali ini juga bergerak dengan begitu pantas dan tidak dinafikan, ada beberapa pasangan yang sememangnya mempunyai bakat menari yang baik sekali.
Mereka adalah Lisdawati dan suaminya, Fauzi Nawawi, Sabrina Ali dan Shahrin serta Ani Mayuni dan suaminya, Zairi yang berjaya mempamerkan persembahan yang cukup menarik dan menghiburkan.
Lisda dan Fauzi misalnya berupaya memberikan gerak tari yang seiring dengan lagu Kasih dendangan Allahyarham Sudirman Arshad yang melatari persembahan mereka.
Dengan mimik muka dan persembahan bertenaga, tiada siapa pernah menyangka Fauzi mempunyai bakat terpendam yang tidak pernah diketahui selama ini.
Begitu juga dengan pasangan paling muda musim ini iaitu Khai dan Rosma yang begitu cemerlang dalam memberikan persembahan yang cukup energetik dan mendapat tepukan yang gemuruh di kalangan penonton dan studio.
Mungkin juga kecemerlangan mereka itu disebabkan pengalaman yang pernah ditimba oleh mereka dengan Linda Jasmine sewaktu menyertai Akademi Fantasia musim pertama dahulu.
Meskipun persembahan agak kelam-kabut, namun, pujian juga harus diberikan kepada Mazin Ameen Siraj dan pasangannya, Anisa yang dilihat begitu yakin dan mereka sendiri terhibur dengan persembahan mereka.
Tiada langsung riak tertekan pada wajah mereka seperti mana beberapa pasangan lain.
Persembahan peserta lain dilihat sederhana dan mampu untuk diperbaiki lagi di minggu akan datang seandainya mereka masih lagi mampu bertahan.
Pujian juga harus diberikan kepada pasangan pengacara, Linda Onn dan Fahrin Ahmad yang dilihat begitu profesional sepanjang Sehati Berdansa berlangsung walaupun mereka tidak lagi ‘sehati’ dan berdansa.
Bagaimana pula prestasi peserta yang masih lagi bertahan untuk minggu ini?
Sama-sama kita saksikan Malam Sehati Berdansa pada 1 November ini dan keesokannya (2 November) untuk mengetahui pasangan manakah yang akan disingkirkan secara eksklusif menerusi Ria (saluran 104, Astro).
